1. Segelintir pihak mengatakan buku-buku sedemikian adalah trend pemikiran anak muda yang ingin bebas daripada kongkongan orang tua berfikiran konservatif. Dan mungkin sebenarnya mereka ingin bebas daripada tuntutan agama yang mengajarkan manusia had dan limitasi dalam menggunakan akal.
2. Ada juga menganggap bahawa buku tersebut bukan lah 18SX kerana kandungan atau mesej yang nak disampaikan lebih penting daripada kaedah atau teknik penceritaan.
3. Pada pandangan saya, penulisan buku berunsur 18SX ini memang wajar disekat. Matlamat sekali-kali tidak menghalalkan cara. Niat penulis ingin menyampaikan sesuatu mesej yang baik (cth: seorang wanita pelacur kembali bertaubat ke jalan yang benar) sudah bagus tetapi penceritaan menggunakan unsur 18SX tidak boleh diterima sama sekali.
4. Apa yang penulis harapkan daripada pembaca? Sekiranya pembaca melihat petikan ayat “wanita tersebut pergi ke kelab malam” adakah penulis yakin pembaca akan membayangkan “wanita tersebut pergi ke kedai runcit”? Tidak sama sekali. Ini kerana pembaca akan membuat metafora yang hampir sama dengan apa yang dia baca. Apatah lagi penulisan yang melibatkan gaya emosi dan perasaan.
5. Banyak kajian telah membuktikan bahawa setiap perkataan dan ayat yang digunakan dalam penulisan memberi kesan yang besar kepada pemikiran dan emosi pembaca. Dalam satu kajian menunjukkan jika seseorang membaca perkataan “minyak wangi” secara automatik otak akan menggerakkan derianya untuk mengingati bau minyak wangi.
6. Oleh itu, penulis sewajarnya berfikir panjang sebelum memulakan sesuatu penulisan. Apakah penulian tersebut berada dalam ruang lingkup yang dibenarkan syariat? Apakah penulisan tersebut akan membantu manusia untuk jadi lebih baik? Apakah penulisan tersebut menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih baik? Persoalan-persoalan ini sewajarnya sudah ada dalam fikiran penulis. Ini kerana penulisan buku memberi kesan kepada pembentukan minda individu dan masyarakat.
7. Ternyata, buku berunsur 18SX (tidak kira berapa peratusan unsur tersebut dan apakan mesej yang ingin disampaikan) hanyalah merupakan satu lagi virus yang perlu ditangani oleh semua pihak. Amat malang sekiranya kita membiarkan anak bangsa kita dengan bahan bacaan yang merosakkan jiwa sekaligus memberi kesan kepada masa depan negara.
SARIFAH NURHANUM SYED SAHURI
Ketua Wanita ISMA Australia
Psikologi Pendidikan, Phd
Uni. of Sydney
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.
apa yang masuk dalam minda akan menentu sesuatu yamg keluar dari fikiran..sebab itu awasi pemikiran agar tindakan lebih beretika dalam kehidupan ini..