Bagaimana feminis memusnahkan keluarga?
PADA tahun 1970, saya adalah seorang suri rumah muda tinggal bersama suami, dua orang anak, dua ekor anjing dan seekor kucing. Kami menetap di Hammersmith, sebelah barat London. Sebagai seorang yang berkerja dalam industri penyiaran TV di seluruh negara, saya dan suami jarang berjumpa. Perasaan sunyi dan terpencil menyelubungi diri saya dan perasaan rindu ingin melakukan sesuatu yang berbeza daripada memasak dan mengemas rumah turut dirasai.
Pada awal tahun 70an, sebuah gerakan wanita menuntut kesaksamaan dan hak mula muncul di dada akhbar harian sebagai tajuk utama. Saya terbaca perkataan “perpaduan” dan “sokongan” dan saya percaya bahawa wanita tidak lagi akan mendapati diri mereka diasingkan daripada satu sama lain dan mereka boleh bersatu di masa akan datang untuk melahirkan masyarakat yang lebih baik.
Setelah memperolehi alamat kumpulan tempatan di Chiswick, saya bergerak untuk menyertai Pergerakan Pembebasan Wanita. Saya telah diminta untuk membayar £3.10 sebagai yuran pendaftaran dan diminta untuk mengajak wanita lain dan mesyuarat kami digelar “kolektif”.
Keterujaan saya dengan pertubuhan baru ini hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja. Semasa kolektif besar pertubuhan ini, saya mendapati ramai wanita lantang meluahkan perasaan benci terhadap keluarga. Mereka menyatakan bahawa keluarga bukanlah tempat yang selamat bagi wanita dan kanak-kanak. Saya sangat terkejut melihat kecenderungan mereka terhadap keganasan. Saya juga pernah berdiri di atas platform yang sama cuba untuk memahamkan hala tuju organisasi ini.
Saya akhirnya dilucutkan keahlian daripada menyertai pergerakan itu. Alasannya adalah kerana saya memberi amaran kepada beberapa wanita yang bekerja di pejabat Pergerakan Pembebasan Wanita di Shaftesbury Avenue bahawa jika rancangan untuk mengebom Biba, sebuah butik pakaian di Kensington berterusan, saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Biba dibom kerana pergerakan wanita itu berpendapat ianya merupakan perusahaan kapitalis yang dikhaskan untuk mempergunakan tubuh badan wanita.
Pada masa itu, saya telah bertemu dengan sekumpulan kecil wanita di kawasan saya yang turut bersetuju dengan saya. Kami memujuk Majlis Hounslow untuk memberikan kami sebuah rumah kecil di Belmont Terrace di Chiswick yang mempunyai dua bilik di tingkat atas, dua bilik di tingkat bawah, dapur dan tandas di luar. Kami memasang telefon dan mesin taip, dan kami memulakan perniagaan.
Setiap hari selepas menghantar anak-anak saya ke sekolah, saya pergi ke rumah kecil kami yang dipanggil ‘Women’s Aid’. Ramai wanita dari seluruh bandar Chiswick datang memohon bantuan kami. Akhirnya sekarang, kami mempunyai tempat untuk para wanita berkumpul bersama dan boleh membawa anak-anak mereka. Saya tidak lagi sunyi.
Tetapi sesuatu telah berlaku yang membuatkan saya faham bahawa peranan kita akan menjadi lebih daripada sekadar satu forum di mana wanita boleh bertukar-tukar idea. Pada suatu hari, seorang wanita datang mengunjungi kami. Dia menanggalkan pakaian beliau, dan kami nampak kesan lebam dan bengkak pada payudaranya dan belakang badan beliau. Kecederaan itu disebabkan oleh suaminya yang memukulnya dengan kerusi. Dia memandang ke arah saya dan berkata: “Tiada siapa yang akan menolong aku”.
