Berita UtamaPendapatUtama

PAN lawan PAS: Siapa yang untung?

pas amanah

Masih terngiang-ngiang apabila wakil Isma bertanding di bawah tiket BERJASA pada Pilihan Raya Umum ke 13 tiga tahun yang lepas bagaimana usaha tersebut dipandang sinis dan dikatakan sebagai satu helah untuk memecah undi orang Islam.

Sekalipun kerusi-kerusi yang terlibat hanya di kawasan majoriti orang Islam dan BN dan PR tidak meletakkan wakil orang Islam, keluarlah dari lidah-lidah penyokong taksub parti politik tertentu dengan pelbagai sindiran:

“BERJASA sekadar pemecah undi bagi mereka yang berusaha menegakkan keadilan menentang kezaliman”

“Satu undi untuk BERJASA, satu peluang untuk kezaliman terus kekal”

“Kewujudan BERJASA sangat mengacau undi”

“Manalah BERJASA dapat duit nak bertanding nih, macam ada yang tak kena”

“ISMA nih umpama nyamuk sahaja. Biarkan”

“Adalah lemah akal budi kalau Isma menyertai politik, meletak calon menerusi BERJASA untuk pecah undi sedang ianya membelanjakan wang ringgit sendiri.”

“Apa lagi Isma perlu bertanding? PAS kan dah ada mahu menegakkan syiar Islam”

“Salah satu sebab PR kalah adalah sebab kemunculan ISMA!”

Sebenarnya, tidak timbul istilah pemecah undi kerana kawasan yang bakal ditandingi oleh calon-calon Isma sebelum ini tidak ditandingi oleh orang Islam. Kedua-dua pihak sama ada BN atau PR meletakkan calon bukan Islam sedangkan majoriti pengundinya beragama Islam.

Namun, apabila hati dan aqal tertutup kerana terlampau taksub dengan politik kepartian maka segala usaha baik untuk menyatukan kembali kesatuan umat Islam di bawah kepemimpinan umat Islam dilihat sebagai sesuatu yang merugikan.

Namun, itu semua kisah 3 tahun yang lepas. Begitu banyak yang telah berlaku di dalam dunia politik Malaysia sepanjang 3 tahun tersebut dan senario politik juga sudah berbeza.

PR tidak lagi wujud, lahirnya “parti serpihan” PAS iaitu PAN yang dikatakan mempunyai kait rapat dengan pertubuhan IKRAM manakala BN pula terutama UMNO juga mengalami krisis dalaman tersendiri dengan perpecahan antara kem Datuk Seri Najib-Datuk Zahid dan Tun Mahathir-Tan Sri Muhyiddin.

Suasana politik menjadi semakin meriah dengan Pilihanraya Negeri Sarawak yang ke 11 pada minggu depan – 7 Mei 2016.

Daripada sejumlah 229 orang calon yang bakal bertanding bagi merebut 82 kerusi yang akan dipertandingkan kali ini, 82 orang calon menerusi tiket BN, 40 orang calon PKR, 31 orang calon DAP, 13 orang calon PAN, 11 orang calon PAS, 11 orang calon STAR, 5 calon Parti Bangsa Dayak Bersatu Baru (PBDSB) dan 36 orang calon bebas.

Yang menjadi daya tarikan bukan sahaja kerana 6 kerusi bakal menyaksikan pertembungan antara kerjasama politik Pakatan Harapan – PKR lawan DAP dan dua kerusi DUN antara calon PAS dengan calon DAP di DUN Pujut dan Samalaju.

Namun, yang paling menarik perhatian saya adalah pertembungan antara PAS dan parti serpihan PAN di lima kawasan – Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Samariang dan Muara Tuang.

Persoalan yang timbul, siapa sebenarnya yang untung melalui pertembungan antara PAS dan PAN? Orang biasa pun tidak akan memahami strategi politik PAN dalam hal ini. Ini berbeza dengan pendekatan Isma melalui BERJASA pada tahun 2013.

Pertembungan PAS lawan PAN umpama peribahasa Melayu – bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang. Saya pasti akhirnya umat Islam juga yang rugi di kawasan-kawasan tersebut. Adakah pentaksub-pentaksub politik pada 2013 dahulu akan menggantikan nama BERJASA dan Isma dengan PAN di dalam sindirin-sindiran di atas?

“PAN sekadar pemecah undi bagi mereka yang berusaha menegakkan keadilan menentang kezaliman”

“Satu undi untuk PAN, satu peluang untuk kezaliman terus kekal”

“Kewujudan PAN sangat mengacau undi”

“Manalah PAN dapat duit nak bertanding nih, macam ada yang tak kena”

“PAN ni umpama nyamuk sahaja. Biarkan”

“Adalah lemah akalbudi kalau PAN menyertai politik, meletak calon menerusi PAN untuk pecah undi sedang ianya membelanjakan wang ringgit sendiri.”

“Apa lagi PAN perlu bertanding? PAS kan dah ada mahu menegakkan syiar Islam”

Hakikatnya, 3 tahun sudah berlalu sejak PRU13 dan sebenarnya tidak perlu kewujudan Isma melalui BERJASA di dalam senario politik sekarang untuk memecahkan undi, kerana kerjasama politik antara parti-parti di dalam PR mahupun PH sendiri adalah rapuh umpama senipis kulit bawang.

Bagaimana pemimpin-pemimpin parti ini mahu membincangkan tentang perpaduan nasional yang lebih besar sedangkan kerjasama antara mereka sendiri belum ampuh sekalipun sudah lebih 16 tahun sejak 1999 telah bekerjasama? Masih mahu salahkan Isma lagikah dalam hal ini?

Boleh sahaja PAN mengambil keputusan tidak mahu bertembung dengan PAS. Boleh sahaja DAP atau PKR memberi kerusi mereka untuk PAN dan mengelakkan pertembungan PAN dan PAS. Boleh sahaja PAN bertegas tidak mahu memecahkan undi umat Islam di lima kawasan tersebut dengan tidak bertembung secara langsung dengan PAS.

DAP boleh sahaja sebagai mahu membantu PAN memberikan kerusi mereka yang paling kuat kepada PAN atas dasar kesetiakawanan untuk membantu PAN bertapak di Sarawak kerana yakin pengundi akan terus mengundi PH tanpa mengira parti.

Namun, PAN terus kekal dengan strategi politik mereka yang kelihatan seperti seakan-akan mengikut telunjuk DAP yang mahu bertembung dengan PAS.

Apapun, saya berharap PAN tidak hanya menjaga kepentingan agenda politik parti tertentu tetapi meletakkan kesatuan umat Islam sebagai salah satu agenda utama mereka. Saya juga berharap kepada sesiapa yang menang tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di DUN mereka.

Saya juga berharap, amanah yang akan dipikul tersebut tidak disalahguna untuk mencari keuntungan peribadi atau mengisi agenda-agenda cauvinis tersendiri. Saya mendoakan kebaikan untuk rakyat negeri Sarawak dan yakin mereka akan memilih dengan bijaksana ketika pilihanraya nanti. Selamat mengundi.

Wallahua’lam.

Abu Ameen
Aktivis Isma

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker