Tulisan Timbalan Mufti Perak mengenai replika haiwan sebagai mercu tanda
SAYA menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan bertanyakan hukum membina replika burung helang sebagai mercu tanda sebuah tempat yang mempunyai kaitan dengan burung helang. Sebelum mula mencari jawapan, hati sudah berbunga-bunga kerana sangat gembira.
Gembira kerana pentadbir sudah mula prihatin dengan hukum hakam agama lantaran bertanya hukum sebelum melakukan sesuatu tindakan. Jika inilah sikap semua pentadbir, maka cahaya Islam semakin cerah di tanah air ini dan memang itulah sikap wajib diambil oleh mereka serta kita semua.
Perasaan rendah diri dan membina persepsi ‘nanti apa orang kata’ sepatutnya dipasung dengan arahan Allah SWT dalam firman yang bermaksud:
“Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.
Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)
Pentadbir sepatutnya tidak merasa takut untuk melaksanakan hukum hakam Islam dalam pentadbirannya kerana Perlembagaan Malaysia sejak dari awal menegaskan Islam adalah agama Persekutuan. Ini adalah salah satu jelmaan ‘kemerdekaan’ yang hakiki dalam Islam.
Persoalan ‘nanti apa orang lain kata’ sepatutnya tidak timbul kerana Islam agama sejagat yang menawarkan rahmat kepada semua manusia. Malangnya, sebahagian kita belum lagi mencuba sudah memohon maaf dan mencari alasan serta membina andaian bukan-bukan. Cubalah dahulu baru tahu.
Berbalik persoalan dikemukakan, saya berpandangan hukum pemasangan replika burung helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan hidup burung helang.
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:
“Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap pembuat patung diazab baginya di dalam neraka kerana menjadikan setiap patung itu roh sebagai alat penyeksa terhadapnya di dalam neraka jahanan.” (Riwayat Muslim)
Ijmak seluruh ulama daripada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah menetapkan haram membina atau membuat replika patung yang lengkap bagi benda bernyawa seperti manusia atau binatang. Malah, jika sudah terbina wajib dirobohkan.
Manakala membinanya atau membuatnya adalah dosa besar. Imam Ibnu Hajar menyenaraikannya sebagai dosa besar dalam kitabnya al Zawajir, kecuali jika disediakan untuk tujuan pendidikan atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran.
Demikian juga dengan patung manusia dan binatang yang lengkap atau sebahagian sahaja daripada tubuh badan tertentu bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan pusat pengajian tinggi seperti kolej dan fakulti perubatan.
Jika hasrat pembinaannya mahu juga diteruskan, maka alternatif yang ada ialah membinanya dalam keadaan tidak lengkap segala anggotanya terutama anggota diperlukan untuk hidup seperti kepala atau badan merujuk pandangan jumhur (majoriti ulama).
Membuat bentuk makhluk adalah hak Rabb sebagai Pencipta dan Pemberi bentuk. Tidak ada hak bagi seseorang untuk bersikap seperti berusaha menandingi Allah SWT dalam mencipta dan membentuk.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah Allah yang Menciptakan, yang Mengadakan, yang Membentuk rupa, yang Mempunyai nama-nama yang paling baik.” (Ayat 24 Surah al-Hasyr)
Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
Artikel ini pernah disiarkan dalam sisipan Ibrah akhbar Berita Harian pada 2 September 2016.
BERITA BERKAITAN:
http://www.ismaweb.net/2016/09/isu-replika-haiwan-media-putar-belit-kenyataan-saya-kata-timbalan-mufti-perak/
http://www.ismaweb.net/2016/09/burung-helang-di-langkawi-bukan-untuk-tujuan-keagamaan-nazri/
http://www.ismaweb.net/2016/09/jabatan-mufti-jawatankuasa-fatwa-kedah-bincang-gesaan-roboh-tugu-helang/