Untuk seketika, saya terimbau ke masa lampau. Saya berumur enam tahun, berdiri di hadapan seorang guru di sekolah, kaki saya berbirat dan berdarah kerana sebatan tali seterika. “Ibu saya menyebat saya malam tadi,” saya berkata. “Memang patut pun,” jawab guru. “Kau tu budak bermasalah.”
Tiada siapa yang akan membantu saya ketika itu dan tiada siapa yang akan membayangkan bahawa wanita cantik, kaya dan isteri seorang diplomat iaitu ibu saya boleh menjadi pendera ganas.
35 tahun kemudian, saya telah melupakan masa lalu saya dan menganggap bahawa kita telah mempunyai pekerja sosial, pegawai akhlak, doktor, hospital dan peguam cara, jadi mangsa keganasan mempunyai bantuan yang cukup.
Saya mendapati, wanita dan anak-anak yang didera melihat bahawa apa sahaja yang berlaku di rumah orang lain adalah bukan urusan meraka.
Sekiranya seseorang dipukul di jalanan, ia dipanggil kesalahan jenayah dan sekiranya jenayah itu dilakukan di dalam rumah atau tertutup ianya dipanggil ‘domestik’ dan polis tidak mempunyai sebarang hak atau kuasa untuk masuk campur.
Fakta yang mengejutkan saya adalah sikap berdiam diri ke atas keganasan rumah tangga.
Semua agensi sosial mengetahui mengenai isu keganasan rumah tangga tetapi tiada sesiapa yang peduli untuk membincangkan isu ini. Saya juga mencari bahan bacaan untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam sebaliknya hanya menjumpai beberapa rencana mengenai penderaan kanak-kanak di dalam jurnal perubatan.
Pada tahun 1974, saya telah mengambil keputusan untuk menulis buku pertama di dunia yang membincangkan isu keganasan rumah tangga “Scream Quietly or The Neighbours Will Hear“. Saya telah membongkarkan bahawa ramai wanita dan kanak-kanak didera di dalam rumah meraka sendiri dan mereka tidak mampu untuk menyelamatkan diri kerana undang-undang tidak berpihak kepada mereka.
Sekiranya si suami menyatakan hasrat untuk bersama semula dengan isterinya, si isteri tidak boleh menuntut bantuan kewangan daripada Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Sosial, dan pekerja sosial hanya boleh menawarkan untuk menjaga anak mereka.
Sementara itu, rumah kecil kami penuh dengan wanita yang melarikan diri daripada pasangan ganas mereka. Pernah suatu ketika sebanyak 56 ibu-ibu dan kanak-kanak berkumpul di dalam empat bilik. Semua mempunyai cerita yang amat berat, tetapi saya mengetahui tidak semua wanita tidak bersalah. Ada yang ganas seperti lelaki, dan juga ganas terhadap anak-anak mereka.
Para pekerja sosial yang terlibat dengan wanita-wanita ini memberitahu saya hanya membuang masa kerana wanita-wanita ini pasti akan kembali ke pasangan mereka.
Saya bertekad untuk mencuba untuk memecahkan rantaian keganasan. Tetapi apabila akhbar tempatan mula menulis cerita-cerita yang diperolehi dari rumah kami, saya mula bimbang tentang ancaman yang sangat berbeza.
Saya tahu bahawa gerakan feminis radikal tidak lagi disokong kerana ramai wanita telah menjauhi agenda antilelaki dan antikeluarga gerakan itu. Bukan sahaja mereka mencari sebab, mereka juga mahukan wang.
Pada 1974, wanita yang tinggal di bawah perlindungan kami, mengadakan satu mesyuarat di dewan gereja tempatan kami untuk menggalakkan kumpulan lain membuka pusat perlindungan di seluruh negara.
Kami sangat terkejut kerana banyak aktivis lesbian radikal dan aktivis feminis daripada Pergerakan Pembebasan Wanita turut hadir. Mereka mula mengundi diri mereka ke dalam gerakan kebangsaan di seluruh negara.
Selepas perdebatan yang hangat, saya meninggalkan dewan dengan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dan selepas itu perkara yang paling saya takuti telah berlaku.
Dalam masa beberapa bulan, Pergerakan Pembebasan Wanita merampas pergerakan keganasan rumah tangga bukan sahaja di Britain, malah di peringkat antarabangsa.
Geran kami telah diberikan kepada mereka dan mereka mempunyai alasan yang sah untuk membenci dan menyalahkan semua lelaki. Mereka tampil dengan kenyataan yang berat sebelah. Mereka mengisytiharkan semua wanita tidak bersalah terhadap keganasan lelaki.
Mereka membuka pusat pelindungan di negara ini dan lelaki dilarang daripada bekerja dengan mereka atau duduk bersama dalam jawatankuasa yang mengawal mereka.
Wanita dengan masalah alkohol atau dadah tidak dibenarkan masuk, sama seperti kanak-kanak lelaki berumur lebih daripada 12 tahun. Perhubungan di antara pusat pelindungan yang membolehkan lelaki bekerja di sana telah ditolak.
Kumpulan kami di Chiswick telah bekerjasama dengan banyak pusat perlindungan. Ramai wanita prihatin masih bekerja di tempat perlindungan di seluruh negara, tetapi ramai juga wanita yang bekerja di perlindungan feminis, kira-kira 350, mengakui bahawa mereka telah mengecewakan ramai wanita yang memerlukan bantuan mereka.
Dengan jumlah derma pertama kami terima pada tahun 1972, kami telah mengupah seorang lelaki bekerja sebagai ketua kerana kami merasakan anak-anak ini memerlukan contoh lelaki budiman. Kami merangka satu program rawatan untuk wanita yang mengakui bahawa mereka juga bertindak ganas. Dan kami menumpukan perhatian kepada kanak-kanak yang terkesan daripada keganasan.
Namun pelindungan feminis terus mewujudkan program-program latihan yang hanya menggambarkan keganasan lelaki terhadap wanita. Perlahan-lahan, polis dan organisasi lain telah dipengaruhi untuk mengabaikan kajian yang membuktikan lelaki juga boleh menjadi mangsa.
Walaupun wartawan feminis menyerang di dada akhbar dan mengancam dengan panggilan telefon tanpa nama, saya tetap berhujah bahawa keganasan adalah tingkah laku yang dipelajari daripada peringkat kanak-kanak lagi.
Pada pertengahan tahun lapan puluhan, saya menerbitkan buku bertajuk ‘Kecenderungan terhadap Keganasan’ hasil daripada cerita-cerita wanita dan kanak-kanak mangsa keganasan. Saya telah disekat oleh ratusan wanita dari perlindingan feminis yang memegang sepanduk “Semua lelaki adalah anak haram” dan “Semua lelaki adalah perogol”.
Disebabkan ancaman keganasan yang diterima, saya terpaksa mendapatkan khidmat polis pengiring di seluruh negara.
Ia adalah situasi yang cukup buruk bahawa kumpulan kecil ini telah mempengaruhi pekerja sosial dan polis. Tetapi saya menyedari satu perkembangan yang jauh lebih berbahaya dalam penggubalan dasar oleh wanita yang berpengaruh, telah mewujudkan perasaan benci terhadap kaum lelaki.
Pada tahun 1990, Harriet Harman (telah dilantik sebagai Menteri Kabinet), Anna Coote (telah dilantik sebagai penasihat kepada Menteri Buruh untuk Wanita) dan Patricia Hewitt (dalam Kabinet Buruh) menyatakan kepercayaan mereka dalam kertas dasar sosial yang dikenali sebagai ‘The Family Way’.
Ia berkata: “Adalah tidak relevan andaian bahawa lelaki pasti menjadi aset kepada keluarga atau kehadiran bapa dalam keluarga adalah penting untuk mencapai keharmonian sosial dan perpaduan.”
Ia adalah serangan mengejutkan terhadap lelaki dan peranan mereka dalam kehidupan moden.
Hewitt, dalam sebuah buku oleh Geoff Dench, Transformasi Lelaki diterbitkan pada tahun 1995, berkata: “Tetapi jika kita ingin bapa memainkan peranan penuh dalam kehidupan anak-anak mereka, maka kita perlu membawa lelaki ke dunia taska dan sekolah-sekolah. Dan di sini, sudah tentu, kita akan menghadapi kesukaran untuk mempercayai lelaki dengan kanak-kanak.”
Pada tahun 1998, Kementerian Dalam Negeri menerbitkan satu kajian bersejarah yang menetapkan bahawa lelaki dan juga wanita boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Dengan menggunakan laporan itu, saya cuba berbincang dengan Joan Ruddock, yang ketika itu Menteri Pembangunan Wanita. Beliau walaubagaimanapun menegaskan bahawa bilangan lelaki yang didera adalah “sangat sedikit” dan beliau terus merujuk kepada lelaki sebagai “pelaku”.
Selama hampir empat dekad, sikap kejam terhadap kehidupan berkeluarga, bapa dan kanak-kanak lelaki telah meresap pemikiran masyarakat sehinggakan ke tahap bahawa guru lelaki dan penjaga kini takut untuk menyentuh kanak-kanak.
Lelaki boleh dituduh melakukan keganasan terhadap pasangan mereka dan penderaan seksual walaupun tanpa bukti. Mahkamah mendiskriminasi golongan bapa dan enggan membenarkan mereka menemui anak-anak mereka.
Sudah tentu, terdapat lelaki berbahaya yang memanipulasi sistem mahkamah dan perkhidmatan sosial untuk menganiaya pasangan dan anak-anak mereka. Tetapi dengan menyalahkan semua lelaki, kita telah mengabaikan tumpuan terhadap golongan minoriti lelaki dan menolak kerjasama golongan lelaki yang sanggup bekerja bersama wanita untuk mencari jalan penyelesaian.
Saya percaya bahawa pergerakan feminis membayangkan dunia baru yang memusnahkan kehidupan keluarga. Pada abad baru, mereka percaya unit keluarga akan hanya terdiri daripada wanita dan anak-anak mereka. Golongan bapa tidak diperlukan. Dan semua ini telah merampas perdebatan mengenai keganasan rumah tangga.
Pada pendapat saya, ianya bukan isu jantina. Mereka yang terdedah kepada keganasan di awal kanak-kanak membesar untuk mengulangi apa yang dipelajari, tanpa mengira sama ada mereka adalah perempuan atau lelaki.
Saya sedih melihat kembali diri saya semasa muda dan membayangkan bahawa mungkin ada tempat di mana lelaki, wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan fizikal dan seksual boleh mendapatkan bantuan, dan jika mereka bertindak ganas mereka boleh diberi peluang kedua untuk belajar hidup secara harmoni.
Saya percaya visi sebenar telah dirampas oleh dendam wanita dan telah menggunakan pergerakan perlindungan untuk menganiaya lelaki. Sesungguhnya masa telah tiba untuk mencabar ideologi kejam ini dan menegaskan bahawa lelaki mempunyai tempat yang sah dalam pergerakan perlindungan.
Kita memerlukan pergerakan yang inklusif yang menawarkan sokongan kepada semua orang yang memerlukannya. Bagi saya, saya akan terus bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan saya atau boleh membantu orang lain termasuk lelaki.
Artikel ini ditulis oleh Erin Pizzey dan telah disiarkan di laman web www.dailymail.co.uk.
Ia telah diterjemah ke bahasa Melayu oleh Nur Hafiza Pakhurdin untuk siaran Ismaweb.net.
Erin Pizzey, pengasas institusi perlindungan untuk isteri-isteri yang didera, dalam bagaimana militan feminis mempunyai pakatan sulit dengan wanita terkemuka Persatuan Buruh merampas perjuangan beliau dan menggunakannya untuk memburukkan semua orang.
BERKAITAN:
http://www.ismaweb.net/2016/06/feminists-tried-destroy-family/