Pendapat

Sokong cadangan pindaan Akta 355 antara tanggungjawab setiap muslim

masjid zahir 1
SETIAP muslim mempunyai tanggungjawab terhadap dirinya, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara. Hal ini bersabit dengan hadith Nabi Muhammad SAW yang berbunyi:

Setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan. Seorang pemimpin adalah pelindung dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keatas keluarganya dan dia akan dipertanggungjawabkan untuknya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan dia juga akan dipertanggungjawabkan. Dan seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan. Sesungguhnya setiap orang adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan.” Hadis Riwayat Bukhari

Seorang muslim mempunyai tanggungjawab untuk menjadikan dirinya lebih baik di sisi Allah SWT. Solat, puasa, zakat dan haji adalah perkara-perkara yang perlu dilaksanakan oleh setiap muslim apabila cukup syaratnya. Seorang Muslim perlu mentaati Allah dan Rasul-Nya pada setiap masa tanpa mengira tempat atau waktu.

Jika seseorang itu tidak mentaati Allah dan Rasul-Nya tetapi masih ingin bergelar muslim, maka terdapat satu masalah pada pemikiran orang tersebut. Seseorang itu tidak boleh bergelar mekanik jika tidak tahu membaiki kereta, sama juga untuk seorang tukang masak. Tidak mungkin seseorang bergelar tukang masak sekiranya tidak pandai memasak. 

Sabda Nabi, “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia menyayangi aku lebih daripada ayahnya, anaknya dan sekalian manusia”. Begitu juga dengan seorang Muslim, tidak sesuai menggelarkan dirinya muslim sekiranya tidak taat pada perintah Allah dan Rasul-Nya. Ini kerana mentaati Rasulullah adalah sebahagian daripada kasih sayang kita kepada Baginda. Begitu juga sesebuah negara tidak mungkin dapat dimajukan jika rakyat tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat. 

Setiap muslim mempunyai kewajiban untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sekiranya setiap seorang melaksanakan tanggungjawab terhadap diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain, perubahan ke arah kebaikan lebih mudah dilakukan.

Jika ada yang mendapati negara ini tidak cukup Islamik, maka perubahan ke arah Islamisasi itu perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu. Setelah berubah, maka barulah ke langkah seterusnya untuk mengubah keluarga, kejiranan, masyarakat dan negara.

Setiap pemimpin akan ditanya perihal rakyatnya pada hari akhirat kelak, sepertimana setiap rakyat akan disoal perbuatannya. Pemimpin tanpa rakyat adalah kepimpinan yang tidak bermakna, dan rakyat tanpa pemimpin adalah rakyat yang tidak mempunyai hala tuju dalam negara.

Rakyat dan kepimpinan saling melengkapi satu sama lain, dan lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara Islami. Jika pemimpin membina masjid akan tetapi rakyat enggan memenuhi masjid tersebut maka yang telah gagal memartabatkan Islam adalah rakyat dan bukan pemimpin.

Sekiranya rakyat memerlukan masjid dan pemimpin enggan membina masjid maka pemimpin akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Demi memartabatkan Islam di Malaysia rakyat dan pemimpin perlu bersatu. Pemimpin yang tersasar daripada jalan kebenaran harus ditegur dan ditarik balik ke jalan yang lurus.

Seseorang pemimpin yang enggan membawa suara rakyat untuk memartabatkan Islam  perlu didesak untuk berbuat demikian. Kerana, jika kita tidak membetulkan pemimpin kita maka akan ditanya pada hari akhirat berkenaan hal ini. Sekurang-kurangya di dunia, kita perlu berusaha supaya pada hari akhirat terlepas daripada persoalan yang kita tidak mungkin dapat jawab.

Rakyat perlu menyedarkan pemimpin bahawa Islam lebih penting daripada segalanya. Ketaatan pada Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala kepentingan duniawi. Umat Islam semakin mundur kerana jauh daripada Islam dan terlalu mencintakan dunia. Umat Islam pada akhir zaman akan dilanda penyakit wahan, iaitu penyakit, cintakan dunia dan takut akan kematian.

Kita perlu sama-sama berdoa kepada Allah SWT supaya tidak tergolong di kalangan mereka yang dihinggap penyakit wahan. Tidak cukup sekadar berdoa, malah kita sebagai Muslim perlu berusaha bersungguh-sungguh demi Islam. Semoga kita bertekad untuk mendekatkan diri dengan Allah dan menjauhkan diri daripada sikap wahan. Allah menjanjikan balasan berlipat ganda bagi semua yang berjuang dijalan-Nya, maka sahutlah seruan itu.

Islam tidak akan rugi sekiranya kita tidak berjuang, yang rugi hanya diri kita sendiri. Tidak ada kerugian pada Allah SWT Tuhan sekalian alam jika tidak ada seorang pun Muslim di dunia, namun yang rugi hanyalah manusia. Apabila diseru untuk berjuang pada jalan-Nya maka sahutlah seruan itu.

Baru ini terdapat seruan untuk rakyat bangkit memartabatkan Islam di tanahair, maka wajar seruan ini disahut oleh semua yang bergelar muslim. Usul untuk meminda kadar hukuman sedia ada di mahkamah syariah telah diutarakan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pindaan terhadap Akta 355 adalah untuk menaikkan siling hukuman jenayah syariah dan menjadikan sistem perundangan lebih hampir kepada syariah. Seorang muslim hanya akan berdiri megah jika Islam dimartabatkan di tempatnya. Maka marilah sama-sama berjuang untuk memartabatkan Islam di negara ini.

Marilah sama-sama desak pemimpin kita supaya mereka kembali jalan yang benar. Marilah sahut seruan untuk berjuang di jalan Allah untuk memartabatkan Syariah di bumi Islam, di bumi Malaysia. Semoga pada hari akhirat nanti kita antara golongan ahli syurga. Ameen.

Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad
Felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

EDITOR: Pihak kami mengalu-alukan tulisan anda untuk disiarkan di ruangan Pendapat. Hantarkan ke alamat emel [email protected].

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker