Pingat Emas yang dinantikan : Antara Sukan Olimpik, Paralimpik dan Pertandingan Kemahiran Dunia?
Tidak ada beza antara Sukan Olimpik, Paralimpik dan Pertandingan Kemahiran Dunia (World Skills Competition, WSC) melainkan bidang yang berbeza. Pertandingan ini dipertandingkan di peringkat Dunia.
Peserta kita perlu berkorban tenaga, masa, berlatih siang dan malam demi mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia. Mendengar lagu Negaraku sambil melihat kibaran jalur gemilang dinaikkan pasti menjadi idaman semua rakyat Malaysia. Rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Dahulunya, Razif Sidek dan Jailani Sidek berjaya menyumbang pingat pertama negara (gangsa) dalam sukan Olimpik pada tahun 1992 di Barcelona Sepanyol sudah cukup membuatkan kita sebagai rakyat bersyukur ketika itu. Kita berjaya memberitahu dunia bahawa orang Malaysia adalah pesaing mereka.
Jika kau fikirkan kau boleh
Kau hampir boleh melakukan
Jika kau fikirkan ragu-ragu
Usahamu tidak menentu…
Saya masih ingat ketika di sekolah rendah dahulu, lagu keramat ini selalu didendangkan di kaca televisyen sebagai tanda kejayaan kita. Lagu pendek berlatarbelakangkan kejayaan pemain badminton kita menjuarai pingat cukup menyentuh perasaan.
Kejayaan ini diteruskan pada tahun 1996 apabila pingat perak pertama pula berjaya diperoleh di Atlanta, Amerika Syarikat sehinggalah kita berjaya meraih 4 perak dan 1 gangsa pada tahun 2016 di Brazil.
Saya rasa tidak perlu diceritakan bagaimana wira-wira Negara ini dijulang. Alhamdulillah, saya bangga sebagai rakyat Malaysia.
Selang seketika, kejayaan datang kembali melalui 3 emas dan 1 gangsa oleh atlit paralimpik negara. Ganjaran 1 juta kepada mereka kerana kilauan emas yang dirangkul.
Pertandingan kemahiran peringkat Dunia bagaimana? Berapa ramai rakyat Malaysia yang menyedari kewujudan ‘sukan’ ini? Berapa ramai yang meminati bidang ini walhal bidang ini menjamin pekerjaan masa hadapan?
Kenalilah mereka.
Anak-anak muda kita terus berusaha daripada tahun 1993 memburu Emas di peringkat dunia. Cerita yang sama dengan sukan olimpik, kejayaan Airul Firham Che Amran yang membawa pulang pingat pertama negara (gangsa) dalam bidang dandanan rambut pada Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Sao Paulo, Brazil tahun lepas melakar sejarah. Bangga kita sebagai rakyat Malaysia
Kejayaan Malaysia semalam menggondol 22 pingat emas pada pertandingan kemahiran peringkat Asean mengalahkan 9 negara Asean lain, akhirnya ditabalkan menjadi juara keseluruhan peringkat Asean.
Kini, anak-anak muda aliran kemahiran ini akan meneruskan perjuangan mereka di Abu Dhabi, UAE pada tahun hadapan pada pertandingan kemahiran Dunia.
…Percaya apa kau lakukan
Tabah apa kau usahakan
Bertindak atas kemampuan
Engkau boleh.
Pingat Emas yang dinantikan..
Syed Mohd Aizuddin Bin Tuan Sembak
Pensyarah Kemahiran ILP Tangkak merangkap Exco Pemuda ISMA
*Pelatih ILP Tangkak yang mewakili Malaysia turut menyumbang 1 pingat Emas dalam bidang IT Networks System Administration pada Pertandingan Kemahiran peringkat Asean