Pendapat

Hak kanak-kanak di Malaysia

kanak2-51-600x400

Sebagai rakyat marhean, sebelum ini saya tidak begitu peduli mengenai hak kanak-kanak sama ada di luar negara atau di Malaysia.

Sehingga saya ditugaskan membaca dan menganalisa isu ini sebagai salah satu ‘assignment’ sarjana. Mencari dan membaca pelbagai bahan rujukan membuatkan saya rasa ada kekurangan pada isu hak anak-anak Malaysia seumpama tidak sesuai untuk diaplikasi kepada kanak-kanak di negara ini yang majoritinya beragama Islam.

Hak yang boleh dianalogikan seumpama seorang anak kecil disarungkan baju saiz dewasa tanpa mengenal ciri-ciri anak yang tidak sama seperti dewasa.

Isu hak kanak-kanak dikupas dari pelbagai perspektif terutamanya dari sudut pandang falsafah dan juga undang-undang. Saya tertarik untuk melihat isu ini sebagai seorang Muslim.

Meyakini Islam agama yang memelihara setiap penganutnya, pasti ada digariskan hak-hak seorang kanak-kanak yang belum mencapai kematangan untuk berfikir akan baik buruk sesuatu perkara, lemah berbanding tenaga seorang dewasa dan masih memerlukan pergantungan.

kanak2 4

Saya lantas mencari apakah hak seorang kanak-kanak yang digariskan Islam? Ternyata lebih menyeluruh dan mendamaikan. Hak kanak-kanak dalam Islam dipelihara sejak sebelum dilahirkan.

Hatta sebelum proses persenyawaan berlaku. Seorang anak mempunyai hak untuk dilahirkan dalam susur galur keturunan yang baik oleh ibu yang baik.

MashaAllah, indahnya aturan dalam Islam. Hak ini telah diguna pakai sejak azali berbanding hak yang ada sekarang bermula hanya sejak kurun ke 16.

Anak kepada seorang Muslim mempunyai hak-hak yang lebih menyeluruh:

  1. Hak dilahirkan dari genetik yang baik.kanak2 3
  2. Berhak diberikan nama yang baik dari susur galur keturunan yang sah.
  3. Hak untuk dibesarkan dalam didikan yang sempurna mengikut garis panduan Islam yang menitik beratkan aspek emosi, fizikal dan spiritual.
  4. Hak diberikan perlindungan dan kesihatan.
  5. Tidak melebihkan anak lelaki berbanding anak perempuan.
  6. Penyusuan susu ibu sehingga usia 2 tahun.
  7. Hak kestabilan kewangan.
  8. Hak untuk tidur berasingan dari bilik ibu bapa.

Adakah sanggup untuk kita membiarkan seorang anak yang masih belum matang untuk membuat keputusan tentang dirinya sendiri atas alasan menuntut hak sama rata seorang kanak-kanak contohnya hak memilih identiti jantina di bawah payung LGBTIQ seperti yang dinyatakan dalam laporan Children’s Right in Malaysia Disember 2012 oleh Child Rights Coalition Malaysia (Child Right Coalition Malaysia, 2012).

Definisi jantina adalah berbeza dengan definisi seks. Menurut definisi WHO, seks adalah kelamin seorang individu yang ditentukan oleh genetik dan biologi.

Jantina pula adalah karakter dan peranan yang dimainkan oleh seseorang sama ada sebagai lelaki atau perempuan dalam masyarakat. Jantina dipengaruhi oleh faktor sosial, budaya dan juga agama.

Terdapat faktor ‘pemboleh-ubah’ dalam pembentukan karakter jantina seseorang iaitu persekitarannya termasuk faktor yang disebutkan tadi.

Maka sebagai seorang ibu atau bapa dan juga masyarakat Malaysia, saya dan anda perlu menyediakan persekitaran yang membantu anak-anak dalam membentuk karakter jantina yang sesuai menurut fitrahnya. Ia adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya membiarkan kanak-kanak tanpa panduan.

kanak2 1

Ini merupakan salah satu kesan daripada perubahan definisi keluarga yang disentuh dalam draf laporan United Nation (UN) yang menyatakan definisi sebuah keluarga perlu difahami dalam rangka yang lebih luas dan cuba membuka pintu untuk mengiktiraf pasangan sama jantina dalam perundangan antarabangsa dan polisi (C-Fam, Januari, 2016).

Apa yang merisaukan saya adalah apabila hak yang perlu didukung oleh undang-undang, sosial dan juga etika dilaksanakan bertentangan dengan amalan keagamaan sesuatu bangsa itu mewujudkan ketidakadilan kepada mereka.

Saya menyeru untuk kita semua lebih membuka mata dan mengambil tahu akan isu semasa dan mengetahui hak-hak untuk mengamalkan Islam yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Sesungguhnya acuan yang terbaik untuk membentuk peribadi anak Muslim itu adalah dengan kembali kepada agama Islam itu sendiri.

Penetapan sesuatu hak amat perlu dibincangkan dengan teliti dan telus melibatkan semua pihak yang akan terkesan dengan perlaksanaannya.

Dr Anayasmin Azmi
Pegawai Perubatan Pediatrik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker