Berita UtamaPendapatUtama

Hak individu untuk makan? Sekurang-kurangnya jagalah adab

bazar ramadan
Sebagai seorang Islam, saya tidak pernah menghalang teman-teman saya yang bukan Islam untuk makan di depan saya di bulan Ramadan.

Malah, ketika selesai mesyurat tempoh hari saya sendiri bergegas membawa kawan Scottish saya ke dewan makan untuk makan tengah hari sekalipun dia menggesa saya tidak perlu risau jika dia terlepas makan.

Saya menjawab, “ini tanggungjawab saya sebagai orang Islam untuk melayan anda dengan baik dan memastikan hak anda terjaga.”

Malah semalam, ketika kawan Canadian saya sedang makan donut bersama isteri beliau di depan kami sebelum waktu berbuka, tidaklah saya menempelak mereka dan menjerit macam orang dirasuk hantu. Malah, kami berbual seperti biasa dan beliau mencadangkan saya membeli donut yang beliau makan tersebut.

Apapun, masih ramai di kalangan teman-teman saya yang bukan Islam tetap menghormati kami dan tidak makan di hadapan kami di bulan puasa ini.

Namun pada hari ini saya terbaca ada fenomena baru pula. Saya terbaca ada segelintir wanita Islam bertudung yang sengaja makan di khalayak ramai dengan alasan hak mereka untuk makan atas uzur syar’ie. Kenapa perlu dipaksa mereka untuk berlapar?

Saya teringat kisah ibu saya berkongsi pengalaman bagaimana dulu kalau arwah nenek saya kalau tidak berpuasa atas uzur syar’ie, tiada siapa di dalam rumah yang tahu beliau tidak berpuasa.

Saya tanya ibu saya, “kenapa arwah nenek tak makan jer? Dalam rumah kan lagipun memang dia tak boleh berpuasa? Tak salah makan depan keluarga.”

Ibu saya menjawab, “bukannya tidak boleh, tetapi hanya menjaga adab. Kita kena jaga adab dengan orang lain yang berpuasa. Jangan nak melayan kehendak sendiri sahaja. Katakanlah bukan di bulan puasa dan keliling kita orang miskin yang tidak mampu nak beli makanan, adakah kita akan ambil sikap tidak endah dan makan sahaja di depan mereka? Kalau tidak berpuasa, jagalah adab sekurang-kurangnya sebagai menghormati orang yang berpuasa.”

Begitulah generasi umat Islam yang lalu, sangat menjaga adab kesopanan dan kesusilaan. Saling menghormati walaupun dari segi hakikatnya dalam konteks puasa boleh sahaja mereka makan di khalayak ramai.

Sehingga ke hari ini, saya sendiri tidak pernah nampak ibu saya makan di depan saya di dalam rumah ketika beliau tidak berpuasa. Kalau ini adab ketika dengan anak sendiri, apatah lagi nak makan di khalayak ramai di negara yang majoritinya Islam.

Janganlah terlalu ghairah mempertahankan hak individu sehingga lupa adab budi pekerti. Hidup bermasyarakat perlulah beradab. Kalau hilang adab dan kesusilaan, hilanglah nilai kemasyarakatan harmoni yang telah wujud sekian lama.

Abu Ameen

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker