Pendapat

Hotline JAIS: Puak anti-Islam timbulkan persepsi negatif

apps-jaisPADA hari Selasa yang lalu, 6 Oktober 2016, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya mengorak langkah dalam memperkasakan usahanya bagi membanteras kegiatan seperti khalwat atau penyebaran ajaran sesat. Dengan pelancaran sebuah aplikasi telefon pintar yang dinamakan ‘Hotline JAIS’ ini, orang awam dapat memberikan kerjasama dengan menggunakan aplikasi ini sebagai salah satu medium alternatif yang mesra pengguna dan cepat bagi melaporkan kejadian jenayah syariah yang disyaki berlaku di persekitaran.

Pengarah Jabatan Agama Islam JAIS, Datuk Haris Kassim berkata:

“Jika dulu masyarakat terpaksa menghubungi kami untuk membuat laporan dan terpaksa melalui proses yang lama untuk pengesahan maklumat, bagaimanapun dengan adanya aplikasi ini mereka boleh memberi maklumat dengan lebih cepat dan pegawai penguatkuasa akan bertindak dalam tempoh 24 jam.”

“Pengadu juga tidak perlu bimbang untuk memberi maklumat peribadi kepada kami ketika membuat aduan atau menjadi saksi kes yang mereka laporkan kerana maklumat berkenaan akan dilindungi.”

Namun, sebagai peringatan beliau turut berkata:

“Bagaimanapun, saya berharap masyarakat tidak menyalahguna aplikasi ini dengan melaporkan insiden yang tiada kaitan dengan JAIS selain memberikan maklumat yang lengkap mengenai kes yang dilaporkan.”

Kritikan proliberal terhadap Hotline JAIS

Namun seperti biasa, kumpulan anti-Islam atau anti-Syariah juga pejuang liberal dan hak asasi manusia tidak melepaskan peluang untuk membakar persepsi negatif terhadap aplikasi bermanfaat ini. Dalam keadaan masyarakat majmuk yang telah sedia prejudis dan kurang atau salah faham terhadap sebarang isu berkenaan perundangan Islam dan syariah di negara ini seperti contoh isu Rang Undang-Undang 355 akibat daripada prokovasi serta mainan persepsi oleh media-media serta pelopor proliberal sendiri, mereka sekali lagi cuba untuk menimbulkan rasa tidak tenteram dan tidak selesa bahkan memburukkan lagi sentimen Islamofobia dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya orang bukan Islam.

Maka tidak hairanlah, seperti laporan oleh the Malay Mail Online bertarikh 8 Oktober 2016 hanya dua hari selepas pelancaran tersebut dibuat, yang disunting oleh seorang kolumnis the Malay Mail Online, Zurairi AR yang ada menulis dengan prejudis terhadap Islam di laman portal yang sama, memetik kata-kata beberapa orang peguam proliberal berkenaan aplikasi ini.

Dengan tajuk “‘Hotline Jais’ app opens floodgates of vigilantism, lawyers warn”, berita tersebut melaporkan bahawa peguam hak asasi manusia Fahri Azzat berkata:

“I think the idea of such an app to report crime is a good one in itself. What I am not comfortable about is that it is used to enforce personal morality.”

“It will certainly encourage vigilantism because it is easy to report things now. [Just] snap a picture.”

Dalam berita yang sama, seorang peguam daripada Lawyers for Liberty, Latheefa Koya turut tidak ketinggalan mengeluarkan kritikan pramatang. Beliau berkata seperti dilaporkan:

“I am really not sure how this so called vigilante type of facility helps the image of Islam.”

“If you genuinely want to eradicate vice, then you must guide and teach morals, not by humiliating and looking for wrong of others.”

Hotline JAIS sebagai alternatif lebih baik

Saya hairan mengapa mereka mahu mengkritik aplikasi ini. Sedangkan sekiranya kita melayari laman web JAIS, sesiapa sahaja boleh membuat laporan yang serupa pada bila-bila masa kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS melalui talian 24 jam 1800-88-2424.

Mengapa pula mereka tidak mengkritik talian 24 jam ini sekiranya tindakan melaporkan kejadian jenayah syariah ini dikira sebagai melanggar hak asasi manusia, hak privasi atau terbuka kepada salah guna atau budaya ‘vigilantism’? Bukankah ia merujuk pada laporan yang sama? Yang berbeza hanyalah medium membuat laporan itu samada dengan mendail nombor talian 24 jam tersebut atau dengan menggunakan aplikasi Hotline JAIS.

Sudah tentu, seperti apa yang Pengarah JAIS sebutkan, aplikasi Hotline JAIS ini lebih mesra pengguna dan pemprosesan laporan serta penguatkuasaan menjadi lebih cepat dan efisien.

Itulah matlamat aplikasi ini dan sekiranya baru sahaja dua hari aplikasi tersebut dilancarkan mereka mahu menilai baik buruk aplikasi tersebut, sebarang kritikan hanyalah pramatang dan dipengaruhi sentimen semata-mata tanpa mengambil kira matlamat dan fungsi aplikasi ini. Mungkin sahaja peguam-peguam ini tidak muat turun dan alami aplikasi ini sendiri sebelum membuat komen!

Hotline JAIS refleksi amar makruf nahi munkar

Sebagai orang Islam, kita berpegang pada konsep amar makruf nahi munkar. Dalam kita menyuruh berbuat kebaikan, pada masa yang sama kita juga membanteras kemungkaran, atau jenayah syariah yang berlaku di sekeliling kita.

Dengan aplikasi ini, kita sebagai orang awam mempermudahkan penguatkuasaan dan pencegahan oleh pihak berautoriti iaitu Bahagian Penguatkuasaan JAIS dalam membantu mereka melaksanakan nahi munkar.

Sama juga seperti kes jenayah sivil yang mempunyai talian 24 jam atau rakan COP bagi melaporkan sebarang kejadian seperti kecurian, pembunuhan, keganasan domestik dan sebagainya supaya pihak polis dapat mengambil tindakan membendung perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Maka amatlah tidak wajar bagi seorang Muslim untuk menafikan tuntutan agama ini dalam memastikan kesejahteraan awam serta mengelakkan daripada berlakunya perbuatan dosa atau menyalahi undang-undang.

Penggunaan Hotline JAIS sewajarnya

Sekiranya anda mahu melaporkan kejadian, anda perlu membuat perakuan bahawa maklumat yang diberikan adalah benar dan sekiranya maklumat tersebut didapati palsu atau diragui atau di luar bidang kuasa JAIS, maka pihak JAIS berhak untuk tidak mengambil tindakan ke atas laporan tersebut. Tambahan pula, hanya maklumat yang tepat sahaja  akan dihubungi semula.

Untuk makluman anda, anda perlu memberikan maklumat yang kesemuanya adalah WAJIB! Maklumat seperti nama penuh, kad pengenalan, nombor untuk dihubungi, pekerjaan, email, tarikh kejadian, daerah, alamat kejadian dan butiran kejadian WAJIB diberikan sebelum pihak JAIS memulakan siasatan atau penguatkuasaan.

Ini membuktikan bahawa tahap keseriusan dalam membuat laporan adalah tinggi. Maklumat peribadi anda juga akan direkodkan dan sekiranya laporan palsu dibuat, anda boleh dikesan kerana menyalahgunakan aplikasi ini.

Perlu dinyatakan bahawa pengguna juga boleh melampirkan gambar kejadian atau lokasi namun ia bukanlah suatu maklumat yang wajib, seperti yang disalah lapor oleh Free Malaysia Today yang menulis:

“The complainants however, must provide substantial information on the alleged wrongdoing, and need to fill up a form. Proof of the alleged crime, which can also include photographs, WAS REQUIRED as well.”

Ia bukanlah sekadar “[Just] snap a picture” seperti yang diperkatakan oleh Fahri Azzat. Apakah ini taktik murahan peguam hak asasi manusia? Nampak sangat mereka sendiri tidak menyelidik serta cuba menggunakan aplikasi ini terlebih dahulu!

Urus tadbir hal ehwal Islam

Sekiranya peguam-peguam ini serta pro-liberal mahu memperjuangkan hak asasi manusia, mereka seharusnya mendahulukan serta menghormati peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan.

Perkara 3 (5) memperuntukkan:

“Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di WilayahWilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.”

Aplikasi ini menyatakan bahawa JAIS tidak akan mengambil tindakan sekiranya ia berada diluar bidang kuasanya. Oleh yang demikian, sebarang cubaan untuk mempalit salah guna kuasa oleh JAIS adalah tidak wajar. Tuduhan bahawa orang awam akan “enforce personal morality” atau “looking for wrong of others” juga adalah meleset.

Tambahan pula, JAIS melaksanakan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam perlembagaan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam, termasuk penyampaian maklumat dan mesej dakwah serta penguatkuasaan undang-undang seperti yang terkandung dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, antaranya berkenaan aktiviti khalwat atau penyebaran ajaran sesat.

Aplikasi ini adalah salah satu alternatif kepada bermacam-macam usaha amar makruf nahi munkar selaku pihak yang berautoriti dan pihak-pihak lain tidak seharusnya mencampur tangan serta mempertikai sebarang usaha yang memanfaatkan teknologi semasa bagi memudahcara selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan serta hak-hak yang diperuntukkan undang-undang.

Berlaku adil dalam memberikan kritikan dan sokongan

Seharusnya, orang awam khususnya umat Islam menyedari bahawa aplikasi ini baru sahaja beberapa hari dilancarkan. Oleh yang demikian, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai kesan sampingan melainkan dengan sentimen atau persepsi negatif.

Jika peguam-peguam ini yang juga beragama Islam mahukan kaedah atau aplikasi yang mesra pengguna dan pada masa yang sama patuh kepada perlembagaan, undang-undang dan hak-hak seseorang individu, sekiranya terdapat kekurangan, mereka sepatutnya mengutarakan cadangan penambahbaikan berbanding menyebarkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat termasuk bukan Islam yang akhirnya menuntut agar aplikasi ini dihapuskan.

Sudah tentu mana-mana aplikasi telefon pintar boleh disalah gunakan, bahkan telefon pintar itu sendiri boleh disalah gunakan. Jadi, apakah kita mahu terus menghalang penggunaan telefon pintar ini? Sama juga seperti penggunaan aplikasi Hotline JAIS ini.

Oleh yang demikian, sama-samalah kita bekerjasama dalam membendung jenayah syariah yang berlaku di sekeliling kita. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan nilai murni dan pematuhan undang-undang, namun pada masa yang sama berpada-padalah serta berhati-hatilah dalam melaksanakan tanggungjawab agar tidak berlaku salah guna dan kezaliman terhadap individu yang tidak bersalah.

Jika Fahri Azzat sendiri mengakui bahawa aplikasi ini “good one in itself”, apa yang mahu dipertikaikan lagi?

Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

6 komen

  1. Alhamdulillah dgn terbitnya web ini diharap dpt menjadi tempat utk pihak org ramai membantu Dan mengadu dgn pihak yg terbabit bab yg berkaitan dan dpt menangani isu ummah sejagat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker