Difteria dan vaksinasi: Suatu peringatan untuk kita
MINGGU ini rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak akibat jangkitan Difteria. Kebanyakan dari kita sebenarnya amat jarang mendengar mengenai penyakit ini, apatah lagi untuk melihat pesakit dengan gejala Difteria.
Difteria atau jangkitan di saluran kerongkong adalah sejenis penyakit yang boleh membunuh kanak-kanak dengan mengakibatkan kegagalan sistem pernafasan.
Punca penyakit ini ialah akibat jangkitan sejenis bakteria yang bernama Corynebacterium Diphtheria. Bakteria ini boleh menjangkiti tisu di sekitar tekak manusia iaitu bahagian tonsil, farinks, larinks dan hidung. Selaput mukus lain, kulit, konjunktiva dan kemaluan juga boleh terjejas dalam sesetengah kes.
Bakteria ini berbahaya kerana ia menghasilkan toksin yang menyebabkan radang di sekitar tekak iaitu pembentukan membran berwarna kelabu keputihan pada tonsil dan bengkak pada leher. Ini akan menyekat tekak, peti suara dan paru-paru sehinggakan mangsa mengalami kesuakaran untuk bernafas.
Bahkan toksin ini juga boleh mengakibatkan jangkitan darah dan menjejaskan fungsi pelbagai organ lain seperti jantung dan saraf.
Penyakit ini amat mudah tersebar kepada individu lain melalui titisan cecair pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti itu batuk, bersin atau bercakap.
Di Malaysia, wabak difteria ini telah dapat dibendung semenjak pelalian difteria dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan mulai tahun 1972.
Harus difahami, vaksinasi atau imunisasi adalah salah satu proses untuk mengawal sesuatu penyakit, dan bukanlah kaedah untuk merawat penyakit. Ia bekerja dengan cara membentuk ketahanan badan (immunity) seseorang individu terhadap sesuatu penyakit.
Proses vaksinasi juga mengambil masa bertahun-tahun untuk menunjukkan impak dalam immuniti kelompok (herd immunity) bagi memastikan golongan yang tidak menerima vaksin turut terlindung dari jangkitan, hasil dari ketahanan yang diperolehi dari golongan yang menerima vaksin.
Manakala rawatan untuk penyakit ini pula adalah berbentuk antibiotik dan rawatan sokongan (supportive therapy) yang lain.
Justeru itu, adalah penting untuk semua lapisan masyarakat terutama para ibubapa untuk memberikan kerjasama penuh dalam mengawal wabak ini dari kembali menyerang anak-anak kita.
Difteria adalah salah satu contoh awal yang harus kita ambil dengan penuh rasa keinsafan sebagai tanda peringatan untuk kita mengenai peri pentingnya vaksinasi. Jangan pula kerana sikap menolak vaksinasi kita mengundang wabak-wabak lain yang sudah lama tidak kedengaran seperti jangkitan Tetanus (kancing gigi).
Ubahlah sikap jumud dan taksubnya kita dengan sesuatu pandangan mengenai isu-isu berkaitan vaksinasi sehingga menolak vaksin. Ia mengakibatkan bukan sahaja nyawa anak-anak kita terancam, bahkan nyawa anak-anak lain terjejas sama.
Dapatkan maklumat yang sahih dari sumber-sumber yang benar dan kredibel (credible), bukan cuma dari pengalaman dan cetusan pendapat beberapa individu dan kes-kes terpencil.
Serta rujuklah kepada orang-orang yang pakar dan terlatih dalam ilmu ini (ulamak), dan bukannya dari sembang-sembang di laman maya sahaja.
Ingatlah, tanggungjawab memberi vaksinasi kepada anak-anak haruslah ditunaikan kerana ia merupakan satu bentuk amanah Allah untuk memelihara anak-anak kita dari wabak yang bisa meragut nyawa.
Ayuh, pastikan anak-anak kita diberi kan hak mereka untuk mendapat imunisasi lengkap, terutama vaksin 5 serangkai untuk penyakit Difteria ini, sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dr. Nor Azyati Yusoff
Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Cawangan Kajang
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net