Berita UtamaPendapatUtama

Sensiviti agama dan Perlembagaan: Puak liberal pilih kasih

 
liberal
Isu baru-baru ini berkenaan dengan Dr. Zakir Naik menjadi topik hangat perdebatan di antara golongan Islamis dan liberal. Namun, ia bukan sekadar isu berkenaan Dr. Zakir Naik, akan tetapi insiden baru-baru ini hanyalah satu titik – yang mana apabila dihubung kaitkan dengan insiden-insiden bahkan sebelum kedatangan Dr. Zakir Naik lagi – menyerlahkan pembuktian kepada kita tentang dua perkara;1) Dalam isu sensitiviti agama dan Perlembagaan, puak liberal memilih kasih.

2) Puak liberal bukan sekadar menjadi sensitif, bahkan berlebih-lebih.

Pada tahun lepas, kita sedia maklum terdapat aktiviti kristianisasi yang berlaku di tempat awam secara terbuka melibatkan dua warga asing yang mendekati orang Islam di sekitar Selayang. Isu ini menjadi viral apabila seorang pemilik akaun Facebook menceritakan pengalaman beliau didekati oleh dua warga asing ini dan disyarah tentang Jesus dan Kristian.

Anehnya, tiada langsung puak liberal yang mahu bersuara berkenaan insiden tersebut, apatah lagi menyatakan kekesalan atas dasar sensitiviti agama dan Perlembagaan kerana menyalahi undang-undang tempatan yang melarang penyebaran agama lain terhadap orang Islam.

Ironinya, puak liberal jugalah yang – pada bulan yang sama sebelum insiden ini berlaku – menghalang penganjuran satu forum di UiTM dengan tajuk ‘Ancaman Gerakan Kristianisasi’ dan mereka berlebih-lebih dalam memberi reaksi seolah-olah orang Islam mahu menimbulkan prejudis terhadap orang Kristian yang menjadi rakan karib, rakan sekerja mahupun jiran tetangga. Di sini mereka mengabaikan perkataan ‘ancaman gerakan’ dan selepas dari itu menimbulkan persepsi yang salah terhadap orang awam yang akhirnya agama Islam dan orang Islam yang terkena tempiasnya.

Ini belum kita mengambil kira insiden-insiden sebelum ini yang berlaku yang tidak langsung mencerminkan sensitiviti terhadap agama Islam dan Perlembagaan seperti tuntutan COMANGO, mencabar enakmen negeri yang mengawal perilaku orang Islam dalam hal pemakaian dan perbuatan menyamai wanita, mencampur tangan urusan penukaran agama ke dalam Islam dan mempertahankan pendirian untuk menukar agama keluar dari Islam, mencabar kedaulatan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah, mempersoalkan tindakan kerajaan menghalang penerbitan buku-buku yang bercanggah dengan cara fikir Islam seperti terbitan oleh pemikir liberal dan Syiah dan lain-lain insiden yang boleh dibangkitkan kembali.

Walaupun insiden-insiden ini berlaku, tanpa segan silu dan tanda hormat puak liberal terus mencabar dan memperlekeh nilai dan garis panduan yang ingin dipertahankan.

Baru-baru ini, forum berkenaan ‘Persamaan diantara Hindu dan Islam’ yang dijadualkan berlangsung di Melaka telah digantikan dengan tajuk yang lain, yang dikira kurang menyentuh sensitiviti agama. Namun, adakah persoalan menyentuh sensitiviti agama atau menimbulkan kacau bilau dan mengganggu gugat kestabilan awam timbul pada awalnya? Pada saya, dan mengambil kira tajuk itu sendiri secara jelas, tidak sama sekali!

Sekali lagi, hanya dengan tajuk program sahaja puak liberal berlebih-lebih dalam memberikan reaksi dan kritikan mereka.

Ironinya, puak liberal juga yang duduk bersama dengan golongan Islamis yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin dengan sesi-sesi seperti projek dialog dan lepak maqasid demi mencari konsensus bersama antara agama, satu nilai dan usaha yang dinafikan terhadap Dr. Zakir Naik dan forum mencari persamaan yang dibatalkan tersebut.

Dan sekiranya mereka mahu menjatuhkan kredibiliti Dr. Zakir Naik sekalipun, sekiranya betul jalan yang mereka pilih itu, puak liberal sentiasa dialukan untuk hadir ke sesi bersama Dr. Zakir Naik dan ajukan soalan-soalan secara berdepan. Namun, tiada satu pun penulis artikel berfikiran liberal dan tokoh-tokoh liberal yang sanggup hadir, mendengar dan bertanyakan soalan, dan menceritakan pengalaman berdepan dengan Dr. Zakir Naik. Tidak, itu semua retorik sahaja!

Jika benar mahu menjaga ketenteraman awam dan sensitiviti agama, saya bersetuju dengan cadangan bekas Ketua Polis Negara agar DAP Ramasamy diambil tindakan dibawah Akta Hasutan kerana menggelar Dr. Zakir Naik, seorang cendikiawan Islam sebagai’Satan’. Ini secara jelas merupakan satu penghinaan terhadap figura Islam dan agama Islam sendiri yang tidak boleh ditolak ansur, namun tidak mengejutkan, puak liberal hanya terdiam beribu bahasa.

Ciri-ciri Perlembagaan yang tidak berunsurkan sekular mahupun liberal tidak langsung dihormati oleh puak liberal, bahkan lebih mengecewakan orang Islam sendiri yang mencairkan ciri-ciri tersebut dan terikut-ikut dengan arus liberalisme dan desakan ‘keharmonian’ yang bertuhankan kemahuan manusia yang tidak terbatas serta kebolehan intelektual yang melampau dan menyeleweng.

Seharusnya pada diri orang Islam terdapat kemahuan, sensitiviti dan inisiatif untuk menjadi pelindung dan pemelihara agama Islam dan Perlembagaan dari terus dicabar dan diperlekeh oleh puak liberal dan kumpulan anti Islam, di negara mahupun dimana-mana sahaja.

Saya berbangga dan lega dengan Khairul Idham yang menjuarai Moto 3GP Argentina. Saya berbangga kerana walaupun jauh di negara asing dalam keramaian orang bukan Islam, beliau memilih untuk tidak mencairkan jati diri beliau sebagai orang Islam, tidak bersikap terlalu ‘accommodative’ dan mengelak dirinya dari disimbah arak yang merupakan budaya masyarakat setempat dan ritual sukan tersebut. Saya juga berasa lega kerana tindakan Khairul Idham itu tidak dicemuh oleh puak liberal yang sentiasa mencari peluang untuk membuktikan ektsrimisme dalam Islam dan sikap konservatif orang Islam yang melampau.

Kerana hakikatnya dalam isu sentiviti agama dan Perlembagaan, puak Liberal memilih kasih.

 

Danial Ariff bin Shaari, LLB (Hons) Adelaide, I-Peguam

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker