Kita kan saudara
Setiap kehidupan di atas muka bumi ini tiada yang berseorangan. Pasti punyai kelompok atau berada dalam kumpulan yang tersendiri.
Seperti seorang manusia yang memiliki ibu bapa, keluarga, sanak-saudara juga teman-teman yang akan menemani dan mewarnai kehidupan seharian mereka.
Namun, seseorang individu itu akan lebih cenderung kepada orang yang dikenalinya dan menganggap orang yang asing tidak ada kaitan dalam hidupnya lalu terus langsung tidak mengendahkannya.
Akan tetapi, Islam hadir mengajar penganutnya untuk menyebarkan persaudaraan.
Bahkan Islam menggalakkan kita untuk menjalinkan silaturrahim sesama manusia lebih-lebih lagi dengan saudara seIslam.
Nabi s.a.w juga menyuruh supaya menghubungkan persaudaraan sesama Muslimin.
Sabda Baginda s.a.w:
“Dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara”
Seseorang Muslim juga dituntut supaya bergaul dengan saudara seislamnya dengan cara yang mampu menjinak dan menyatukan hati-hati mereka agar lebih dekat dengan Pencipta.
Allah s.w.t berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu.” (Al-Hujaraat : 10)
Oleh itu, segala perasaan dengki, iri hati atau segala macam perkara yang dapat memusnahkan hubungan baik sesama manusia amatlah dikeji.
Janganlah kita menjadi pemutus ikatan silaturrahim kerana balasannya amatlah berat.
“Dan orang-orang yang melanggar janji Allah setelah diikrarkannya, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah agar disambungkan dan berbuat kerusakan di bumi; mereka itu memperoleh kutukan dan kediaman yang buruk (Jahanam)” (Ar-Ra’ad : 25)
Islam hadir membawa seribu satu rahmat kepada seluruh alam. Setiap perintah dari Allah sudah tentu akan diberikan ganjaran jika dituruti dan dilaksanakan oleh hambaNya.
Jadi beruntunglah bagi mereka yang sedar akan kepentingan untuk menjaga dan mengekalkan hubungan persaudaraan.
Silaturrahim merupakan sebahagian daripada kesan bahkan antara tanda keimanan seseorang.
Dari Abu Hurairah R.A. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia memuliakan tamunya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia menyambung hubungan silaturrahim” (HR Bukhari dan Muslim)
Silaturrahim dapat menjadi antara asbab utama seseorang untuk masuk syurga dan dijauhkan dari azab api neraka.
Dari Abu Ayyub al-Anshari ra, sesungguhnya seorang laki-laki berkata:
“Ya Rasulullah, ceritakanlah kepadaku amalan yang memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka. Maka Nabi s.a.w. bersabda : Engkau menyembah Allah swt dan tidak menyukutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung silaturrahim.”(HR Bukhari dan Muslim)
Janganlah kita memandang enteng terhadap hubungan silaturrahim kerana ia amat dituntut dalam Islam. Ia dapat dilihat sebagai tonggak utama akan kekuatan umat Islam. Bersatu teguh bercerai roboh. Jika umat Islam dapat bersatu, maka sudah pasti Islam dapat bangkit kembali meneraju.
In shaa Allah.
Marilah kita bersama-sama menjaga hubungan silaturrahim dan membina jambatan ke syurga hakiki.
Sampaikanlah salam kerana, kita kan saudara.
Wallahu’alam.
Ainnur Aisyah Binti Lahmudin
Tahun 4 Ab Shetty Memorial Institute Of Dental Sciences
Aktivis Isma India Zon Selatan
Artikel ini telah diterbitkan secara rasmi di ismaindia.net