Media Abdullah bin Ubay (ketua munafik) versi moden
Jika kita soroti sirah Nabi Muhammad SAW terutamanya di fasa Madinah, kita akan dapati banyak kisah di mana Abdullah bin Ubay bertindak menyebabkan kekacauan dan porak peranda di dalam masyarakat majmuk di Madinah.
Berulang kali telah kita boleh temui Abdullah bin Ubai rasa cemburu dan sesak dada dengan Islam dan kaum muslimin, terutamanya Rasulullah.
Kemarahan dan perasaan hasad dengki beliau ini ditunjukkan di permulaan Hijrah Rasulullah ke Madinah sebelum beliau berpura-pura memeluk Islam.
Pada suatu hari Rasulullah menunggang keldai untuk menziarahi Saad bin Ubbadah, Rasulullah pun melalui di hadapan majlis Abdullah bin Ubai. Apabila dia melihat Rasulullah, mukanya bertukar menjadi merah kerana benci dan dengki dengan Rasulullah.
Abdullah bin Ubay berkata: “Lain kali jangan lagi memasuki majlis kami ini.”Setelah Rasulullah membaca ayat al-Quran di dalam majlis berkenaan maka Ibnu Ubay berkata: “Duduk sahaja di rumah kamu, dan tak usahlah menyibukkan kami di majlis ini.”
Berada di dalam masyarakat yang dikuasai kaum muslimin, golongan munafik yang dikepalai Abdullah bin Ubay ini terpaksa menyembunyikan kebencian mereka, namun mereka sentiasa mencari-cari peluang untuk menyemarakan api permusuhan dan perpecahan di dalam umat Islam.
Peristiwa Hadis Ifki adalah ibarat bola tanggung bagi mereka. Sahabat Nabi yang bernama Safwan menuntun tunggangan Aisyah isteri Nabi, sehingga sampailah bersama-sama dengan tentera muslimin yang sedang berhenti di Nahr al-Zahirah.
Setibanya mereka di situ orang ramai pun bercakap-cakap dengan pelbagai pendapat dan andaian yang munasabah. Tetapi seteru Allah mendapati inilah satu peluang yang terbaik untuk mereka melepaskan geram dan marahnya, penuh hasad dengki dan kesumat, mereka mula menyebar cerita yang bukan-bukan dan dusta, menimbul-nimbulkan fitnah, membisik-bisikkan propoganda jahatnya.
Sesampainya mereka di Madinah, maka ahli-ahli dusta tadi pun menabur cerita palsu yang mereka reka-rekakan itu di setiap penjuru Madinah.
Jika diamati kisah yang berlaku ini, saling tidak tumpah dengan apa yang berlaku di zaman ini, mereka yang cuba menzahirkan keislaman melalui nama dan lambang tetapi sebaliknya merupakan virus-virus bahaya yang hidup di tengah masyarakat dan menanti-nanti peluang menghamburkan kebencian mereka.
Di tangan mereka media-media yang berjaya memikat hati anak muda Islam dan mereka gunakan sehabis mungkin demi menjayakan agenda mereka. Mereka berjaya menyusun kata-kata dengan menggunakan logik akal, berjaya membawa agama Islam sebagai agama yang ektremis, yang terkebelakang, yang kolot.
Mereka membawakan editor-editor yang berlatarbelakangkan pendidikan yang tinggi. Semata-mata yang mengaburi mata generasi muslimin dan mengheret kita kepada apa yang mereka ingini.
Al-Quran ada menggambarkan hakikat mereka yang perlu kita insafi dan ambil pengajaran.
مِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ
“Dan di antara manusia ada orang yang perkataannya dalam kehidupan dunia menakjubkanmu, dan dia pun mempersaksikan Allah atas apa yg ada di hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling radikal (radikal bebas).” (Al-Baqarah 204)
Dr Irfan Salmi
Aktivis Isma