Berita UtamaProf. Madya Dr. Rafidah Hanim

Tragedi Orlando perhebat agenda pro-LGBT

LGBT

RAMADAN 1437H dikejutkan dengan pembunuhan 49 orang pengunjung kelab homoseksual “Pulse” di Orlando oleh seorang Muslim bernama Omar Mateen. Umat Islam mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut.

Walaupun begitu, peristiwa ini dengan cepat digunakan oleh penyokong LGBT di serata dunia dan di Malaysia untuk membawa agenda mereka, mendesak agar cara hidup LGBT diterima oleh umat Islam, dan menyalahkan institusi agama yang dikatakan menyuburkan homofobia dikalangan umat Islam.

Sebelum diketahui bahawa Omar Mateen sendiri adalah seorang pengamal homoseksual, tuduhan, kecaman dan fitnah dilemparkan oleh penyokong pro-LGBT kepada ajaran Islam dan ulama Islam yang dikatakan punca menggalakkan dan meredhai Omar Mateen membunuh pengamal homoseksual.

Setelah mereka mengetahui bahawa Omar Mateen sendiri tidak beramal dengan ajaran Islam, minum minuman keras, mengasari bekas isteri pertama dan dilaporkan oleh rakan-rakan beliau sebagai seorang pengamal homoseksual sendiri serta pernah mengunjungi kelab Pulse terbabit, tuduhan kini beralih kepada kononnya ajaran Islam yang menyebabkan mangsa terpaksa memendam orientasi seksualnya lantas memberontak dan bertindak agresif membunuh.

Satu kes nampaknya sudah cukup mencetuskan “perdebatan” yang tidak ilmiah dan tidak disandarkan oleh nas-nas dari al-Quran dan hadis oleh aktivis pro-LGBT ini, dalam menyokong hujah pendirian Islamlah faktor utama penyebab keganasan ini. Tiada ujian statistik dijalankan, tiada pertimbangan “confounding factor” atau faktor membaurkan yang terlibat sama.

Tidak disebut hakikat bahawa dalam tahun 2016 sahaja, sebanyak 133 gejala ‘mass-shooting’ atau tembakan massa telah berlaku, di Amerika Syarikat (AS) termasuk kes di Orlando ini. Tidak dinyatakan tentang betapa bebasnya senjata api diperolehi oleh rakyat Amerika, yang menyaksikan ratusan daripada mereka, yang bermasalah mental dan tertekan, mengambil jalan mudah membunuh secara rambang. Omar Mateen hanyalah salah seorang dari mereka.

Bahkan hakikat yang dilupakan, di AS sendiri, National Coalition of Anti-Violence Programs melaporkan pembunuhan pengamal LGBT meningkat sebanyak 11% di antara tahun 2013 hingga 2014. Dalam tahun 2015, media AS memberi amaran terdapat pembunuhan 2 transgender dalam tempoh 24 jam yang sepatutnya memerlukan AS mengisytiharkan ianya sebagai krisis nasional.

Keganasan terhadap LGBT ini berlaku di negara yang bangga dengan pengamalan sekularnya. Ia berlaku disebuah negara di mana Mahkamah Tertingginya mengiktiraf perkahwinan sejenis. Ia berlaku pada negara yang menganugerahkan tokoh LGBT dikalangan Muslim dari negara umat Islam, apabila mereka memilih Nisha Ayub sebagai pemenang anugerah “International Women of Courage Award” pada April tahun ini.

Secara tiba-tiba Malaysia yang tidak mempunyai rekod keganasan terhadap LGBT sehingga menyebabkan kematian, menjadi sasaran kecaman aktivis pro-LGBT kerana adanya undang-undang dan enakmen Syariah negeri yang menegah perlakuan homoseksual, lesbian dan transgender.

Insiden Orlando membuka ruang pejuang pro-LGBT menjadikan JAKIM, JAWI, MAINS, NGO Islam dan para ulama serta mufti yang sentiasa berusaha menasihati masyarakat, mengadakan seminar pendidikan dan membendung amalan LGBT, sebagai “punching bag” dan sasaran punca masalah. Mereka menghasut pengamal LGBT dengan mengatakan nasihat dan peringatan yang diambil dari Al-Quran dan hadis itu sebagai ‘hukuman’ dan ‘kata-kata prejudis’, sedangkan ia adalah bimbingan dan peringatan agar mereka yang tersasar memilih orientasi seksual songsang kembali ke pangkal jalan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan ajaran Islam.

AKTIVIS PRO-LGBT MUSLIM DAN PENTAFSIRAN SONGSANG MEREKA

Tragedi Orlando juga memperhebatkan aktivis pro-LGBT mengemukakan teori mereka dan yang lebih malang, mereka dari kalangan Muslim, cuba merekonstruk atau mengubahsuai pentafsiran mufassirin tentang amalan homoseksualiti ini dengan berbagai alasan bagi menghalalkan perkara yang haram didalam agama. Di Malaysia, aktivis pro-LGBT bukanlah dari kalangan mereka yang mempunyai autoriti dalam bidang pentafsiran al-Quran dan hadis.

Bahkan ada di antara mereka yang berselindung disebalik hakikat mereka menolak hadis, kononnya mereka golongan yang berpegang teguh dengan al-Quran, atau disebut Quraniyyun. Karya-karya besar dan tafsir muktabar seperti Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al Maraghi dan Tafsir Fi Zilalul Quran ditepis oleh aktivis ini sebagai tidak lebih dari “karya Klasik” yang boleh ditolak berdasarkan akal pemikiran mereka.

Begitulah mereka bersifat “double standard” apabila disiplin lain seperti perubatan misalnya memerlukan pengiktirafan kepakaran oleh badan seperti Malaysian Medical Council dan National Specialist Register of Malaysia dalam memelihara disiplin keilmuan, tetapi tidak dalam hal agama apabila ulama berkelayakan dan kitab yang diperakui sebagai muktabar ditolak sebagai rujukan.

Homoseksual didalam Islam adalah satu jenayah yang melanggar tatasusila kekeluargaan dan kemasyarakatan. Allah SWT telah menjelaskan tentang liwat dan perlakuan yang berlaku dikalangan umat Nabi Luth a.s sebagai perbuatan keji dalam firmannya dalam surah al A’raf 80-84 :

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ (٨٠) إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (٨١) وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوهُمْ مِنْ قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ (٨٢) فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ (٨٣) وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ مَطَرًا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ (٨٤

“(80) Dan (Kami juga Telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia Berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelummu?” (81)Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu Ini adalah kaum yang melampaui batas. (82). Jawab kaumnya tidak lain Hanya mengatakan: “Usirlah mereka (Luth dan pengikut-pengikutnya) dari kotamu ini; Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri.” (83). Kemudian kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya; dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan). (84). Dan kami turunkan kepada mereka hujan (batu); Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.”

Menurut Dr Mohd Izwan bin Md Yusof dalam tesis beliau bertajuk Perspektif Komuniti Lesbian, Gay dan Transgender Muslim di Malaysia Terhadap Perlakuan Homoseksual dan Konsep Perkahwinan dalam Islam (2016),  terdapat penulis-penulis Muslim yang menyokong LGBT ini, seperti Amreen Jamal, Malik, Nahas, Arkoun, Wadud dan Shahrur yang mendakwa bahawa tiada nas syarak yang menegah perbuatan homoseksualiti atas dasar suka sama suka. Amreen Jamal misalnya dalam Journal of Homosexuality menegaskan bahawa balasan yang Allah turunkan kepada kaum Luth berpunca dari keganasan seksual kaum Luth terhadap tetamu nabi Luth.

Saya merujuk kepada tafsir Ibnu Kathir, adalah jelas dinyatakan bahawa mengenai firman Allah SWT dalam ayat 80 “yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun (di dunia ini) sebelummu?” , Amr bin Dinar mengatakan “ Tidak ada seorang lelaki yang berhubungan badan dengan laki-laki lain, sehingga terjadi apa yang dilakukan oleh Kaum Luth”.

Dalam kitab tafsir yang sama, Al-Walid bin Abdul Malik, seorang Khalifah Bani Umayyah, pembangun masjid Jami’ di Damaskus mengatakan: “Seandainya Allah SWT tidak menceritakan kisah kaum Luth kepada kita, nescaya aku tidak akan membayangkan adanya laki-laki yang bersetubuh dengan laki-laki lain.”

Dalam kitab tafsir Fi Zhilalul Quran, ulasan ayat di atas juga adalah mengenai perbuatan homoseksualiti yang ditegah untuk diamalkan oleh umat terkemudian. Syarahan kedua-dua kitab tafsir ini jelas menafikan dakwaan aktivis pro-LGBT yang cuba menghalalkan perbuatan yang haram.

Allah SWT juga menggambarkan azab yang ditimpakan kepada umat Nabi Lut a.s didalam Surah Hud: 82, Surah al-Syu’ara 165-166 dan Surah al-Qamar 38-39. Menurut al-Tabari, kisah tersebut diceritakan untuk mencela agar perbuatan mereka tidak dilakukan oleh orang terkemudian dan bukan untuk ditiru.

ADAKAH PERINGATAN TENTANG LARANGAN MENGERJAKAN HOMOSEKSUALITI SUATU BENTUK KECAMAN DAN BERSIFAT MENGHUKUM?

Suatu persepsi yang sering diberikan oleh aktivis pro-LGBT di Malaysia ialah institusi agama seperti JAKIM dan NGO-NGO Islam bersifat menghukum apabila peringatan demi peringatan diberikan tentang larangan Allah SWT terhadap amalan ini sedangkan adalah tanggunjawab penguasa dan umat Islam untuk memperingatkan sesama saudara mereka agar tidak terjebak dengan gejala ini.

Persepsi negatif ini dicipta bagi menggambarkan pendekatan Islam yang dikatakan keras, padahal usaha NGO Islam dan pihak autoriti  menyantuni golongan LGBT ini sering ditenggelamkan oleh portal berita pro-LGBT yang hanya memainkan isu tangkapan ke atas parti mak nyah yang melanggar enakmen syariah. JAWI misalnya telah pun menyantuni LGBT sejak tahun 2005, melalui program-program seperti kelas-kelas pengajian al-Quran dan ilmu fardhu ain, khidmat nasihat, seminar pemantapan akhlak, motivasi dan dakwah jalanan manakala JAKIM menganjurkan program mukhayyam dan menaja umrah bagi golongan LGBT.

NGO seperti Persatuan Insaf Pahang (PIP) turut membantu golongan Mak Nyah keluar dari lorong jalanan dan memberi bantuan dari sudut rumah untuk berteduh dan peluang perniagaan bagi Mak Nyah yang ingin berubah, disamping konsisten mengadakan kelas-kelas fardu ain dan pengajian al-Quran. Tokoh-tokoh seperti Ustaz Dr Mohd Izwan Mohd Nor dan Ustaz Saiful Azhar dari JAKIM gigih mendekati golongan ini dengan mengadakan usrah dan sebagainya.

Maka peringatan-peringatan tentang larangan Al-Quran dalam pembudayaan LGBT tetap relevan. Hukum-hakam mengenai akibat perbuatan ini didunia dan diakhirat, harus dinyatakan bagi membendung kecenderungan mereka yang ingin mencuba. Sama seperti peringatan tentang bahaya penyakit, contohnya penyakit berjangkit, ia perlu dilakukan bagi membendung penularan, dan tidak sesekali bermakna badan tersebut mendiskriminasi atau mengecam si pesakit. Peringatan tentang pencegahan sentiasa disusuli dengan rawatan. Samalah seperti agama.

SYARIAT AGAMA ADALAH KONSISTEN BAGI MENCEGAH MUDARAT YANG LEBIH BESAR

Berbalik kepada isu homosesualiti dan gerakan hak asasi manusia, apa yang dapat diperhatikan, keganasan terhadap, dan oleh pengamal homoseksualiti ini meningkat selepas homoseksualiti dikeluarkan dari takrifan penyakit mental oleh American Psychiatric Association pada tahun 1973 bermula dengan manual diagnostik dan statistik (DSM) ke 3. Ramai kritik dari kalangan pakar psikiatri juga menyatakan keputusan membuang pengkelasan homoseksualiti bukanlah berdasarkan hasil kajian yang saintifik, bahkan merupakan lobi aktivis hak asasi manusia semata-mata dan tekanan politik. Badan Kesihatan Dunia pula, World Health Organization (WHO) juga telahpun membuang homoseksualiti dari klasifikasi penyakit dalam ICD-10 dalam tahun 1992, walaupun masih mengekalkan terma “ego-dystonic sexual orientation” iaitu pengamal homoseksualiti yang merasa bersalah dengan orientasi seksual mereka, dalam pengkelasan tersebut. Terdapat ura-ura ICD-11 akan mengeluarkan sama sekali sebarang terma yang bersangkut paut dengan pengamalan homoseksualiti. Ini menjadikan usaha untuk menangani kecelaruan gender di peringkat perubatan professional, terhenti.

Kita tidak dapat bayangkan apa berlaku jika nasihat-nasihat berpandukan agama diketepikan sama sekali.

Menyedari hakikat membendung gejala homoseksualiti ini dapat menangani masalah yang lebih meruncing, pada Februari 2015, Persatuan Pakar Psikiatri utama di Indonesia, Indonesia Psychiatrist Association telah mengklasifikasikan homoseksualiti dan gender disforia sebagai penyakit mental kerana mereka berpendapat ia boleh dirawat dan dibendung.

Jika homoseksualiti yang suatu ketika dulu dianggap sebagai orientasi seks songsang, boleh berevolusi kepada suatu bentuk penerimaan sosial dan perundangan, melalui lobi hak asasi manusia dan penukaran klasifikasi penyakit, apa yang dapat menghalang pedofilia dari menelusuri jalan yang sama?

Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker