Pendapat

Kenapa masalah keluarga tak dianggap krisis oleh rakyat Amerika Syarikat?

family-crisis-2
APABILA
kita berbicara mengenai institusi keluarga, setiap masyarakat mempunyai kayu ukur tersendiri dalam mendefinisikan insititusi tersebut. Apakah itu keluarga? Apa kriteria yang melayakkan keluarga itu digelar keluarga bahagia? Apakah kayu ukur ibu bapa tersebut berjaya dalam mendidik anak mereka?

Semua persoalan ini perlu ada satu kerangka yang jelas untuk menjawabnya. Seterusnya, tidak dapat kita nafikan akan berlaku perselisihan dalam menilai apa jawapan yang paling tepat kerana pada hakikatnya setiap masyarakat di seluruh dunia ada cara mereka tersendiri, termasuklah bagi mereka di Amerika Syarikat.

Selaku pelajar tahun akhir di negara tersebut, saya berpeluang mendalami bidang ilmu sosiologi dan tahun ni giliran topik keluarga untuk dibicarakan. Family and society – itulah tajuk subjeknya. Sebuah kelas yang akan membincangkan segala aspek yang ada dalam institusi keluarga di negara ini.

Namun, apa yang lebih menarik untuk saya kongsikan adalah perbandingan prinsip yang saya pegang sebagai seorang Muslim dan bagaimana prinsip tersebut bertentangan dengan masyarakat yang saya hadapi di sini.

Persoalan yang timbul – kenapa segala masalah keluarga yang saya lihat ada pada masyarakat Amerika Syarikat bukan suatu masalah buat mereka?

Jika saya jadikan persoalan ini dalam ayat yang lebih mudah – kenapa mereka tidak rasa institusi keluarga masyarakat mereka semakin hancur dengan masalah yang mereka hadapi?

Kadar penceraian yang tinggi, termeterainya undang-undang yang membenarkan perkahwinan sesama jenis, kadar kelahiran anak luar nikah yang tinggi, jumlah ibu tunggal yang meningkat – adakah mereka tidak rasa apa-apa mengenai fakta-fakta ini?

Jika anda mempunyai timbang rasa yang sama seperti saya, kita pasti akan merasa sesuatu yang salah mengenai perkara ini. Hal ini jelas kerana anda dan saya mempunyai pegangan dan kayu ukur yang sama dalam menilainya yakni pegangan yang berlandaskan Islam.

Namun, bagi masyarakat Amerika Syarikat yang secara majoritinya tidak berpegang kepada kayu ukur agama hatta agama Kristian sekalipun, kerangka pemikiran mereka lebih menyeleweng dan menerawang. Tiada satu pun paksi pegangan yang kukuh untuk mereka pegang.

Bagi mereka, perubahan yang dihadapi oleh insititusi keluarga di negara ini adalah selari dengan perubahan yang dunia hadapi. Sekiranya dunia kini menuntut keluarga yang tidak lagi berpegang “traditional gender role”, maka konsep ibu bapa gay dapat diterima dengan mudah. Begitu juga sekiranya tuntutan hidup memerlukan golongan wanita untuk tidak fokus kepada keluarga, maka konsep “cohabitation” (dua orang tinggal serumah tanpa ikatan perkahwinan) dapat diamalkan dengan jayanya di negara ini.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya suatu hari nanti kemajuan dunia menuntut konsep “incest” (seks di kalangan ahli keluarga terdekat atau sumbang mahram) untuk diamalkan, maka masyarakat merekalah yang pertama untuk menyahut seruan itu.

Senang kata, masyarakat Amerika Syarikat adalah masyarakat yang pragmatik. Mereka ibarat lalang yang hanya mengikut haluan angin dunia yang tidak ditentukan oleh mereka pun.

Jadi, bagaimana masyarakat sebegini dapat melihat mengikut kaca mata yang kita pakai? Tidak. Selamanya mereka tidak akan dapat melihat selagimana mereka tidak mempunyai panduan dan pegangan agama yang kukuh.

Malangnya kekaburan mata mereka ini mereka gelar sebagai progresif, dan masyarakat progresif semestinya tiada masalah, menurut pandangan mereka. Selagi mana mereka boleh hidup dengan keadaan tersebut, perubahan yang besar pada institusi keluarga di sini pasti tidak menimbulkan kekacauan. Kerana itulah kenapa masalah keluarga di Amerika Syarikat bukan suatu masalah bagi mereka.

Akhir kata, semoga masyarakat ‘progresif’ ini akan kembali ke pangkuan jalan.

Hanis Noor
Aktivis ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker