Pendapat

Fenomena Ziryab: Pemangkin atau pemusnah tamadun?

Ziryab, mengukit gambaran pelukis.
Ziryab, mengukit gambaran pelukis.

Abul-Hasan Ali Ibn Nafi atau lebih dikenali dengan gelaran Ziryab, merupakan Ketua Penghibur di Istana Cordoba semasa kurun ke-9 Masihi. Dengan wajah yang tampan dan suara yang lunak merdu, tidak hairanlah beliau lebih dikenali sebagai ‘The Songbird of Andalusia’.

Ziryab bertanggungjawab membawa revolusi hiburan dan muzik dalam budaya di Andalusia di samping menjadi agen perubahan dalam industri fesyen dan pakaian. Melalui Ziryab, pelbagai rekaan fesyen pakaian dan gaya rambut telah dicipta mengikut peredaran musim. Bukan sahaja setakat fesyen, Ziryab turut membawa perubahan terhadap citarasa makanan dan kulinari.

Ziryab juga telah menubuhkan sekolah muzik pertama di dunia, di mana di situlah beliau mencipta dan memperkenalkan alat-alat muzik baru, termasuk mengubah lagu-lagu yang akhirnya semakin berkembang pada abad-abad berikutnya.

Henry Terrace, seorang arkeologis dan ahli sejarah Perancis telah menunjukkan kekaguman yang tinggi terhadap Ziryab. Beliau pernah menyatakan bahawa “Selepas kehadiran Ziryab, kemewahan dan keseronokan telah meliputi udara nyaman di Cordoba”.

Dengan gaya hidup penuh elegan, beliau telah dianggap sebagai pencetus ketamadunan Andalusia yang telah mengubah citarasa Istana Cordoba ke arah kehidupan yang mengutamakan kemewahan dan hiburan. Dan sudah tentu, transformasi ini tidak akan berlaku tanpa sokongan Khalifah pada ketika itu, iaitu Abd-Al Rahman II.

Walaubagaimanapun, tamadun Andalusia bermula lebih awal daripada itu. Zaman kegemilangan Andalusia bukanlah bermula dengan budaya-budaya hedonisme yang mengejar kehidupan dan keseronokan duniawi, apabila Ziryab melarikan diri ke Cordoba dari Baghdad kerana wujudnya pemuzik dan penyanyi yang iri hati terhadapnya.

Apabila Musa Ibn Nusayr dan Tariq Ibn Ziyad membebaskan Andalusia pada tahun 711M daripada Roderick, seorang pemerintah Visigoth yang sangat kejam, matlamat utama mereka adalah sangat berbeza daripada apa yang telah dibawa oleh Ziryab. Walaupun 7,000 tentera di bawah perintah Tariq Ibn Ziyad terpaksa berhadapan dengan tentera Roderick yang jumlahnya lebih daripada 10 kali ganda tentera Muslim, tetapi demi untuk menyebarkan keamanan, kebebasan dan mengembalikan keadilan serta meninggikan kalimah Allah, pahlawan yang tidak mengenal erti kalah ini berjaya menaikkan semangat tenteranya untuk berhadapan dengan Roderick yang zalim itu.

Sejarah menukilkan bahawa Tariq Ibn Ziyad telah mengumpulkan bala tenteranya di Jabal Thariq (sekarang dikenali sebagai Gibraltar) dan berucap, “Kita datang ke sini (Andalus) tidak untuk kembali. Kita hanya mempunyai dua pilihan, samada menakluk negeri ini atau mati syahid”.

Kesedaran untuk menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran inilah yang telah mendorong umat Islam untuk mengubah nasib dan tamadun Andalusia. Selain itu, disiplin, usaha tanpa kenal erti penat dan jemu serta strategi yang bijak telah membolehkan pasukan Musa Ibn Nusayr dan Tariq Ibn Ziyad membebaskan Andalusia daripada cengkaman Roderick yang tiada perikemanusiaan itu.

Disebabkan juga kerana kecintaan terhadap keadilan dan keamanan yang dianjurkan Islam, disertai dengan kepintaran dan usaha-usaha gabenor-gabenor Muslim Andalusia seperti Abdurrahman Ad Dakhili, Hisham Ibn Abdurrahman Ad-Dakhili, Al Hakam Ibn Hisham bin Abdurrahman dan Abdurrahman Al Awsath, telah membolehkan keamanan dan kestabilan yang utuh dikecapi di Andalusia.

Andalusia selepas penaklukan tentera Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusayr telah menjadi jambatan utama perpindahan tamadun daripada dunia Islam ke dunia Eropah yang telah memberikan impak yang sangat besar terhadap pelbagai kemajuan dalam bidang sains, intelektual, sosial dan ekonomi.

Ahli sejarah kontemporari, Dr Raghib Al Sarjani menyifatkan ‘Fenomena Ziryab’ yang melanda selepas kedatangan Abul-Hasan Ali Ibn Nafi sebagai antara salah satu faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Andalusia. Ziryab merupakan antara penyebab utama yang menjadikan budaya hedonisme mengambil tempat di hati masyarakat Andalusia. Islam yang pada asalnya menjadi cara hidup yang diimbangi dengan kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan, akhirnya berubah menjadi amalan harian yang hanya meliputi ibadah peribadi. Sikap Khalifah yang mengagungkan Ziryab pada ketika itu juga turut menjadi faktor penyumbang kepada berleluasanya ‘Fenomena Ziryab’.

‘Terima kasih’ kepada Ziryab yang telah menyebabkan masyarakat pelopor kepada ketamadunan Islam di Barat berubah menjadi masyarakat yang hanya memikirkan kepentingan untuk memuaskan hawa nafsu sahaja kerana sibuk memikirkan antaranya pakaian yang mahu dipakai, sajian yang mahu dimakan dan hiburan yang mahu dinikmati. Natijahnya, jati diri masyarakat kian mereput menjadikan mereka semakin lemah dan hilang keupayaan untuk menegakkan kedaulatan wilayah Islam dan menangkis serangan-serangan daripada siri peperangan Salib sehingga mengakibatkan kejatuhan Andalusia pada 1492M.

Apabila kita melakukan refleksi terhadap ‘Fenomena Ziryab’ ini, tidak dapat dinafikan bahawa fenomena ini telahpun wujud dan menjalar dari hari ke hari di tanahair tercinta ini. Masyarakat di Malaysia dilihat semakin ‘mabuk’ dengan pelbagai jenis hiburan tidak kira industri hiburan tempatan ataupun dari luar negara seperti Bollywood, Hollywood, K-Pop, J-Pop, sinetron Indonesia dan pelbagai lagi.  

Walaupun terdapat garis panduan JAKIM mengenai hiburan, malangnya ada juga di kalangan pemimpin Islam sendiri yang mempunyai kecenderungan terhadap budaya hedonisme apabila, contohnya memberikan kebenaran rasmi untuk konsert-konsert dan persembahan yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh JAKIM. Walaupun hiburan dalam Islam tidak dilarang, tetapi apabila hiburan seolah-olah dijadikan makanan utama dalam masyarakat, kita mungkin boleh menjangka akan kesan yang akan dialami seperti apa yang telah terjadi di Andalusia lebih kurang 500 tahun yang lampau.

Zbigniew Brzezinski, seorang ahli sains politik, yang pernah berkhidmat sebagai kaunselor kepada Presiden Amerika, Lyndon B. Johnson, telah menggambarkan obsesi rakyat Amerika untuk mendapatkan limpahan harta benda dan hiburan secara berlebihan, selain berkurangnya jati diri dan moral walaupun dianggap sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun. Dalam bukunya ‘Out of Control’ yang diterbitkan pada tahun 1993, beliau menyatakan bahawa, “Budaya yang dominan di negara ini (Amerika) telah menjadi semakin menjurus  kepada hiburan berlebihan yang bertemakan unsur-unsur hedonistik yang jauh daripada realiti kehidupan. Kita juga melihat Amerika dan Eropah semakin sukar untuk menangani kesan-kesan sosial akibat budaya hedonisme dan juga penurunan dramatik dalam mengutamakan nilai berasaskan agama dalam masyarakat”. Oleh itu, dalam konteks hiburan, adalah sangat malang jika Amerika dan negara-negara Barat secara amnya menjadi pengaruh dalam menentukan hala tuju pembentukan identiti rakyat terutamanya di kalangan belia kita.

Kedatangan artis dari Barat seperti Selena Gomez baru-baru ini hanyalah sekadar salah satu simptom. Sekiranya hiburan dimomokkan sehingga kita merasakan selebriti adalah sepenting bekalan oksigen yang perlu kita hidu setiap saat, maka kita hanya akan menjerumuskan diri kita dan generasi seterusnya nasib seperti Andalusia selepas kedatangan Ziryab. Moga Allah melindungi kita daripada nasib sedemikian.

Dr Nur Faridah Zulkhaini
Ketua Wanita Cawangan ISMA Alor Gajah

Nota kaki – Tulisan ini diadaptasi daripada artikel berbahasa Inggeris oleh Puan Norhidayah Ismail, aktivis Wanita ISMA yang boleh dilayari di http://www.ismaweb.net/2016/07/ziryab-selena-gomez-2/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker