Pendapat

Relevansi pendekatan AKP dalam proses Islamisasi di Turki – Pengalaman dan Pelajaran

13770485_1391724620844608_563414597182348888_n

Berpeluang selama hampir sebulan berada di bumi Turki, ditambah dengan aneka peristiwa yang berlaku ketika berada di sana, seperti pengeboman berani mati di lapangan terbang Atartuk, dan juga cubaan rampasan kuasa oleh tentera membolehkan penulisan ini dilakukan dengan gambaran lebih jelas, berbanding dengan hanya merujuk kepada penulisan-penulisan akademik.

Di samping temu bual dengan rakyat tempatan, penjawat awam, ahli akademik dan juga pimpinan masyarakat pelbagai lapisan di sana.

Artikel ini akan memfokuskan kepada pengalaman parti pemerintah AKP bermain dalam lopak sekular yang begitu pekat yang bukan sahaja menerobos ke dalam pemerintahan yang dikawal perlembagaan, tetapi juga berakar umbi ke peringkat rakyat dan kehidupan seharian masyarakat Turki.

Justeru, skop tulisan yang akan dilakukan adalah dengan melihat pengalaman AKP dalam melakukan pembaikan terhadap kepekatan sekular yang mengakar  secara berperingkat dan projek-projek Islamisasi yang sedang dan telah dilakukan.

Pada artikel lain, saya akan membuka ruang perbincangan kepada krisis politik dalaman dan luaran yang sedang melanda Turki.

Pendahuluan

Pengalaman Turki yang masih baru (sekitar 15 tahun) telah berjaya melahirkan satu model yang unik seterusnya mengeluarkan Turki daripada negara dunia ketiga menjadi salah sebuah negara pemain utama politik antarabangsa biarpun diancam oleh pelbagai cabaran dan kemelesetan keadaan sekeliling.

Pengalaman yang dinamakan sebagai “Percubaan Turki” ialah suatu pengalaman yang dilalui oleh AKP yang memimpin Turki. Percubaan Turki ini tidak jauh bezanya dengan apa yang telah dilakukan oleh pemimpin sebelum ini seperti Menderes, Ozal, Erbakan dan lain-lain.

Antara faktor utama yang menjadikan percubaan yang masih baru ini istimewa ialah perkembangan ekonomi, pembaikan secara demokrasi, politik luaran yang terbuka.

Jika kita melihat kepada sejarah, semasa zaman Khalifah Uthmaniah, semua polisi, tindakan, keputusan dan sebarang aktiviti kenegaraan adalah bertepatan dengan kehendak syariah. Pembangunan negara mesti selari dan berlaku dalam kerangka syarak.

Tujuan utama adalah untuk membangunkan Islam dan kehidupan umat Islam secara serentak dengan membangunkan negara ini bagi menjamin pengekalan sebuah negara Islam.

Pada era republik, negara dipisahkan dari sebarang tanggungjawab agama dengan menamatkan zaman khilafah dan mengimplementasikan sekularisme sebagai prinsip utama negara.

Islam hanya menjadi satu amalan individu. Semua, rujukan, tindakan aktiviti disemak semula, sama ada selari dengan konsep sebuah negara sekular atau tidak. Jika tidak, maka akan dicop sebagai kuno dan tidak moden.

Gerakan Islam mengambil pendekatan berbeza dalam gerakan mereka, berbeza dengan gerakan-gerakan Islam di negara lain. “Distinctive in their type”. 

Di Turki tiada asas yang sah berpandukan perlembagaan kepada mana-mana ahli politik untuk berdiri berpaksikan kepada agama. Jika parti politik mengimplementasikan elemen agama dalam mana-mana program mereka, maka mereka akan dicantas, dan dibekukan. 

Ini berlaku kerana 9 artikel awal di dalam perlembagaan Turki melindungi sekularisma dan menghalang sebarang modifikasi terhadap prinsip sekular di dalam negara.

Proses sekularisasi negara bermula dengan memodenkan masyarakat. Sekularism dimasukkan ke dalam perlembagaan pada tahun 1928 dengan menamatkan khilafah Islam, menutup institusi serta sekolah agama, memaksa lelaki memakai topi “pakaian revolusi” dan menukar tulisan arab kepada tulisan latin melalui program “letters revolution”.

Al Quran juga dicetak bukan dalam bahasa asal (arab) tetapi dicetak dalam bahasa latin, dan menukar seruan azan daripada bahasa Arab kepada Turki. Semua langkah ini diambil untuk membentuk masyarakat sekular. Menjelang tahun 1950 masyarakat mula melupakan ajaran agama, termasuklah cara untuk mengkebumikan mayat.

Selepas parti Demokratik memegang tampuk pemerintahan pada 1950, azan dibenarkan untuk dilaungkan dalam bahsa arab. Islamisasi gerakan politik mula bangkit, dan lebih banyak sekolah dan pusat pendidikan agama ditubuhkan.

Islam pada waktu itu dilihat sebagai musuh utama kepada penegakan sebuah negara maju. Walaupun akhirnya Menders berakhir di tali gantung.

Gerakan politik Islam selepas rampasan kuasa tentera 1980 (Coup D’Etat)

Pada 1991, Islamis menemukan kebebasan bersuara dan beragama, selepas pemansuhan artikel 164 daripada undang-undang penalti (undang-undang anti politik Islam), dan artikel 141, 142 (anti pemikiran kiri). 

Pemansuhan artikel ini memberi ruang yang besar kepada gerakan sivil (islamis) menubuhkan pelbagai medium interaksi harian daripada urusan perniagaan, pendidikan, kebajikan sehinggalah persatuan. 

Parti Kebajikan (Welfare party) pada ketika itu melancarkan satu inisiatif dipanggil (sistem yang adil / the just system). Sistem ini dibina sebagai projek mutualisasi antara fraksi yang berlainan ideologi. Supaya mereka saling menerima kehadiran satu sama lain

Walaupun begitu, mereka terpaksa bergerak dalam ruang sekular yang sangat pekat dan masalah pada ketika itu, Turki dilanda kemunduran yang agak teruk, beban hutang yang banyak serta kemiskinan. Majlis perbandaran banyak yang korup.

Erdogan menjadi Dato’ Bandar Instanbul dan menyelesaikan banyak krisis yang berlaku di bandar Istanbul sebagai contoh masalah air dan pembangunan dan sampah sarap.

Korupsi yang berlaku menekan parti untuk masuk bertanding pada pilihan raya 1995. Erbakan menjadi perdana menteri dalam salah satu koalisi kerajaan yang besar. Ekonomi Turki mula menunjukkan peningkatan yang positif. 

Majlis keselamatan negara mendesak Erbakan meletakkan jawatan kerana dengan jelas polisi-polisi yang digubalnya mendokong aspirasi Islam, dan bertentangan dengan perlembagaan negara yang mendokong undang-undang sekular. Projek besar beliau iaitu Millî Görüş , mendapat penentangan yang hebat daripada tentera.

Siri diskriminasi politik diteruskan. Parti Refah yang  membenarkan calon wanita mereka bertanding dalam pilihan raya dan memakai tudung di parlimen telah mencetuskan kontroversi. “This was a big transfer in the law of head scarf in 1986” kata Angel Rabasa.

Hal ini kerana, semua parti tidak ada hak untuk mempertahankan wanita daripada memakai tudung/hijab dan sebarang perlakuan ke arah itu akan menyebabkan parti itu diarah tutup. Parti Refah diharamkan pada 2001.

Bersama dalam penutupan itu adalah sekolah-sekolah agama, manakala imam-imam dipecat dan sebarang organisasi berunsur agama diharamkan untuk muncul. Mereka terpecah dua. Satu menjadi saadet dan satu lagi menjadi AKP.

Gerakan politik Islam semasa era AKP

AKP diasaskan pada 14 Ogos 2001 dan mula memasuki pilihanraya pada 3 November 2002 dan telah berjaya memenangi majoriti kerusi parlimen.

AKP telah membentuk kerajaannya sendiri dan masih lagi bertahan sehingga hari ini.

AKP mengambil alih Turki dengan segala permasalahannya termasuklah isu hutang negara dan isu penjagaan kaum minoriti (Kurdi dan lain-lain).  

AKP hanya memasuki pilihanraya setelah memahami masalah Turki secara mendalam serta menyediakan jalan penyelesaiannya. Tiga penyelesaian utama ialah; identiti, ekonomi dan kebebasan.

Kemelesetan ekonomi dan kegoyahan politik yang berlaku ialah hasil daripada hilangnya kebebasan bersuara dan demokrasi dalam sistem dan kerajaan.

Perpecahan dan masalah dalaman Turki membuka ruang kepada kuasa luar untuk campur tangan.

Perkembangan demokrasi mengikut turutan keutamaannya yang dirangka AKP ialah sesuatu yang ditangguhkan bagi menyediakan asas-asas kukuh untuk memastikan perkembangan demokrasi itu berlaku. Antara asas-asasnya ialah:

  1. Meletakkan visi, perlaksanaan berperingkat dan tidak terburu-buru
  2. Menonjolkan ciri-ciri neutral dan mengelakkan hentaman secara langsung
  3. Membangunkan ekonomi kerana ia berkait rapat dengan kehidupan seharian masyarakat
  4. Keseimbangan di antara teori yang ideal dengan keadaan realiti yang dihadapi
  5. Menjadikan penyertaan Turki dalam EU sebagai projek mengurangkan pengaruh tentera dalam masa yang sama tidak terlalu mengikut kehendak EU
  6. Membangunkan pembaikan demokrasi secara sedikit demi sedikit mengikut masanya supaya tidak dihentam musuh yang ramai dalam satu masa dan akhirnya boleh dicantumkan pembaikan-pembaikan tersebut untuk saling lengkap melengkapi.
  7. Bergerak selari dengan kehendak masyarakat dan membuka ruang perbincangan dalam projek-projek umum. Ini akan memperlihatkan kerajaan bergerak membawa suara rakyat.

Model “Islah” Di Bawah Pemerintahan AKP:

1. Penguasaan Tentera:

Penguasaan tentera yang zalim di Turki berlaku adalah kerana Republik Turki itu sendiri diasaskan selepas perang menuntut kemerdekaan dengan beberapa negara. Dikukuhkan lagi dengan barisan pimpinan terdahulu seperti Mustafa Kamal yang telah menjadikan tentera terlalu berkuasa.

Di dalam perlembagaan ada menyebut bahawa tentera yang akan menentukan prinsip negara. Tambahan pula segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara adalah untuk kepentingan tentera kerana ahli Majlis tersebut kebanyakannya dari kalangan tentera.

AKP memainkan peranan sedikit demi sedikit dengan menyebarkan memorandum secara maya pada zaman Abdullah Gul tentang bahayanya rampasan kuasa oleh pihak tentera sepertimana yang berlaku pada zaman Erbakan.

Memorandum tersebut meminta untuk tentera hanya memainkan peranannya menjaga keselamatan negara dan meninggalkan politik kepada ahlinya. Majlis Keselamatan Negara kemudiannya dianggotai oleh orang awam dan tidak lagi memihak kepada tentera.

Akhirnya perlembagaan dipinda dan tugas tentera adalah untuk menjaga sempadan dari bahaya ancaman luar. AKP meneruskan lagi usaha untuk menghilangkan pengaruh tentera dalam kalangan rakyat dengan memberi peringatan dan kesedaran secara tidak langsung akan bahaya rampasan kuasa oleh tentera.

2. Kebebasan Memakai Tudung:

Isu pengharaman tudung kembali dimainkan setelah rampasan kuasa 1997 oleh tentera ke atas Arbakan. Wanita hanya diberi dua pilihan samada untuk menyambung pelajaran tetapi tidak boleh memakai tudung ataupun boleh terus memakai tudung tetapi tidak boleh menyambung pelajaran.

Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan kemampuan, mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara demi memelihara aurat mereka. AKP pada sesi parlimen pertama mereka hanya fokus kepada ekonomi.

Pada sesi kedua parlimen mereka barulah membincangkan hak pembelajaran kepada wanita bertudung. Pada tahun 2011, AKP menghantar seorang calon wanita bertudung bertanding melawan ketua pmbangkang dan ianya adalah sebagai satu simbolik.

Akhirnya, dengan sokongan parti nasional, wanita dibenarkan memakai tudung di universiti. Hari ini jabatan kehakiman dan pendakwaraya membenarkan pekerja mereka memakai tudung kecuali polis dan tentera yang akan AKP usahakan pada masa akan datang.

3.Isu Masyarakat Kurdi:

Masyarakat Kurdi telah ditindas teruk di Turki apabila mereka diharamkan untuk bertutur dengan Bahasa ibunda mereka.

Walaubagaimanapun, AKP telah memainkan peranan besar apabila membenarkan Bahasa Kurdi dibenarkan digunakan dalam urusan rasmi termasuklah dalam mahkamah dan sekolah. Bahasa ini juga telah dijadidikan sebagai matapelajaran yang diajar dalam sistem pendidikan sebagai subjek tambahan.

 4. Dana yang banyak diberikan kepada Diyanet

Diyanet adalah badan seumpama JAKIM di Malaysia, diberikan bajet yang tinggi melebihi kementerian yang lain termasuklah kementerian dalam dan juga luar negari.

Staff Diyanet telah bertambah dua kali ganda semenjak AKP memegang tampuk pemerintahan semenjak tahun 2002 dan bajet telah bertambah 4 kali ganda. Diyanet melatih imam, menguruskan masjid-masjid dan sekolah agama, serta memantau khutbah Jumaat.

Perkembangan ini adalah perkembangan yang memberangsangkan dalam mengembalikan pengelibatan negara ke dalam hal ehwal agama yang selama ini dinafikan oleh perlembagaan sekular

5. Usaha untuk menyertai Kesatuan Eropah

Prospek menyertai EU akan memberikan inisiatif yang lebih luas dalam pengubalan perlembagaan yang lebih terbuka, termasuklah menyemak semula kod panel yang menjaga undang-undang sekular,  meningkatkan lagi hak kaum minoriti seperti Kurdi dan juga mengurangkan pengaruh tentera.

Faktor Kejayaan Dan Kebarangkalian Mengambil Pengajaran

Sebab utama untuk kita mempelajari pengalaman di Turki kerana kemenjadian dan nisbah kejayaan yang telah berjaya dicapai dari sudut ekonomi, politik antarabangsa dan lain-lain lapangan.

Ramai yang cuba meniru bulat-bulat apa yang berlaku di Turki tetapi ianya bukanlah begitu kerana apa yang penting ialah mengambil pengajaran yang boleh dipraktikkan di tempat masing-masing.

Turki menggunakan demokrasi dalam melakukan proses pembaikan dan ianya tidak sesuai untuk dunia Arab yang berhadapan dengan revolusi demi revolusi dan juga negara kita.

Model yang diamalkan di Turki berjaya kerana ianya sangat bersesuaian dengan keadaannya. Perlaksanaan sesebuah model perlu bagi sesebuah negara perlu diteliti semua aspek yang berkaitan. 

Suasana sekular di Turki masih lagi mengakar dalam masyarakatnya. Kita boleh lihat bagaimana proses peleburan identiti Muslim, bangsa Turki itu masih lagi berlaku. Pembaratan identiti atau westernization telah menjengah ke setiap sudut kehidupan masyarakat Turki.

Hal ini dapat dilihat melalui gaya hidup mereka yang ala-ala barat, gaya percakapan mereka, dan juga sudut pandang mereka terhadap agama itu.

Agama menurut mereka harus dipisahkan daripada negara dan ini selari dengan istilah laïcité, ataupun dikenali sebagai pemahaman sekular agresif Perancis.

Justeru, budaya sekular yang telah mengakar kukuh dalam kehidupan masyarakat Turki memerlukan proses pendidikan yang panjang dalam usaha untuk mengembalikan Islam sebagai cara hidup masyarakat.

Proses itu seperti kita maklum perlu bertahap, dan saya kira walaupun diulit dengan pelbagai kontroversi sehingga ke tahap ini, tempoh 15 tahun adalah tempoh yang memberangsangkan dalam proses Islamisasi Turki oleh parti pemerintah AKP. 

AKP masih mampu bernafas dalam ruang sekular kerana bermain dalam jalan yang panjang, dengan penuh berhati-hati apabila membangkitkan isu-isu sensitif berbaur agama, supaya tidak dilihat sebagai ancaman kepada pihak lawan, lantas menuduh mereka mahu melanggar perlembagaan yang berteraskan undang-undang sekular.

Wallahualam

Asyraf Farique 

Ketua Editor FOCUS

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker