Pasca Pejuang 2016: Sedikit pengajaran kisah Pak Kaduk
SAYA gembira apabila melihat keunikan sastera dan budaya bangsa kita telah menjadi perhatian semula oleh tetamu yang menghadiri Malam Inspirasi Perjuangan 2016 anjuran Isma.
Persembahan sajak Puan Nisah Haron dan nyanyian lagu-lagu rakyat oleh Tuan Roslan Madun antara persembahan yang mempunyai aura yang istimewa dan disebut-sebut oleh hadirin. Saya tertarik pada bicara Tuan Roslan Madun sebelum mendendang Seloka Pak Kaduk, beliau memandang Pak Kaduk sebagai seorang pemikir yang melangkaui zaman, bukan seperti yang digambarkan di dalam penceritaan iaitu seorang ‘bodoh dan malang’.
Tuan Roslan Madun mengajak kita tidak sekadar memandang prosa-prosa klasik sebagai kisah ringan untuk sekadar hiburan, pengarang kisah-kisah ini bukan mahu membodohkan kita, tetapi kita harus lebih berfikir, apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh prosa-prosa itu.
Seloka Pak Kaduk pernah dipelajari di sekolah menengah dahulu dalam subjek komponen sastera matapelajaran Bahasa Melayu, diletakkan di hujung prosa sebagai kesimpulan seluruh kisah.
Kisah Pak Kaduk sebenarnya terdapat di dalam antologi klasik Cherita Jenaka yang dikarang oleh Raja Haji Yahya daripada kisah-kisah penglipur lara. Turut terdapat di dalam antologi ini ialah kisah Pak Belalang, Pak Pandir, Si Luncai, dan Lebai Malang. Kemudian naskhah klasik ini telah disunting semula oleh R.O Winstedt.
Ada pihak berpendapat bahawa kisah Pak Kaduk ini ialah berdasarkan kisah benar seorang rakyat Perak yang menetap di Lambor Kiri malah sehingga kini masih terdapat keturunan Pak Kaduk di sana. Di penghujung cerita, Pak Kaduk dikatakan telah beroleh nasib baik apabila menemui emas di dalam perut seekor ikan Tapah.
Dengan emas ini kononnya dia telah menebus semula kampungnya yang tergadai dan digunakan untuk menyara hidupnya. Juga dikatakan konon Pak Kaduk telah bersumpah haram keturunannya makan ikan Tapah dan akan terkena penyakit gatal jika melanggar sumpah dan hanya air emas ikan tapah itu sahaja yang dapat menyembuhkan gatal itu. Emas tinggalan Pak Kaduk masih disimpan oleh keturunan Pak Kaduk sehingga kini.
Kedua-dua versi cerita Pak Kaduk terdapat beberapa perbezaan dan hal itu tidak menghairankan kerana kisah tersebut telah diwarisi melalui lisan. Pasti akan berlaku perubahan yang besar daripada jalan cerita asal kerana ‘waktu dan budaya tempat penulis/penyalinnya’. (1)
Yang menariknya, kisah Pak Kaduk ini telah menjadi perhatian para sasterawan dan pemikir kerana kaya dengan makna yang dinamik serta relevan sepanjang zaman untuk diteliti. Seperti yang dilakukan oleh Tuan Roslan Madun, beliau menganggap Pak Kaduk tidak bodoh malah berfikir melangkaui zaman apabila tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Pak Kaduk di dalam cerita ini tidak seperti yang dilakukan orang lain.
Hal ini diakui oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan di dalam cerpen beliau “Si Kunani”. Cerpen ini mengenai usaha cicit kepada Pak Kaduk berhujah secara undang-undang untuk menuntut kembali tanah moyangnya yang dirampas oleh raja. Menurut Zurinah Hassan, gelaran bodoh dan malang itu merupakan public opinion. Jika Pak Kaduk bodoh tidak mungkin dia tahu melihat tuah ayam, tidak mungkin dia tahu bahawa ayamnya ‘Si Kunani’ merupakan seekor ayam yang hebat dan tidak boleh ditandingi. (2)
Seterusnya, kepandaian Pak Kaduk sebenarnya terbukti dengan perbuatannya bertukar ayam dengan raja dan mempertaruhkan kampungnya jika kalah. Menurut Zurinah Hassan di dalam sajaknya ‘Pak Kaduk Di Gelanggang Raja”, Pak Kaduk mengetahui bahawa dia sedang berdepan dengan raja. Jikalau dia membantah cadangan raja, pasti dia akan dimurkai dan dihukum. Jika ayamnya, Si Kunani menang pun, pasti dia akan dimurkai dan dihukum juga. Macam timun dengan durian; menggelek luka, kena gelek pun luka.
“Itu tidak benar
Kerana aku terlalu sedar
Bila raja berkata
Mari kita bertukar ayam
Itu bukan satu cadangan
Tapi satu perintah
Bagaimana aku membantah
Apa hakku untuk tidak setuju
Rela atau terpaksa tentu tak ada beza
Seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja
Tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila
Gelanggang ini milik raja
Semua kampung pun kampung raja
Segala ayam pun ayam raja
Jadi apa benar yang aku tukarkan
Apa benar yang aku gadaikan
Segalanya sudah tergadai sejak mula.”
(Zurinah Hassan, Pak Kaduk Di Gelanggang Raja)
Beliau mempersoalkan, “adakah seorang raja yang kaya raya sanggup mengambil tanah rakyat miskin yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain rumah dan tanah sekangkang kera”. Pak Kaduk telah “dimangsai oleh raja dan pemimpin sendiri.” (3)
Selain daripada itu, SN Zurinah Hassan turut mengaitkan peristiwa dalam kisah Pak Kaduk ini dengan realiti politik negara kita kini. Beliau telah menulis sebuah sajak berjudul Pesan Pak Kaduk (Dewan Sastera Ogos 1996). Sajak ini “menyindir ahli politik yang berkuasa, tetapi takut untuk bertindak dan tidak mampu untuk meneruskan perjuangannya.” (4) Sajak ini dikarang selepas BN menang besar pada pilihan raya umum tahun 1995, beliau membawa pendapat Rustam A Sani “yang menyifatkan bahawa kekalahan parti-parti pembangkang (terutama DAP) hanyalah kekalahan pada peti undi kerana parti itu pada hakikatnya telah berjaya memperolehi beberapa agenda yang diperjuangkan.” (5)
Sajak ini turut menyatakan bahawa sikap tolak ansur yang berlebihan akan membawa akibat buruk, dilambangkan dalam kisah Pak Kaduk sebagai “tergadai kampung halaman”. Pengarang kisah Pak Kaduk ini bagai sedang memberi amaran, sikap toleransi melampau ini sangat bahaya, dan boleh menggadai masa depan kita.
“Tuan Yang Berhormat
menang ayam kerana taji
menang tuan kerana undi
menang hamba jangan diulang
menang sorak di tengah gelanggang
sedang tanah diambil orang.
“Tuan Yang Berhormat
jangan meniru cerdik raja
memangsai rakyat
jangan ulangi bodoh hamba
tamakkan habuan yang cepat
termakan pujuk rayu terbelit muslihat
kurang ilmu buta hakikat
tumpul akal tidak melihat
kalah orang kalah mendapat.
“Silap Pak Kaduk bertukar ayam
maka tergadai kampung halaman
silap tuan bertolak ansur
maka tercagar nasib keturunan.”
(Zurinah Hassan, Pesan Pak Kaduk)
Begitulah sebahagian mutiara yang boleh kita dapati daripada karya-karya cendekiawan dahulu, dan pentafsiran oleh cendekiawan masa kini yang berfikir. Penjajah British ketika berada di negara ini untuk menjajah negara ini, mereka telah mempelajari kesilapan dan kegagalan Belanda dan Portugis.
Misi mereka tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya iaitu memisahkan bangsa ini daripada Islam. Hal ini kerana Islam dan budaya Melayu telah sebati umpama besi berkurun lama. Hanya dengan memisahkan bangsa ini daripada budayanya, dan meleburkan budaya itu, baru akan terpisah Islam daripada bangsa ini.
Setelah mendalami kebudayaan bangsa ini, mereka berjaya mencabut identiti ini daripada kita, memisahkan kita daripada sejarah dan mutiara nenek moyang kita. Mereka membentuk negara baharu yang bersuasana meleburkan identiti, sehingga kita hilang arah mencari jatidiri.
Sehingga kita tidak lagi mengenali dan memahami karya-karya yang penuh pesanan tersirat, penuh dengan amanat dan amaran daripada generasi terdahulu, mengenai siapakah musuh siapakah kawan dan apakah yang perlu kita lakukan.
Rujukan:
(1) Muhammad Haji Salleh, 2006. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka. m/s 5
(2) Zurinah Hassan, 2013. Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan. Kuala Lumpur, Institut Terjemahan Buku Negara. m/s 62
(3) Ibid, m/s 60
(4) Ibid, m/s 57
(5) Zurinah Hassan, 2005. Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi. Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Seloka Pak Kaduk: Roslan Madun
https://www.youtube.com/watch?v=J699DKudh-s
Azrul Azly Zarul Fuad