Olimpik dan Rasisme
Baru-baru ini negara kita meraikan kejayaan atlet Malaysia di Sukan Olimpik Rio 2016 seperti Dato’ Lee Chong Wei, Pandalela dan Azizul Hasni. Nama Malaysia sekali lagi diharumkan dengan kejayaan atlet paralimpik negara dalam pelbagai acara sukan.
Kejayaan tersebut seolah-olah telah menyatukan Malaysia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan agama. Masing-masing berbangga dengan pencapaian atlet negara yang membawa nama Malaysia ke persada dunia. Saya sendiri tidak ketinggalan untuk sentiasa “updated” dengan kejayaan atlet-atlet kebanggaan Malaysia ini.
Namun sangat menyedihkan apabila segelintir pihak cuba mempolitikkan keadaan dengan membawa isu-isu perkauman di media sosial, hingga mencetuskan kemarahan kebanyakan pihak.
Pelbagai status mula keluar di facebook dan twitter mempersoalkan hak-hak setiap kaum di Malaysia, seolah-olah negara ini tidak dilindungi dengan perlembagaan dan undang-undang yang memastikan keharmonian Malaysia sejak puluhan tahun dahulu.
Yang lebih membimbangkan ialah wujudnya perbezaan pendapat dalam gerakan-gerakan yang memperjuangkan Islam seolah-olah sudah tidak wujud kesepakatan akidah atas landasan Quran dan Sunnah.
Tidak malukah kita sebagai pejuang Islam dan negara, cuba melindungi hakikat sebenar disebalik nama “toleransi” yang menipu?
MELANGKAH KE ZAMAN SILAM
“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.” ((1)Perkara 153, Perlembagaan Malaysia).
Saya bawakan kepada saudara pembaca untuk meneliti perkara 153 kurungan 1, bahawa wujud hak istimewa buat masyarakat Melayu dan kaum peribumi di Malaysia. Maka sekarang pasti akan wujud perasaan dalam hati para pembaca, di mana keadilan? Inilah yang kurang difahami masyarakat hari ini.
Kurang penghayatan terhadap perjanjian-perjanjian yang telah diwujudkan oleh nenek moyang kita dahulu, persetujuan yang telah dimeterai selepas tunjuk perasaan penentangan MALAYAN UNION, yang bukan sahaja akan memudaratkan kaum Melayu dan peribumi malahan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia.
Masyarakat kita pada zaman dahulu cukup prihatin dengan nasib bangsa-bangsa lain yang berada di Malaysia, cukuplah dengan persetujuan bahawa masyarakat asing yang datang ke Malaysia boleh terus menikmati keharmonian di sini bersama-sama melalui penerimaan kewarganeraan mereka selepas tarikh kemerdekaan.
Bahkan lebih murni berbanding bangsa-bangsa barat yang menjadikan bangsa asing sebagai hamba, merendahkan martabat mereka dan menafikan hak.
Jika anda berkunjung ke Muzium Rijks di Belanda, anda pasti berpeluang melihat lukisan-lukisan yang memaparkan bagaimana masyarakat Belanda telah memperhambakan kaum-kaum Jawa di Indonesia. Menjarah kekayaan dan keringat mereka untuk membangunkan kota Amsterdam.
Tidak pula terlintas dalam hati nenek moyang kita untuk menghalang kaum cina melombong bijih di Kuala Lumpur, tidak pula mereka menghalang kaum india bekerja di estet-estet getah, malahan mampu hidup dengan harmoni dan saling melengkapi.
Lukisan di Muzium Rijks, Belanda menunjukkan orang Belanda di Batavia(Jakarta). Penggunaan payung melambangkan status mereka setaraf dengan raja dan kelihatan hamba masyarakat Jawa yang sedang memegang payung tersebut.
WUJUD GOLONGAN EKSTREMIS PEMECAH BELAH
Pasca kemerdekaan, keharmonian pelbagai bangsa mula terganggu apabila wujud golongan ektremis cuba memecah belahkan keharmonian sedia ada dengan mewujudkan sentimen perkauman.
Sikap mula mengaku sebagai ‘tuan’ mula kelihatan tanpa menghiraukan perjanjian yang sedia ada termaktub dalam perlembagaan. Peristiwa 13 Mei 1969 cukup memilukan dalam lipatan sejarah meninggalkan kesan pahit dalam diri masyarakat Malaysia khususnya masyarakat peribumi Malaysia.
Perlukah kita persalahkan nenek moyang kita atas perjanjian mereka dahulu? Atau perlukah kita untuk terus membiarkan wujudnya golongan ekstremis pemecah belah ini dalam kalangan masyarakat kita? Apa yang patut dilakukan? Membiarkan? Atau mengambil langkah proaktif untuk menyedarkan?
Bibit permulaan peristiwa hitam 13 Mei 1969
Hari berganti hari, golongan ektremis ini terus menyelinap dalam saraf-saraf politik negara. Tidak perlu saya jelaskan di sini pihak manakah yang saya maksudkan.
Saya mahukan pihak pembaca sendiri berfikir mengenai individu mahupun golongan yang mula mempersoalkan perlembagaan sedia ada, hak keistimewaan dan sebagainya.
Jauh sekali untuk kita memukul rata bahawa kaum-kaum di Malaysia seperti Cina dan India bersikap perkauman, malahan ada yang sanggup untuk hidup dengan cara Melayu tanpa menghilangkan identiti asal mereka, makan makanan yang sama, menghormati undang-undang negara dan bertutur dalam loghat yang sama. Golongan itu saya kategorikan mereka sebagai “A True Malaysian”.
Masyarakat inilah yang akan terus menghidupkan keharmonian negara Malaysia sebagai negara pelbagai bangsa dan agama.
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
Masyarakat Cina Kelantan yang berkongsi budaya dengan masyarakat Melayu
REALITI HARI INI
Setiap kali saya bertanya kepada kawan-kawan Melayu saya, rata-rata akan menjawab “saya tidak suka subjek sejarah di sekolah”. Pada pemahaman saya, sejarah bukan untuk disukai mahupun untuk dibenci, tetapi sejarah perlu dihayati dan dihargai.
Sekiranya penghayatan perjalanan sejarah negara terus dilupakan maka akan wujudlah golongan yang akan mengatakan “Orang Melayu makan pisang tanpa orang cina”.
Setelah menelesuri “terowong” sejarah ringkas yang saya susun di atas, saya berharap semua pihak yang membaca dan mengkaji sejarah memahami kenapa wujud pertubuhan Islam seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang cuba memperingatkan kembali hak-hak dan keistimewaan setiap bangsa di negara kita.
Keharmonian akan terjaga sekiranya kita semua mengerti mengenai sejarah yang telah dipahatkan di buku perlembagaan negara, dan terus menghormati antara satu sama lain. Lebih baik bertindak daripada berdiam diri, menanti bernanahnya isu perkauman di Malaysia.
Kalau kita sayangkan bangsa, biarlah masyarakat Melayu juga “duduk sama tinggi, berdiri sama rendah” dengan bangsa lain di Malaysia. Biarlah kita yang paling kuat mempertahankan hak-hak setiap bangsa di Malaysia menurut apa yang telah dipegang oleh nenek moyang kita.
Tanpa hak tersebut, tidak mungkin kita dapat mengecapi kesenangan hari ini. Tidak mungkin pelajar Melayu di kampung mampu belajar di universiti terkemuka dunia, tidak mungkin kerusi-kerusi parlimen masih riuh dengan perbahasan dalam bahasa Melayu.
Walaupun bahasanya makin pelat, masih terus dituturkan oleh kerana tergaris dalam buku undang-undang.
Sikap perkauman hanya wujud bila kita tidak faham sejarah. Sedar di mana kita.
Rujukan:
Buku teks sejarah tingkatan 5 (SPM).
Lawatan lapangan ke Amsterdam.
Foto:
adiatsauri.blogspot.com
raja-jawa.blogspot.com
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis yang pernah belajar subjek sejarah (SPM 2010)
Muhammad Hazreen Bin Ismail,
Ketua Biro Dakwah ISMA UK-EIRE,
Tahun 4, Perubatan,
University College Cork.