Pendapat

Tangani jenayah siber bersama

keyboard
SEMUANYA
di hujung jari anda. Frasa ayat ini cukup popular ketika ini. Memang, kecanggihan teknologi maklumat (IT) mendorong kita memilih sesuatu yang boleh dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.

Jika boleh, semua urusan mahu dibuat di satu tempat. Faktor masa dan belanja banyak mempengaruhi pilihan ini.

Justeru, apabila pihak bank berlumba-lumba menawarkan perkhidmatan online atau lebih dikenali sebagai perbankan Internet, ramai yang mengalu-alukan usaha ini. Sebagai pengguna, ia dilihat menguntungkan mereka.

Namun dalam masa sama, ada perkara yang terus menjadi kebimbangan. Sejauh mana kaedah ini selamat digunakan atau dalam bahasa mudah, sejauh mana wang pengguna mampu dilindungi terus menjadi tanda tanya.

Walaupun pihak bank berkali-kali mengatakan keselamatan menjadi keutamaan mereka, hakikatnya, masih ada pengguna yang mengadu kehilangan wang menerusi transaksi yang dijalankan, tanpa sedar mahupun disedari.

Mengapa ini berlaku? Alasan yang diberikan oleh pihak bank apa yang berlaku bukan kerana kesilapan mereka. Segala urusan yang disediakan dijamin mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Tambah mereka lagi, pelanggan bukannya tertipu sewaktu berurusniaga dengan bank, tetapi sebelum itu lagi. Maknanya ada pihak lain yang‘memotong jalan’ menggunakan kaedah-kaedah yang sama seperti disediakan oleh bank terbabit.

Lebih tepat, laman-laman web perbankan telah diciplak untuk menghalalkan penipuan tersebut.

Sebagai pengguna, dapatkah kita menerima alasan ini? Tentu jawapannya tidak. Hakikatnya, pengguna bukan sahaja tertipu tetapi mungkin juga terpaksa membayar harga perkhidmatan yang ditawarkan pihak tertentu.

Menurut seorang pakar komputer yang enggan dikenali, dengan hanya memiliki sebuah komputer, Internet dan perisian pelayar, seseorang boleh mencipta laman web bank untuk melesapkan berjuta ringgit wang pelanggan.

“Malah untuk mencipta laman web palsu ini, mereka tidak memerlukan masa yang lama, hanya kira-kira satu hingga dua jam sahaja,” katanya sambil menjelaskan perisian yang dimaksudkan boleh didapati di pasaran.

Kegiatan itu bagaimanapun tidak boleh meniru URL (alamat domain) asal laman web berkenaan kerana ia dilindungi, tetapi mereka boleh mewujudkan rangkaian alternatif sehingga mengelirukan para pelanggan bank.

Sepanjang 2015, kes penipuan yang dikendalikan polis membabitkan kerugian RM2.43 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 95.1 peratus berbanding 2014 (RM1.86 bilion).  Pihak polis juga menerima 132,925 laporan polis berkaitan jenayah komersial  dan siber sepanjang 2015, berbanding 121,934 kes pada tahun sebelumnya.

Usaha pihak polis yang berjaya memberkas penjenayah siber ini harus dipuji, namun itu bukanlah pengakhiran kepada kisah penipuan ini. Mungkin masih banyak penjenayah yang lebih bijak tetapi masih bebas di luar sana.

Lalu apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini?

Ancaman

Membincangkan tentang ancaman siber, perkara ini bukan baru. Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), masalah ini telah wujud awal lagi. Namun usaha untuk mencegah giat dilakukan dari semasa ke semasa.

Tidak dinafikan dalam persaingan dunia global, ancaman siber sebenarnya sering dihadapi oleh para pengguna komputer masa kini memandangkan kebanyakannya mempunyai sambungan kepada rangkaian Internet.

Apa yang pasti ialah, kesan ancaman siber ini boleh merebak secara global dalam masa yang amat singkat dan lebih membimbangkan ia tidak bersifat setempat atau terhad mengikut sempadan seperti keganasan fizikal.

Jika ada pihak yang bimbang dengan penularan jenayah siber perbankan Internet, ada pihak lain melihat, masalah sebenar membabitkan keselamatan proses transaksi tersebut berpunca daripada pengguna itu sendiri.

Pengguna tetap perbankan Internet perlu celik computer maka tidak akan timbul masalah yang sedang membelenggu sesetengah pihak ini.

Pihak bank tentunya mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Dari segi bank sendiri mungkin tiada masalah tetapi yang menimbulkan masalah ialah pihak luar. Kerana itu kita sebagai pengguna perlulah berhati-hati.

Bagaimanapun untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi kebaikan kedua-dua pihak, pihak bank perlulah menambah pengenalan-pengenalan diri pengguna dari semasa ke semasa.

Tidak adillah sekiranya ada pihak yang mencadangkan supaya menggunakan sistem lama beratur di pejabat-pejabat pos atau bank untuk melakukan urusan kerana ia membazirkan banyak masa, tenaga dan wang selain kaedah tersebut bukan ciri-ciri sebuah negara maju.

Kita dalam jangka untuk menjadi negara maju pada 2020, sepatutnya yang perlu dilakukan ialah mencari jalan untuk mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat. Jika semua pihak faham dan celik komputer, masalah penipuan jika tidak dapat dihapuskan pun akan dapat dikurangkan.

Sememangnya penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) tidak dapat dielakkan dalam mengharungi era globalisasi. Dalam hal ini, seharusnya semua pihak atau agensi yang terlibat dapat mewujudkan kerjasama serta persefahaman ke arah menangani ancaman ini.

Dalam masa yang sama pengguna juga perlu memahami tanggungjawab masing-masing. Lebih utama, jurang digital perlu dikurangkan. Jika ini berlaku, jenayah siber yang dibimbangi semakin menular di negara ini akan dapat diatasi.

Leftenan Komander (B) Datuk  Adam Hj Ahmad
Pakar Analisis Jenayah Komersil

EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel [email protected].

ARTIKEL BERKAITAN:

Wujudkan suruhanjaya tangani jenayah komersial

Rasuah dalam SPRM: Di mana silapnya?

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker