Mendidik anak berniaga, kisah ini mungkin boleh memberi anda inspirasi
PAGI tadi, ketika temasya sukan tadika berlangsung, Humaira’, anak sulung saya yang berusia 11 tahun berniaga air mineral dan aiskrim Malaysia. Walaupun keputusan yang diambil untuk berniaga telah agak suntuk, tapi saya rasa beliau belajar banyak perkara daripada pengalamannya tadi.
Walaupun saya katakan kepadanya sudah agak terlambat untuk menyediakan barang untuk berniaga dia tetap mahu juga membuka gerai pada hari sukan keesokan harinya.
Hari Jumaat, tidak banyak kedai yang dibuka, tetapi kerana kehendaknya yang kuat itu, saya dan suami bawa dia untuk membeli air mineral di pasar raya. Walaupun agak mahal berbanding harga di kedai borong, tidak mengapalah, yang penting bukan untung, tetapi pengalaman.
Pulang sahaja ke rumah, terus beliau ke dapur, membancuh air Milo, lalu dimasukkan ke dalam plastik aiskrim malaysia.
“Kakak, ibu rasa aiskrim ni tak akan keras la. Ia perlukan masa 2 hari juga untuk keras jika banyak-banyak sebegini.” Saya sangsi dengan usahanya.
“Tak mengapa ibu, kita buat dulu.” Beliau tidak menghiraukan kesangsian saya. Terus sahaja tekun mengikat satu demi satu aiskrim Milo tersebut.
Melihat kesungguhan beliau, saya bantu juga buatkan air bandung dan sirap. Masukkan dalam plastik, ikat dan susun di dalan peti ais.
Dalam hati saya berdoa, “wahai aiskrim, mengeraslah engkau, jika tidak bagaimana anakku nak jual engkau esok pagi.”
Selesai membuat aiskrim, saya minta dia menulis harga barang yang akan dijual esok sebagai langkah promosi. Siap semuanya, sudah agak larut malam. Dengan mata yang tidak lagi boleh diangkat, kami terdua terlena.
Tengah malam saya terjaga teringatkan aiskrim di dalam peti. Saya turun ke bawah memeriksa. Aduhai, banyak yang belum keras, lalu saya ubah-ubah tempatnya supaya ia tidak bertindan-tindan.
Menjelang Subuh, saya kejutkan anak-anak. Suami ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, maka pagi ini terpaksa saya menguruskan semuanya.
Saya kejutkan Humaira, beliau mandi dan solat, dan kemudian terus turun ke bawah untuk memasukkan aiskrim ke dalam eski yang telah dibasuh sebelum tidur. Kemudian eski tersebut kami bersama-sama mengangkatnya ke dalam kereta.
Semasa saya memeriksa peti ais awal pagi tadi, masih tersisa aiskrim yang lembik, ingatkan tak dibawanya. Rupa-rupanya, dia bawa semua walaupun ada yang tidak keras.
Sampai di padang, saya terus membantunya mengeluarkan meja lipat dan barang-barang jualan, dan minta dia uruskan sendiri kerana saya sibuk untuk menguruskan sukan di padang.
Ketika sukan sedang berlangsung, sekejap-sekejap dia datang ke padang melaporkan perkembangan aktiviti jualannya.
Nak menjenguk ke gerai, saya tak sempat. Hanya selepas sukan selesai, saya ke gerai melihat baki barang jualan. Tinggal beberapa botol air mineral. Aiskrim Malaysia habis!
Saya tersenyum, syukur kerana dia dapat berdikari walau saya dan suami tidak dapat membantu banyak.
Balik ke rumah, kami mengira hasil jualan termasuk duit kecil yang saya berikan. Ada RM61, setelah ditolak segala modal, untung yang diperolehi RM21.
Saya rasa Humaira’ belajar banyak perkara hari ini walaupun untung tidaklah banyak mana.
Katanya, “lain kali, kakak nak rancang lebih awal dan nak jual benda lain lagi. Kalau jual banyak dapat untung banyak. Nanti boleh la kakak belanja kasut raya sepasang seorang.” Saya ketawa mendengar cadangan tersebut.
“Kali ni, kakak belanja aiskrim untuk semua. Petang nanti kita pegi beli. Semua orang boleh pilih nak aiskrim apa.” Adik-adik yang mendengar menyahut dengan “horey!” Seronok sebab kakak nak belanja.
Kadang-kadang, kita tidak yakin dengan potensi anak-anak kita. Sedangkan bila diberi kepercayaan, mereka dapat buat dengan baik sekali walaupun tanpa bantuan kita.
Saya sendiri belajar juga daripada apa yang berlaku. Kita hanya perlu memberi sokongan kepada mereka. Biar mereka sendiri merasakan hasil dari usaha mereka.
Saya terfikir, andai saya terus menyekat beliau daripada berniaga, beliau tidak akan belajar apa-apa, apatah lagi mendapat untung RM21.
“Ibu, bila lagi ada program tadika ya? Kakak nak berniaga ni.” Begitu ayat yang keluar daripada mulutnya ketika beliau mengambil duit keuntungan, dan meninggalkan duit modal kepada saya.
Hasifah Binti Zainuddin
Isma Kubang Pasu