Berita UtamaPendapatUtama

Perangkap Feminis: Wanita duduk rumah?

Ustaz Suhail
MEMBACA tulisan disiarkan di portal milik parti rasis dan cauvinis DAP Roketkini berkaitan peranan wanita di dalam Islam, saya berpandangan ia adalah sebuah penulisan yang cukup terabur daripada sudut konteks dan maksud sebenar yang dibawa oleh Presiden Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman. Apatah lagi dengan hujah-hujah yang jauh daripada isu asal.

Isu asal yang ingin dibawa bukanlah mengenai wanita boleh ditolak jauh dan bekerjaya atau tidak, tetapi konteks ideologi jahiliyah yang menghilangkan peranan wanita sebagai Ibu yang mendidik anak-anak dan sebagai isteri yang menjadi permaisuri di rumah.

Dengan jelas disebut konteks ini dikembangkan di dalam peperangan fikrah Islam melawan ideologi feminisme yang merosakkan pemikiran kaum wanita.

Saya kira penulis tidak sedar bahawa feminis juga menuntut sehingga ke harta pusaka dibahagikan sama rata tanpa mengikut landasan syariat apabila penulis membawa contoh membahagikan harta pusaka sebagai bukti Islam menaikkan martabat kaum wanita.

Jika dilihat perbincangan yang dibawa Imam Ibnu Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad (Juz ke-4, ms 83, Ghadd Al-Jadid) beliau menekankan betapa pentingnya peranan wanita di rumah dengan membawa perbahasan ulama’ mengenai beberapa hadis berkaitan aduan Saidatina Fatimah mengenai Ali ra yang kurang membantu beliau di rumah. Akhirnya Rasulullah meminta beliau (Fatimah) terus mengurus perihal rumah.

Khilaf Ulama’ yang berlaku dalam memahami hadis ini adalah sama ada antara hukum Wajib ataupun ia sebagai sebuah Akhlak Mulia yang sangat dituntut ke atas isteri.

Kedua-dua pandangan masih menunjukkan bahawa tona dan argumen yang dibawa oleh Ustaz Abdullah Zaik dalam perihal ini adalah tepat, dan gerakan feminis yang memperjuangkan kesamarataan gender sudah lari daripada tatasusila kebaikan agama dan adat.

Malah Imam Ibnu Qayyim juga menekankan bahawa budaya dan hukum ini merupakan suatu ‘urf yang jelas. Jelas ini bukanlah suatu yang patut dilihat seolah konservatif yang jelek, sedangkan hakikat ‘conservatism‘ itu sendiri hanya dilihat jelek dalam budaya Barat liberal yang merungkai elemen pegangan agama dan tatasusila adat.

Walau apapun argumen yang ingin dilontarkan oleh artikel, hal ini hakikatnya tidak akan timbul kepada pasangan yang saling bekerja untuk mencukupkan nafkah, dan saling membantu di dalam perihal rumah tangga dalam keadaan sedar peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan hikmah seperti yang dicadangkan oleh Ustaz Abdullah ketika menyampaikan ucaptama (mengikut konteks sebenar).

Kesimpulannya, apa yang dibawa feminisme bukanlah suatu yang indah di sisi Islam, sedangkan ramai di Barat juga menolaknya, sayang apabila kita tidak melihat dan mengkaji sedalamnya apakah yang diwarisi oleh khazanah pembudayaan Islam di dalam tulisan-tulisan turath dan ulama’ besar berasaskan permata-permata daripada Al-Quran dan hadis.

Ustaz Suhail Sufian
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Artikel ini dipetik daripada Facebook Ustaz Suhail.

Rujukan:

http://www.ismaweb.net/2016/04/feminisme-rungkai-ikatan-kekeluargaan-runtuh-institusi-keluarga-presiden-isma/

Wanita: Pandangan dari seorang anak muda muslim

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker