Cerita di sebalik ‘ribut’ logo halal ‘Keluaran Muslim’: Bilal Jailani
WALAUPUN idea logo “Keluaran Muslim” cadangan RISDA itu menimbulkan kekecohan besar, terdapat satu isu penting yang turut terbawa di sebalik ‘ribut’ itu.
Sedar tak sedar, sebenarnya penggunaan logo halal kedua ini sudah banyak digunakan dalam industri. Logo halal kedua ini datang dalam banyak bentuk, antaranya “Ditanggung Halal”, “No Pork and Alcohol”, “Buffet Ramadan” dan “Restoran Muslim”.
Yang paling ekstrem yang pernah saya lihat adalah sebuah restoran yang menggunakan nama dua ‘hidangan langit’ dan memaparkan gambar Kaabah dan Masjid Nabawi di papan tanda utamanya. ‘Halal sungguh’ restoran itu!
Tahukah anda, dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, hanya JAKIM, JAIN dan MAIN sahaja yang mempunyai autoriti untuk mengeluarkan pensijilan halal, samada ia logo halal Malaysia, atau apa saja terma yang menunjukkan bahawa produk itu dibenarkan oleh Islam? Maka semua logo Halal kedua yang dinyatakan di atas tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh peniaga.
Di sini timbul persoalan; di manakah JAKIM dan KPDNKK dalam pencabulan APD 2011 ini? Adakah mereka tidak perasan banyak peniaga yang menggunakan basmalah, selawat, ayat Al-Quran di premis-premis? Mahu tak mahu, kita terpaksa akui bahawa penguatkuasaan APD 2011 dalam penyalah gunaan logo halal kedua ini masih lemah, walaupun mereka amat cemerlang dalam penguatkuasaan pensijilan logo halal Malaysia yang popular di seantero dunia itu. Maka wajarlah pihak JAKIM dan KPDNKK mengambil idea RISDA itu sebagai satu muhasabah buat diri.
Analisis Idea RISDA
Selain itu, wajar juga dibincangkan idea RISDA yang meributkan ini. Adakah idea ini bertentangan dengan Syariah? Bagi saya, idea ini tidak bertentangan dengan Syariah. Oleh itu, ia perlu ditimbang berdasarkan kebaikannya dan keburukannya.
Apakah kebaikannya? Idea ini bakal membuka pasaran baharu yang lebih besar dalam kalangan Muslim. Walau bagaimanapun, di samping berjaya membuka pasaran baharu, taktik ini juga berpotensi mewujudkan dinding penghalang kepada pihak bukan Muslim. Jadi idea ini hanyalah ibarat pi mai pi mai tang tu.
Taktik meraih sentimen pembeli bukanlah cara pemasaran yang berkesan untuk jangka masa panjang. Akhirnya, pembeli tetap akan mengutamakan produk yang paling memberi nilai kepada mereka.
Jadi, jika kita mahu memperkasakan usahawan Muslim, kita perlu jadikan mereka bekerja lebih keras hingga mereka melalui semua ranjau duri dunia perniagaan lalu menjadi usahawan yang berdaya saing secara sejatinya. Salah satu sudut yang boleh diperkasakan adalah etika perniagaan sihat, iaitu rasuah sifar dan elemen kejujuran yang tinggi.
Saya percaya jika usahawan Muslim tidak melibatkan rasuah dan penipuan dalam perniagaan mereka, mereka mampu menyaingi syarikat luar negara.
Mungkin taktik meraih sentimen itu boleh digunakan dalam jangka masa pendek, namun kempen itu tak sepatutnya dijalankan oleh pengeluar produk, sebaliknya ia dijalankan oleh pihak ketiga seperti NGO. Janggal bunyinya apabila seorang peniaga berkata kepada kita, “Mari beli produk saya. Dengan membeli produk ini, anda membantu ekonomi ummah”. Self-claim amatlah tidak sesuai dalam meraih sentimen, kerana peniaga yang meraih sentimen mempunyai kepentingan dalam sentimen yang diraih.
Sebenarnya, jika usahawan Muslim mampu membuka pasaran baharu dalam kalangan Muslim, dan dalam masa yang sama mampu mengekalkan pasaran terhadap bukan Muslim yang sedia ada, itulah idea yang terbaik dan terbijak. Maka saya cadangkan agar JAKIM memasukkan nama pemilik saham terbesar syarikat dalam Direktori Halalnya selain daripada nama syarikat, alamat, pegawai rujukan dan lain-lain. Jadi jika ada pengguna yang ingin membeli barangan keluaran Muslim, mereka boleh membuat carian di Direktori Halal.
Saya fikir nama pemilik saham terbesar yang ‘tersembunyi’ di Direktori Halal itu tak mewujudkan dinding pemisah kepada sesetengah pengguna, kerana hanya segelintir sahaja yang rajin melayari Direktori Halal. Kebanyakan pengguna hanya melihat label di bungkusan produk.
Tak salah untuk kita mengetahui siapa pemilik syarikat kepada produk yang kita beli, kerana kadang-kadang mereka munggunakan nama jenama yang agak mengelirukan. Tahukah anda; ubat gigi Mukmin asalnya adalah milik bukan bumiputera, sebelum syarikat itu diambil alih oleh bumiputera Muslim dan mengubah nama jenamanya kepada Mu’min?
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd (Al-Meswak Mu’min), Zaihal Hazri Abdul Halim,“Mu’min sudah ada di pasaran sejak 2001 yang diasaskan oleh golongan bukan Bumiputera dengan jenama Mukmin pada awalnya. Bagaimanapun, ia telah diambil sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera pada 2004, sebelum namanya ditukar kepada Mu’min” (laporan Sinar Harian bertarikh 23 Februari 2015).
Bilal Jailani
Pemerhati Bebas Industri Halal
Ulama Muda Majlis Ulama Isma (MUIS)
Disamping tanda halal jakim , letak saja ‘keluaran bumiputera’. Tak payah logo halal lagi.
Nampak sangat halal sudah diperdagangkan. Jangan nak mempertahankan kelemahan penguasaan pasaran bumi dengan halal.