Pendapat

Lunturnya sensitiviti dalam kehidupan masyarakat majmuk

photo_2016-10-07_16-08-20

Sebelum ini umat Islam di negara menerima kedatangan seorang tokoh ilmuan Islam, Dr. Zakir Naik ke Malaysia. Beliau yang juga seorang yang terkenal dalam perbandingan agama, walaubagaimanapun telah digelar sebagai ‘Satan’ oleh seorang pemimpin DAP yang juga Timbalan Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy secara melulu dan berniat jahat dengan sewenang-wenangnya. Ramai pelopor liberalisme turut mengutuk kedatangan beliau yang mereka tuduh sebagai pencanang ekstremisme yang menjadi punca kemelaratan ancaman IS dan Daesh di serata dunia.

Bulan lalu, umat Islam di Malaysia dilanda rasa sayu dan pilu dengan pemergian seorang tokoh agama yang banyak berjasa dalam memperjuangkan Islam di tanah air. Almarhum Tuan Guru Haron Din, seorang pemimpin politik yang disegani dalam kalangan pimpinan Islam dan rakyat marhaen, walaubagaimanapun dilempar caci maki para netizen, bahkan diapi-apikan lagi dek kenyataan berbaur penghinaan di Twitter oleh Sidek Kamiso, seorang bekas wartawan dan juga seorang pimpinan DAP, Jeff Ooi yang memegang kerusi Parlimen Bukit Jelutong.

Belum lagi kita menyebut tentang budaya gangsterisme yang cuba dipamerkan oleh ahli politik tanpa kewarasan akal dan rasa bertimbang rasa terhadap kesan yang boleh mengeruhkan lagi permasalahan sensitiviti agama dan perkauman hanya demi kepentingan politik.

Terkini, rakyat Malaysia disajikan pula dengan kelakuan beberapa orang berkewarganegaraan Australia yang hanya memakai seluar dalam bercorak atau berupa bendera Malaysia. Perbuatan melampau ini turut mengundang kecaman dalam kalangan rakyat Malaysia yang tampak begitu sensitif dan terserlah patriotisme pada diri mereka.

Namun, sekiranya kita menilai rentetan peristiwa ini apakah terdapat perbezaan yang ketara antara satu sama lain?

Peranan undang-undang memelihara sensitiviti

Bagi rakyat Malaysia, sebuah negara yang penuh kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, seharusnya menyedari bahawa kesemua peristiwa ini menyentuh sensitiviti kita secara langsung atau tidak, secara peribadi mahupun berkelompok. Dengan kerukunan tetangga berbilang kaum dan latar belakang, kita diberikan tanggungjawab serta nikmat untuk saling memahami serta menjaga keamanan dan kebersamaan antara kita.

Oleh yang demikian, wajar sekiranya pihak kerajaan serta penggubal undang-undang memastikan keamanan dan kebersamaan antara kita ini terjamin dan tidak digugat oleh sebarang kenyataan atau perkataan yang dikhuatiri boleh menyinggung seseorang individu atau sesuatu kumpulan, lebih-lebih lagi sekiranya sentimen dan prasangka itu dimainkan atas dasar bangsa atau agama.

Seperti mana Sidek Kamiso diambil tindakan undang-undang melalui kenyataannya yang menghina almarhum Tuan Guru Haron Din bulan lalu, seperti itulah Amos Yee, seorang penulis Blog di Singapura dijatuhkan hukuman akibat perbuatan dan kenyataan yang serupa. Kerana itulah neraca dan batas sensitiviti yang harus dijaga demi keharmonian rakyat berbilang bangsa dan agama.

Sensitiviti itu tidak hipokrit, tetapi manusia

Namun, sensitiviti itu tidak hipokrit tetapi manusia. Ya, manusia yang memilih-milih perkara atau perihal apa yang perlu diambil berat tahap sensitivitinya, atau tidak.

Menurut seorang kolumnis Malay Mail Online, Boo Su-Lyn, ‘Being insensitive isn’t a crime’, seolah-olah mahu memandang ringan perbuatan yang boleh menggugat perpaduan antara bangsa dan agama, seperti yang dilakukan oleh Sidek Kamiso dan Jeff Ooi. Namun ironinya, Mariam Mokhtar daripada proksi pro-liberal sama seperti Boo, memandang serius pula penghinaan yang dibuat terhadap Maria Chin dengan kenyataan ‘animal circus’.

Sedang kedua-duanya adalah kenyataan yang tidak beradab dan tidak mengambil kira sensitiviti, berlaku ‘double standard’ dalam proksi pro-liberal atas dasar kepada siapa kenyataan itu dibuat dan apakah kenyataan itu merujuk kepada sesuatu agama atau kepercayaan atau tidak. Mereka boleh pula memilih apakah sesuatu kenyataan atau tindakan itu boleh menyentuh sensitiviti atau tidak. Sikap pilih kasih ini langsung tidak mencerminkan nilai dan sensitiviti yang wajar dihadam oleh seseorang rakyat Malaysia.

Kebebasan bersuara, ‘freedom of expression’ itu ada hadnya

Pendukung liberalisme dan pejuang hak asasi manusia, terutamanya kebebasan bersuara tidak seharusnya membuka ruang yang terlalu luas bagi sesiapa sahaja untuk mengucapkan sesuatu kenyataan atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan norma masyarakat setempat serta menggugat keharmonian antara kaum di negara.

Mereka harus sedar bahawa kebebasan bersuara yang berdasarkan nilai universal ini tidak mampu diadaptasi secara menyeluruh ke dalam budaya dan peradaban masyarakat setempat. Menteri Luar Australia, Julie Bishop sendiri mengiktiraf bahawa perbuatan rakyat Australia itu bercanggah dengan budaya setempat walaupun mungkin dianggap sesuatu yang agak biasa di Australia sendiri.

Walaupun Boo Su-Lyn membandingkan kenyataan Sidek Kamiso dengan kenyataan yang dibuat terhadap Margaret Thatcher yang berbunyi “Ding dong the witch is dead”, itu bukanlah suatu budaya percakapan yang kita mahu pupuk dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira kecenderungan politik mahupun fahaman. Ia bukanlah suatu kenyataan yang kita boleh terima pakai dan sekadar berkata ‘okay’.

Oleh kerana itu, masyarakat Malaysia diseru agar sama-sama mengekalkan budaya hormat menghormati dan kesopanan dari sudut perbuatan mahupun percakapan dengan mengambil kira sensitiviti pihak yang lain. Semoga dengan cita-cita ini rakyat Malaysia mampu menangkis sebarang anasir atau budaya asing yang boleh menggugat kesejahteraan dan kebudayaan yang sekian lama diamalkan di negara ini.

Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker