MALAM ini aku dijemput ke majlis makan malam NGO nama ISMA. Semua muka orang baik-baik je..serius aku terasa macam Jebon dalam kelompok grup pak lebai hehehe.
Anyway tengkiu le jemput abam..sorryle di saat yang lain berbatik bagai, abam tiba ngan baju petak, jeans lusuh dan kasut Converse tali serabai, adoyyyyy…
Ia hanyalah sebuah majlis makan malam biasa. Hanya ada dua penyanyi dan seorang penyajak. P.A sistem pun kelam kabut. Kejap mikrofon bunyi kejap tidak. Skrin besar ‘ke laut’…kejap nyala kejap idak.
Lighting kejap terang, kejap gelap…memang amatur habis kalau tengok daripada segi ‘kulitnya’. Tetapi kalau lihat daripada pengisian program, serius aku cakap, inilah antara majlis makan malam yang aku paling teruja dan membuatkan bulu roma aku berdiri beb…
Bermula dengan alunan ayat suci Al-Quran. Dari situ penyair hebat, Nisah Haron muncul mendeklamasikan puisinya yang berjudul Rapsodi. Tak perlu menjerit bak petir membelah bumi, Nisah membuatkan semua tetamu terpaku dengan puisi panjangnya – tetapi sarat mesej disusuli dengan alunan syair yang melengkapkan persembahan hebat dan bersahajanya.
Haziq AF yang terkenal dengan suara persis Allahyarham Datuk Ahmad Jais kemudian membuatkan penonton sedikit ‘asyik’ dengan lagu Umpan Jinak di Air Tenang dan lagu Tan Sri SM Salim, Tak Seindah Wajah.
Yang paling mencuri tumpuan adalah penyanyi rakyat dari Pahang, Roslan Madun. Roslan ‘menjentik’ minda mereka yang ada di dewan dengan melontarkan persoalan – betulkah Pak Kadung seorang yang ‘bodoh dan malang’ atau dia sebenarnya seorang yang ‘brilliant’ tetapi kisahnya ‘dimanipulasikan’ bagi menggambarkan sikap ‘orang kita’ ketika itu.
Beliau kemudiannya menyanyikan lagu puisi ‘Menjejak Bahaman’ yang liriknya cukup membawa erti pada perjuangan seorang anak bangsa yang ‘tersepit’ antara kesetiaan pada sang Raja dan perjuangan bagi membebaskan bangsanya.
“Ikan jelawat di sungai Pahang cantik kulitnya kerana berada di tengah sungai seperti melawan arus…begitulah hidup kita. Ada waktunya ketika perlu melawan arus untuk dipandang tinggi dan mulia. Tapi kalau sengaja nak lawan arus pun tak guna juga,” katanya sinikal.
Seterusnya ditayangkan montaj mengenai sejarah dan perjuangan tokoh terkenal zaman silam seperti Tok Ku Paloh, Haji Abdul Raman Limbung dan Datuk Bahaman.
Majlis makan malam tadi diakhiri dengan nyanyian lagu Bahtera Merdeka oleh Haziq AF, signifikan dengan tajuk dan tema majlis makan malam ini.
Apa yang aku boleh katakan, majlis makan malam tadi memang terbaik dan ia telah membawa pengertian tersendiri dalam merungkai sejarah dan perjuangan orang Melayu, Islam serta cabaran getir yang perlu dihadapi generasi ini di masa akan datang.
Buat ISMA, gua memang salute!
Sumber: Facebook Syahril A. Kadir