Pendapat

Umat Islam dan garis panduan melibatkan rumah ibadah

kawasan_terpadu_pembangunan_5_tempat_ibadah

Alhamdulillah, kita masih berada di bulan Ramadhan, dalam 10 malam terakhir mengejar pengampunan dan Lailatul Qadar, kiranya kita mendapat rahmat Allah untuk bertemu malam 1000 bulan.

Namun dalam madrasah tarbiah ini, ada beberapa perkara yang masyarakat masih belum memahami sepenuhnya yang wajar diperbetulkan. Saya sebetulnya sangat terkejut, apabila seorang muslim Saudara Syed Azmi Alhabshee terlibat dalam penganjuran majlis berbuka puasa di sebuah gereja baru-baru ini dan berbangga dengan kemesraan yang terjalin.

Tambahan lagi, seorang peserta yang hadir Saudari Rayyan Haries mendakwa bahawa itu adalah bukti rakyat Malaysia yang penyayang masih wujud dan beliau kagum dan taajub dengan kemampuan berbuka puasa bersama walaupun berlainan agama.

Adakah kita ketandusan majlis untuk kita zahirkan bukti kemesraan rakyat Malaysia?

Tanpa melibatkan rumah ibadat, bukankah banyak cara lain untuk kita bermuamalah untuk menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia yang majmuk adalah masyarakat yang penyayang?

Izzah kita kepada Islam sepatutnya menjadikan kita peribadi yang yang berjaga-jaga dengan apa jua tindakan dan apa jua majlis dan tempat yang kita hadiri.

Apabila melibatkan rumah ibadah, kita sewajarnya merujuk kepada beberapa garis panduan dan kesesuaian:

1- Saidina Umar al-Khattab pernah berkata

“لا تدخلوا على المشركن في كنائسهم ومعابدهم فان السخطة تنزل عليهم”

Maksudnya : Jangan kalian masuk ke gereja-gereja dan rumah ibadah musyrik sesungguhnya kemurkaan Allah turun ke atas mereka

(HR Baihaqi dalam as-Sunan 9/234, Abdurrazzaq dalam al-Musannif no. 1609)

2- Ulama ahli majlis Fatwa dalam “Lajnah Da’imah lilbuhuth ilmiyyah wal ifta’” dalam bab Aqidah, tajuk al-Wala’ dan al-Barra’ juga memfatwakan tidak harus bagi seorang muslim masuk kerumah ibadah bukan muslim dengan alasan, masukknya kita kerumah ibadah bukan muslim akan menambahkan kemegahan mereka.

Mereka juga berhujjah dengan kata-kata Saidina Umar al-Khattab yang melarang masuk kerumah ibadah orang musyrikin.

3- Allah SWT melarang Baginda SAW dan kaum muslimin daripada solat di Masjid Dhirar. Masjid Dhirar merupakan masjid yang dibina oleh Munafiqin berhampiran masjid Quba’ ketikamana Baginda SAW sedang bersiap-siap menuju perang Tabuk dan matlamat pembinaan Masjid Dhirar adalah untuk memecahbelahkan kesatuan Muslimin Madinah yang utuh.

Larangan ini adalah untuk memasuki masjid. Apatah lagi masuk ke rumah ibadah bukan muslim yang memang asas pembinaannya adalah munkar dan maksiat. Larangan ini lebih utama.

4- Agenda musuh-musuh Islam yang semakin hari semakin mengancam kedaulatan Islam di bumi Malaysia ini, sepatutnya menjadi satu dalil dan sandaran untuk kita, Muslim yang Izzah dengan Islam ini untuk lebih sensitif dengan segala macam usaha mencairkan jatidiri Muslim.

Situasi muslim pada hari ini, sangat berlonggar dalam semua isu hatta yang menyentuh sensitiviti beragama sehingga tidak sedar kita sudah berada dalam jerat musuh.

Berhati-hatilah kita dalam menilai hak dan batil supaya Islam terus didaulatkan dengan selayaknya.
“Janganlah kalian mencampuradukkan yang hak dan yang batil dan janganlah pula kalian menyembunyikan yang hak, sedangkan kalian mengetahui”maksud ayat 42 surah al-Baqarah.

Selamat terus menghidupkan hari-hari Ramadhan yang berbaki. Salam Aidilfitri.

Ustazah Elyah Ali
Ahli Jawatankuasa
Biro Tarbiyah
ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker