Pendapat

Retorik Persatuan Hokkien Malaysia dan RUU 355

danial ariffDALAM kehangatan puak-puak anti-Islam dan antihudud lantang menyuarakan tentangan terhadap RUU 355, timbul pula kelibat sebuah persatuan yang tidak padan dengan status dan saiz sendiri namun tetap mahu tampak jaguh.

Selantang mana DAP dan MCA yang kedua-duanya merupakan parti politik yang dominan atau paling kurang memiliki ‘bargaining power’ baik di dalam Barisan Nasional mahupun di kalangan parti-parti pembangkang, begitu jugalah lantangnya Persatuan Hokkien Malaysia menentang RUU355 yang telah dibentangkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi pada hujung Mei yang lalu.

Sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan RUU355 ini akan dapat melihat bahawa Persatuan Hokkien ini begitu aktif dan berkeras mahu menentang RUU355 walaupun mereka hanyalah sebuah persatuan tanpa kuasa mengundi di dalam Parlimen dan bukanlah sebuah parti politik yang mahu mendominasi atau merebut undi rakyat Malaysia.

Jadi siapakah sebenarnya Persatuan Hokkien ini dan apakah antara matlamat penubuhannya?

Mengenali Persatuan Hokkien

Jika diikutkan antara matlamat Persatuan Hokkien ini adalah seperti berikut (dipetik dari laman web Persatuan Hokkien Kuala Langat):

1. Menyatupadukan kaum Hokkien di Daerah Kuala Langat, Selangor Darul Ehsan, dalam suatu pertubuhan berdaftar dan menyumbang untuk kebajikan bersama.

2. Memupuk kebudayaan membuat amalan kebajikan, menjalankan kerja amal Masyarakat dan mengadakan lain-lain aktiviti yang dapat menyatupadukan masyarakat majmuk di Daerah Kuala Langat, Selangor.

3. Membincang dan menyelesaikan masalah-masalah yang berkenaan dengan soal ahli-ahli.

4. Bergabung dengan Persatuan-Persatuan berdaftar yang lain yang mempunyai matlamat serta tujuan yang sama dengan Persatuan ini untuk mencapai tujuan di atas.

5. Persatuan boleh memiliki hartanah dan menerima sumbangan untuk kegunaan Persatuan selaras dengan tujuannya.

Jadi berdasarkan objektif-objektif ini, saya yakin bahawa sebanyak mahupun sedikit objektif ini adalah sejajar dengan objektif Persatuan Hokkien Pusat dan cawangan-cawangannya yang lain diseluruh Negara. Jika tidak akan timbul isu percanggahan atau terkeluar dari barisan ‘jemaah’ Persatuan Hokkien Malaysia pula, bukan?

Namun, di sini timbul persoalan tentang apakah matlamat yang ingin dicapai Persatuan Hokkien ini dan apakah sebab-sebab kedegilan mereka dalam menentang RUU355 ini. Secara rasionalnya, matlamat mereka tidak langsung menyebut tentang mempertahankan kedaulatan Perlembagaan dan RUU355 tidak pun melibatkan bangsa Cina Hokkien mahupun orang bukan Islam secara amnya.

Jadi apa masalahnya?

Sebab pertama: Kurang kefahaman

(Kemungkinan) mereka masih tidak faham dan tidak diberikan penjelasan yang baik dan jelas (dinafikan dan mustahil dari sudut logik mahupun perundangan).

Namun sekiranya mereka tidak faham dan penjelasan yang diberikan tidak memuaskan, mengapa pula mereka tidak memanfaatkan kehadiran perwakilan PAS ke pejabat Persatuan Hokkien bagi sesi penerangan tersebut dengan mengajukan soalan atau komen? Untuk makluman, bahkan sesi penerangan ini dicadang oleh PAS sendiri yang mengemukakan jemputan kepada Persatuan Hokkien.

Tegas Ketua Penerangan PAS Pusat lagi, Nasruddin Hassan, mereka tidak membuka ruang dialog dan tidak mengemukakan sebarang persoalan sekiranya mereka masih tidak faham atau penerangan yang diberikan tidak jelas semasa pertemuan tersebut.

Akhirnya, mereka hanya sekadar ‘agree to disagree’. Terkini, Persatuan Hokkien masih ingin meneruskan kempen mengumpul sejuta tanda tangan tersebut dan berkeras mahu membangkang cadangan pindaan tersebut dan mereka telah pun berjaya mengumpul sebanyak 700,000 tandatangan. Menakjubkan!

Pemikiran yang waras boleh mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan mereka untuk berjumpa dengan pihak PAS.

Penentangan ini dibuat juga tanpa sebarang perkiraan atau pertimbangan terhadap penjelasan pelbagai pihak termasuk dari Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Mufti Wilayah Persekutuan SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Ulama ISMA (MUIS) dan beberapa NGO serta tokoh pemimpin dan pemikir Islam yang turut menyatakan sokongan tanpa sebarang prejudis terhadap soal keperlembagaan RUU355 itu.

Sebab kedua: Agenda tersembunyi

Sesiapa sahaja akan tertanya-tanya apakah rasional penentangan ini dibuat oleh Persatuan Hokkien sehingga tidak dapat menerima bahkan menolak penjelasan yang diberikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi (yang telah diberi dengan begitu baik sekali) dan semua tokoh dan pemimpin Islam.

Kenyataan oleh Ketua Penerangan PERKASA tidak boleh dipandang enteng. Kata beliau, “Atau mereka ada agenda tersembunyi iaitu untuk melihat pada akhirnya kerajaan terpaksa tunduk”.

Setelah diteliti, Persatuan Hokkien melalui cawangannya di Selangor dan Kuala Lumpur merupakan salah satu pertubuhan yang menyertai gabungan pertubuhan yang diberi nama Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (NEGARA-KU) di bawah pengaruh Ambiga. Perlu diketahui umum bahawa sejumlah 18 pertubuhan yang terlibat dalam COMANGO yang melobi semakan berkala universal (Universal Periodic Review) pada 2014 lalu juga menyertai NEGARA-KU.

Secara umumnya, mereka adalah organisasi yang membawa pelbagai agenda yang sama sekali tidak selari dengan Islam dan asas-asas Perlembagaan. Antaranya Sisters in Islam (SIS), Seksualiti Merdeka, Islamic Renaissance Front (IRF), Dong Zong dan Suaram yang mempunyai agenda tersendiri secara kolektif antaranya liberalisme, feminisme, LGBT, pendidikan vernakular dan bahasa pengantar Cina di sekolah-sekolah Cina dan penentangan terhadap hak-hak istimewa orang Melayu sebagaimana yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Maka tidak hairanlah sekiranya mereka – Persatuan Hokkien – melengkapkan barisan anti-Islam yang sentiasa mencari jalan mematahkan usaha untuk mendaulatkan Islam dan Perlembagaan dalam pelbagai isu semasa dan bentuk. Kerana akhirnya mereka tidak mahu Islam menjadi garis panduan atau rujukan dalam segala aspek kehidupan masyakat di Malaysia.

Sebab ketiga: Proksi DAP dan MCA

Melihat arena politik dalam kalangan bangsa Cina, DAP dan MCA adalah dua parti politik yang seolah-olah sedang bersaing sesama mereka. Oleh yang demikian, isu RUU355 ini dimanipulasi demi mendapat ‘political mileage’ dalam kalangan bangsa Cina demi merebut undi menjelang PRU14 kelak.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan masyarakat bukan Islam telah sedia disemai dengan persepsi Islamofobia dan anti-hudud yang melampau, maka apa sahaja usaha yang dilakukan untuk memerkasakan Mahkamah Syariah, atau perlaksanaan undang-undang Syariah, maka secara automatiknya sentimen anti-hudud dan Islamofobia akan dimainkan oleh DAP dan MCA.

Namun mereka mahu penglibatan ‘third party’ dalam pertembungan dua parti politik ini bagi mengukuhkan ‘perjuangan suci’ mereka kononnya demi kepentingan orang Cina (dan orang bukan Islam secara amnya). Oleh kerana itu, Persatuan Hokkien ditampilkan sebagai‘third party’ tersebut agar orang-orang Cina yang mempunyai persepsi negatif terhadap mana-mana antara dua parti ini, mereka akan tertarik semula untuk bersama dan mengundi mereka di PRU14 nanti.

Amatlah menghairankan bagaimana Persatuan Hokkien difikirkan mampu untuk mengubah persepsi masyarakat atau mempengaruhi minda pengundi-pengundi dengan kekuatan mereka dan kutipan sejuta tandatangan yang tidak ada kuasa dari sudut undang-undang sama sekali.

 Di sini, kelihatan seolah-olah DAP dan MCA ‘membenarkan’ arus perdana menyaksikan kejaguhan Persatuan Hokkien dengan kempen mereka dan keterbukaan mereka menerima penganjuran sesi penerangan bersama PAS yang tidak pun membuahkan hasil yang adil bagi PAS sendiri dan perbincangan mengenai RUU355 itu.

Selain itu, sudah tentu DAP dan MCA masing-masing mendapat manfaat ‘collateral’ hasil daripada usaha keras dan degil Persatuan Hokkien ini untuk mematahkan usaha mendaulatkan institusi Islam iaitu Mahkamah Syariah serta perlaksanaan syariat Islam, yang mana mereka jugalah yang mendalangi NEGARA-KU dan COMANGO sebelum ini.

Islam menjadi sasaran

Maka seharusnya umat Islam sedar bahawa usaha-usaha ini akan berterusan menghimpit Negara kita dan umat Islam selagi mana kita memacu ke arah mendaulatkan Islam dan menyempurnakan syariat Islam dalam segala aspek kehidupan, pentadbiran dan perundangan Negara.

Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk dalam pelbagai isu seperti yang telah disebut di awal artikel ini; tuntutan liberal dan kesamarataan mutlak, usaha mempertikai hak-hak istimewa orang Melayu, agenda liberalisme dan feminisme serta penentangan terhadap perlaksanaan syariat Islam serta pandangan Islam dalam kehidupan seharian.

Oleh yang demikian, amat penting bagi umat Islam sentiasa peka dengan senario dan adegan politik yang berlaku di Negara ini agar kita tahu memilih mana yang baik dan mana yang menggadaikan prinsip serta kedaulatan Islam dan Perlembagaan. Hanya mereka yang tidak meletakkan kepentingan Islam melebihi kepentingan politik serta periuk nasi sendiri yang akan tergolong dalam golongan orang-orang yang menyokong dakyah anti-Islam ini sekiranya mereka sendiri gagal untuk menghalangnya.

Danial Ariff bin Shaari
Aktivis ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

3 komen

  1. Sebenarnya mereka memang tak mahu faham & menentang ISLAM, RUU 355 dan takut Undang Undang HUDUD, kenapa takut HUDUD ? kerena mereka memang suka membuat perkara Zina, Judi, Minum Arak dan bermacam macam lagi keruntuhan Aklak dan ini bukan dikalangan mereka Melayu Islam yg. bersewaktu dengan mereka juga mempunyai hobi yg. sama. ( segala komentar mereka itu hanyalah beralasan sahaja, dan pura pura tidak faham — Siapa makan lada pasti lah diri sendiri yang merasa pedasnya lada ). Apa pun semoga mereka di beri HIDAYAH.

  2. Perkara Hukum Hudud banyak berkaitan dengan ummat Islam sendiri. Contohnya untuk mensabitkan zina , perlu kepada 4 orang saksi yang adil dan berugama Islam. Hukum Hudud adalah keras adalah untuk mendidik dan menyekat ummat Islam daripada melanggar beberapa peraturan Islam. Orang bukan Islam bebas tapi mengikut tatasusila kemanusiaan yang murni , seperti dilarang minum arak , berjudi , berzina , menipu , mencuri .. itu kena ada sebentuk pencegahan dan hukuman dari segi hukum ta’zir yang tidak tepat mengikut hukuman hudud seperti potong tangan , direjam dan dipancung sebagai contoh. Itu semua nampak kasar pada pandangan mereka. Sekadar didenda atau dipenjara mereka boleh terima.

  3. Pertama dari segi Perlembagaan, Parlimen hanya dibenarkan untuk membuat undang undang terhadap hal ehwal Islam.
    Hal Ehwal Islam adalah bermakna berkaitan dengan urusan keluarga, kematian dan kelangsungan orang melayu.
    Hal Ehwal Islam tidak termasuk hal ehwal dosa peribadi orang Melayu sebagai jenayah kerana Perlimen memang berhak untuk membuat undang undang jenayah untuk Persekutuan.
    Kedua, Islam adalah dalam bidang kuasa Sultan dan Majlis Raja Raja Melayu. Undang undang berkaitan Islam di Wilayah Persekutuan mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja Raja Melayu bukan UMNO atau Parlimen.
    Ini bermakna jikapun Parlimen atau UMNO dan PAS membuat undang undang berkaitan dengan Islam untuk Wilayah Persekutuan ianya tidak terpakai jika tidak disetujui oleh Raja Raja Melayu.
    Adalah satu ketidak fahaman Asraf Wajdi , jika Majlis Raja Raja Melayu tidak setuju dengan UMNO maka jalan belakang adalah dengan membenarkan pembangkang PAS membuat usul. Ini kerana apa- apa usul yang tidak mendapat kelulusan Majlis Raja Raja Melayu adalah tidak sah sama ada diusul oleh UMNO atau Pembangkang PAS. Perlembagaan tidak mengatakan, usul mengenai Islam boleh dibuat oleh pembangkang PAS tanpa pengetahuan dan kelulusan Raja Raja Melayu!
    Majlis Raja Raja Melayu boleh mencela Perdana Menteri atau Presiden UMNO kerana cubaan merampas kuasa Majlis Raja Raja Melayu dan ini termasuk pemecatan sebagai Perdana Menteri.

    Ketiga, Perkara 8. Perlembagaan menyatakan tentang kesamarataan yang tidak mengira AGAMA atau bangsa dalam undang-undang . Tetapi RUU 355, hanya wanita bangsa Melayu dikenakan denda, penjara dan sebatan jika mengandung tanpa suami. Melakukan seks tanpa perkahwinan sedangkan wanita Cina dan India tidak dikenakan sebarang tindakan.
    Perlembagaan juga tidak mengenakan sebatan untuk wanita tetapi RUU 355 buatan Mahathir telah menganiaya wanita Melayu dengan mengenaka sebatan ke atas wanita.
    Dari segi socialnya, kebebasan wanita Melayu adalah mutlak sama dengan lelaki. Wanita Melayu bebas memandu, bekerja di luar rumah, bekerja sebagai askar dsb. Oleh itu wanita Melayu bergaul bebas dengan lelaki diluar rumah.
    Adalah lumrah manusia untuk bercinta dan melakukan hubungans seks oleh demikian adalah kejam untuk menghukum wanita Melayu dengan undang undang budaya Arab yang mengekang kebebasan wanita Arab hingga tidak dibenarkan keluar rumah memandu kereta. Adakah kita sanggup mengekang kebebasan wanita Melayu seperti dilakukan oleh lelaki Arab?

    Undang undang diadakan untuk menyelesaikan kemashlatan masyarakat bukan menambahkan kekusutan dan masaalah kepada bangsa Melayu.
    Siapakah yang perlu bimbang dengan RUU355 PAS dan UMNO ini? Undang-undang RUU 355 akan menyasarkan wanita Melayu, anak gadis Melayu,janda dan ibu tunggal.
    Dosa-dosa yang tidak terampun oleh UMNO atau PAS. Dalam Islam, dosa adalah antara kita dengan Allah bukan dengan UMNO. Ini adalah asas ugama. Segala yang dilakukan adalah kerana Allah. Allah boleh mengampunkan dosa kita. Allah maha pemurah dan penyayang.
    RUU 355 UMNO akan mendera anak anak gadis Melayu dengan denda, penjara dan sebatan yang semuanya tiada dalam Islam. Adakah munasabah untuk kita membiarkan waniita Melayu didera oleh RUU355 sedangkan penderaan dan penyiksaan oleh UMNO dan PAS tidak akan menghapuskan dosa mereka dengan Allah. UMNO atau PAS atau Hadi tidak boleh membersihkan dosa kita anak anak gadis kita/wanita Melayu, janda, ibu tunggal dengan Allah.
    SOP yang tiada dalam Quran atauu Hadith.
    Kita baca setiap hari pegawai kerajaan ugama Selangor JAIS atau JAWI memecah masuk kedalam rumah kediaman orang Melayu walaupun tidak diizinkan oleh bapa atau penghuni rumah.
    Perbuatan mungkar seperti memecah masuk rumah kediaman adalah satu dosa yang perlu ditanggung oleh pegawai pegawai ini serta UMNO dan PAS. Pastinya azab bagi mereka yang mengada adakan perkara yang tiada malah menolak suruhan Allah dengan mengatakan mereka ada tanggungjawab untuk mengikut SOP dan bukan Quran atau Hadith.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker