Pendapat

Kegeniusan pemikiran orang Melayu dalam pantun

photo_2016-09-07_15-20-41

1) Sebenarnya selama beberapa hari ini saya teringin ingin menulis tentang pantun. Ada beberapa kertas kerja yang saya baca mengenai pantun dan kemajuan dan kegeniusan pemikiran orang Melayu suatu ketika dahulu.

2) Menurut satu kertas kerja yang ditulis oleh Siti Hajar Che Man, Kelestarian Pantun: Rencah dan Leluhur Bangsa, Kini dan Selamanya, beliau memetik beberapa kajian Profesor Diraja Ungku Aziz berkenaan pantun ini

3) Pantun telah wujud 800 tahun yang lampau jauh sebelum wujudnya William Shakespeare. Orang Melayu pada waktu itu cukup pandai mengubah pantun, dan ianya lahir daripada daya cipta masyarakat Melayu sepenuhnya” Idea-idea yang hendak diutarakan dalam pantun selalunya perkara yang berat dan serius, tetapi disampaikan (digayakan, diragamkan, dilenggokkan) dalam bentuk yang ringan dan mudah.

4) Perkara ini selari dengan cerminan gaya hidup masyarakat Melayu yang amat menitikberatkan amalan budi bahasa, adab dan sopan, berhemah, berbudi pekerti, malu alah, tertib lendek serta sikap orang tua yang menegur anak-anak muda daripada melakukan sesuatu dengan perkataan “jangan” – penulis,

5) Teguran ini dijalinkan dengan unsur-unsur alam menunjukkan orang Melayu benar-benar faham dengan alam, tahu geografinya, tahu kegunaan dan khasiat tumbuhan, tahu sifat dan karakter binatang, dan pelbagai lagi menjadikan setiap teguran itu ada banyak unsur ilmu di dalamnya – Boleh rujuk mengenai kajian tentang kitab tib (perubatan) Melayu. Bersama saya, ada kajian tentang Kitab Tib Pontianak dan juga Kitab tib Tajul Muluk.

sumber: http://www.ukm.my/news/arkib/tahun-2012/jun-2012/perubatan-tradisional-melayu-perlu-diselidik/

6) Tokoh Sasterawan negara , arwah Muhammad Haji Salleh mengatakan pantun menunjukkan kegeniusan dan kesempurnaan seni sastera orang Melayu. Pantun menjadi wadah cipta khususnya bagi bangsa-bangsa Melayu yang mengandungi jiwa, rasa, kebijaksanaan, keadilan dan budi bahasa Melayu. Winstedt seorang tokoh orientalis pernah berkata “tak ada sesiapa pun yang dapat mengagak keluasan pemikiran orang Melayu tanpa memahamai pantunnya”

7)Apa yang menyedihkan sekarang menurut Profesor Diraja Ungku Aziz ini orang Melayu sudah tidak menghargai bahasa Melayu. Akibatnya satu tragedi yang besar menimpa cara berfikir orang Melayu. Dari suatu bangsa yang genius menjadi bangsa yang mindanya dijajah.

8) Kata beliau, “Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

9) Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana beberapa faktor besar.

10) Antaranya, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

11) Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah. Itu pengaruh penjajah, kata beliau.

12) Justeru, usaha untuk memartabatkan semula seni berfikir orang Melayu pada hari ini WAJIB dikukuhkan. Bukan sekadar satu medium pembelajaran, tetapi jauh dari itu, adalah menghayati maksud dan maknanya serta mengkaji dengan teliti, ilmu-ilmu yang terkandung dalam setiap bait dan rangkap pantun.

13) Semoga, anak bangsa ini boleh kembali mengenal jati diri mereka, dan dapat menjawab satu persoalan yang menentukan jatuh bangun bangsa pada masa hadapan.

“Siapakah aku?”

Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTITUTE

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Taukeh itik mata duitan,
    Selalu cepat buat rencana,
    Pemimpin politik ditipu syaitan,
    Rakyat merempat entah ke mana.

    Mendaki gunung terasa gayat,
    walau melati cantik belaka,
    Semasa hidup menipu rakyat,
    Sudah mati masuk neraka.

    Raja laut naik tahta,
    laksamana bengis memukul rebana,
    Malaikat Maut depan mata,
    Sesal dan tangis tidak berguna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker