Keluarnya UK dari EU, kita perlu ambil pengajaran: Pendebat terbaik Manchester
KEPUTUSAN UK untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (Eropah Union) berdasarkan undian telah menjadi topik perbualan hangat yang turut dibicarakan oleh rakyat Malaysia.
Menyentuh tentang referendum tersebut, Thalhah Kamarol Zaman yang dinobat sebagai pendebat terbaik Manchester mengatakan bahawa beliau turut terlibat dalam pengundian yang dibuat.
“Saya dibenarkan mengundi atas tiket commonwealth citizen iaitu merupakan perjanjian lama Pejabat Tanah komonwel Her Majesty dengan kerajaan commonwealth setelah negara tersebut merdeka”
“Alasan ketika itu adalah rakyat komonwel banyak menetap di UK” kata beliau ketika ditemu ramah.
Ketika diminta memberi komen tentang sebab beliau turun mengundi berbanding rata-rata pelajar Malaysia di UK lain yang banyak berlepas diri, beliau mengatakan bahawa keputusan itu dibuat kerana itu hak yang diberikan kepada beliau.
“Saya mengambil keputusan untuk mengundi di dalam referendum ini atas dasar hak yg telah diberikan kepada saya dan referendum ini akan banyak memberi kesan kpd kawasan saya menetap iaitu di Durham” ujar beliau.
Menjelaskan tentang latar belakang referendum tersebut, saudara Thalhah menerangkan bahawa hubungan referendum dengan Kesatuan Eropah bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah.
“referendum ini bukanlah perkara baharu tetapi merupakan sambungan dari siri referendum-referendum yang lepas di mana referendum kali ini adalah penentu hubungan yang terakhir antara UK dengan kesatuan Eropah, bermakna jika mereka mengundi keluar mereka sudah tiada apa-apa hubungan dengan Eropah lagi selepas ini”
“Referendum ini timbul setelah sokongan kepada parti bernama UKIP (United Kingdom Independence Party) yang memperjuangkan misi mengeluarkan UK daripada Kesatuan Eropah.”
“Oleh itu, Parti Konservatif di bawah kepimpinan David Cameron telah mengusulkan dalam manifesto Pilihan raya umum yang lepas bahawa sekiranya mereka diberikan mandate sekali lagi, mereka akan adakan referendum khusus untuk Eropah atas dasar memenangi undi”.
Menyentuh tentang isi referendum itu sendiri, saudara Thalhah mengatakan terdapat beberapa kesalahfahaman rakyat Malaysia khususnya pelajar mengenai kesan referendum tersebut.
“Antara kesalahfahaman yang popular adalah seperti mengatakan sekiranya UK keluar daripada EU, maka kita (pelajar) tidak dapat lagi mendapat akses ke negara-negara Eropah yang lain”
“Hakikatnya, akses ke negara-negara bukanlah kerana tiket EU, tetapi atas dasar hubungan kebersamaan kerajaan Malaysia dan juga EU, maka itulah sebabnya kita boleh gunakan passport kita untuk masuk ke EU tanpa VISA” ujar beliau.
Dari segi kesan langsung, dari segi pengundi Komanwel Thalhah mengatakan secara keseluruhannya tiada kesan langsung referendum tersebut kepada Malaysia, tetapi ada beberapa kemungkinan yang boleh berlaku.
“contohnya, yuran tuisyen pelajar antara bangsa adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi daripada pelajar EU, hal ini berlaku kerana kita kena menanggung yuran tuisyen untuk menampung pelajar-pelajar dari EU”.
“Maka dengan keluar daripada EU, berkemungkinan yuran pelajar EU akan naik dan yuran kita turun, atau tiada perubahan, atau ketiga kedua-duanya akan naik”.
“Namun begitu, isu yang paling besar sebenarnya adalah ketidakadilan benefit sistem, di mana penduduk Malaysia sebagai antara populasi ASEAN yang paling ramai ke UK hakikatnya tidak mendapat sebarang kelebihan layanan berbanding dengan penduduk Eropah yang mendapat akses penuh kepada kelebihan-kelebihan termasuklah skim pengangguran dan kesihatan”
“Di sinilah ketidakadilan yang berlaku, di mana kita sebagai negara yang dijajah, yang menyalurkan kekayaan kepada mereka tetapi kita dilayan berbeza dengan penduduk EU”.
“Dari segi ekonomi pula, ekoran daripada keputusan UK untuk keluar daripada EU hal positif yang Malaysia boleh nampak adalah hari ini UK tidak perlu lagi terikat dengan perjanjian perdagangan EU bermakna UK kini bebas berdagang negara bukan Eropah termasuk negara Asia Tenggara seperti Malaysia.” Ujar beliau yang juga merupakan pelajar ekonomi di Durham University.
Ketika menamatkan temu bual, saudara Talhah mengatakan bahawa Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada hasil referendum yang telah berlaku.
“Yang paling penting adalah kita sebagai negara yang bakal menyertai blok ekonomi perlu pastikan tiada tangan-tangan asing yang masuk campur urusan dalaman negara kita”
“Kita adalah negara yang sensitif, kita ada negara Islam sebagai agama persekutuan, kita ada Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita ada bangsa majoriti yang pegang tampuk politik, maka kita kena pastikan hal-hal sensitif ini tidak boleh disentuh oleh orang luar” katanya lagi.
laporan Haziq Abd Rahim
*Laporan ini merupakan temuramah pelajar Malaysia yang terlibat secara langsung dalam pengundian Brexit dan tidak semestinya menggambarkan pendapat sebenar ISMA Eropah.