Sikap mandiri bantu belia mencintai pekerjaan
Sikap mandiri menjadi aset penting bagi golongan belia menghadapi cabaran ekonomi masa kini. Kelembapan pertumbuhan ekonomi yang melanda menampakkan tiada hujungnya dalam tempoh terdekat ini.
Cabaran survival ekonomi dunia kini menunjukkan bahawa bukanlah jalan terbaik bagi belia untuk melepaskan pekerjaan yang mereka ada sekarang kerana belum pasti peluang pekerjaan lain akan datang.
Lebih membimbangkan jika mereka tergolong sama dalam statistik belia menganggur setelah berhenti kerja nanti.
Bukanlah mahu memomok-momokkan golongan belia dengan pilihan yang ada di mata mereka, namun, jika mereka memilih untuk bekerja sendiri dalam tempoh kegawatan ekonomi ini, sikap mandiri masih menjadi titik tolak yang penting dalam menjamin kesinambungan mata pencarian mereka.
Satu keputusan undian telah dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bahawa 26.6% belia tidak suka kepada pekerjaan mereka sekarang.
Ini menjadi hal yang membimbangkan kerana, kajian menunjukkan bahawa pekerja yang tidak menyukai pekerjaan mereka, tidak mampu untuk memberikan prestasi yang baik malah akan membantutkan pembangunan ekonomi.
Tanpa menolak faktor-faktor luar seperti polisi negara, peluang pekerjaan, kemudahan yang disediakan majikan, kami ingin memfokuskan isu ini pada sudut pandang sikap mandiri golongan belia itu sendiri.
Hal ini kerana, manusia itu tidak mampu mengawal keadaan sekelilingnya jika dia tidak mampu mengawal keadaan dirinya terkebih dahulu. Pekerja-pekerja muda perlu mengubah cara fikir dan lebih bersedia mengharungi cabaran globalisasi masa kini.
Sewaktu di alam universiti, mahasiswa sepatutnya menggunakan tempoh tersebut untuk memantapkan sikap mandiri mereka.
Malah, sejarah pernah membuktikan bahawa, mahasiswa pernah mempunyai koperasi mereka sendiri di universiti sehingga mampu menggaji pekerja dan menggunakan hasil perniagaan tersebut bagi kebajikan mahasiswa yang memerlukan.
Ini terbukti kepada kita bahawa, belia yang menggunakan zaman emas mereka di universiti mampu menjadi belia yang bukan hanya makan gaji malah mampu memberi kehidupan dan sumber pendapatan kepada masyarakat luar kampus mereka.
Amat membimbangkan sekiranya fenomena tidak mencintai pekerjaan ini berterusan kerana bukan sahaja akan membantutkan ekonomi negara malah akan menyebabkan menurunnya kadar inovasi pekerja disebabkan belia hanya bekerja untuk mendapatkan gaji semata dan bukan untuk berbakti kepada negara.
Membenci pekerjaan bukanlah pilihan terbaik di zaman kegawatan ekonomi kini.
Mahasiswa di alam universiti perlulah menyiapkan diri untuk berhadapan dengan cabaran ekonomi ini dengan menyertai aktiviti ataupun persatuan yang mampu memantapkan sikap mandiri mahasiswa.
Seterusnya menjadikan mereka golongan belia yang teguh menghadapi cabaran globalisasi ekonomi malah menjadi belia yang bekerja dengan penuh dedikasi dalam apada jua bidang demi cinta kepada negara.
Sharifah Abdul Samad
JK Akademik PEMBINA