Pendapat

Zaid Ibrahim Menghasut

zaid_ibrahim_1_23052015_620_413_100

Zaid Ibrahim telah menghasut rakyat bukan Islam untuk menentang pindaan Rang Undan-undang 355 (RUU355).  Dalam satu rencana yang diterbitkan dalam akhbar Free Malaysia Today bertarikh 15 Oktober 2016, yang berjudul “Zaid: Kesan hudud meluas, rakyat bukan Islam perlu bantah RUU 355”. 

Zaid berpendapat bahawa negara ini akan berpecah belah jika terdapat 2 set undang-undang. Satu persoalan untuk Zaid, adakah selama ini Malaysia tidak mempunyai dua set undang-undang? Adakah dengan melakukan pindaan pada Akta 355 negara akan berpecah-belah? Seolah-olah selama ini hanya terdapat satu set undang-undang.

Zaid juga berkata bahawa, sistem perundangan negara akan berubah secara keseluruhan dan mahkamah sivil akan hilang keutamaannya. Sesuatu yang pelik untuk dikatakan oleh seseorang yang mendakwa dirinya sebagai peguam. Ini kerana RUU 355 hanya untuk meningkatkan siling hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah dan tidak ada kena mengena dengan undang-undang sivil di negara ini.

Pindaan pada akta juga tidak melibatkan sebarang perubahan pada Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga mempersoalkan hukuman yang berbeza untuk kesalahan yang sama. Mungkin Zaid tidak begitu arif berkenaan perlembagaan negara. Bidang kuasa mahkamah syariah di negara ini adalah terbatas.

Jenayah-jenayah yang boleh dihukum oleh mahkamah syariah adalah terhad kepada kesalahan-kesalahan yang termaktub di dalam Butiran 1, Senarai Negari, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Tidak timbul isu hukuman berbeza untuk kesalahan yang sama dalam hal ini.

Mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa kes-kes khalwat, zina, minum arak dan lain-lain kesalahan. Selain daripada itu, seseorang yang menggelar dirinya sebagai Muslim, wajar dihukum berdasarkan syariat yang telah ditetapkan. 

Tambah Zaid lagi, “Kesan hudud amat meluas, penjual cakera padat video (VCD) mungkin didakwa menyiarkan lagu rock yang merosakkan akhlak”. Amat kasihan jika seseorang yang mendakwa dirinya seorang peguam mengeluarkan kenyataan sebegini. Hanya terdapat enam kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang hudud.

Memutarkan lagu rock bukan salah satu dari kesalahan yang boleh dihukum di bawah Hudud. Usaha untuk mengaitkan RUU 355 dengan Hudud masih giat dijalankan walaupun telah dijelaskan berkali-kali RUU ini tiada kaitan dengan hudud. Hudud merangkumi hukuman ke atas kesalahan seperti mencuri dan merompak. Hukuman-hukuman ini tidak boleh dilaksanakan oleh mahkamah syariah di negara ini.

Hukuman berkenaan mencuri dan merompak adalah di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. Sebagai seorang Muslim adalah wajar seseorang itu dihadapkan di mahkamah syariah untuk kesalahan-kesalahan yang dilakukan berbanding mahkamah sivil. Mahkamah sivil lebih sesuai untuk mereka yang bukan beragama Islam.

Tidak timbul isu pindaan kepada perlembagaan akibat RUU ini. Ini kerana untuk pindaan kepada perlembagaan memerlukan majoriti 2/3 manakala untuk meminda suatu RUU hanya memerlukan majoriti mudah.

Mereka yang mendakwa, bahawa perlembagaan akan berubah sekiranya RUU ini diluluskan jelas tidak tepat dan menyimpang dari kebenaran. Pindaan pada perlembagaan adalah tidak sama dengan pindaan pada RUU. RUU 355 akan meningkatkan siling hukuman di bawah bidang kuasa mahkamah syariah sahaja. 

Tidak ada perubahan pada bidang kuasa mahkamah syariah. Satu peningkatan untuk hukuman adalah perlu supaya denda atau hukuman ini selari dengan perubahan zaman. Hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah terbatas kepada denda RM 5,000, enam sebatan dan tiga tahun penjara. 

Cuba bayangkan, untuk kesalahan muncikari, adakah denda sebanyak RM 5,000 memadai? Angka ini mungkin pendapatan beberapa hari hasil dari muncikari dan sangat mudah dibayar. Tujuan utama undang-undang bukanlah untuk menghukum tapi untuk mencegah kemungkaran. 

Akan tetapi, jika pendidikan tidak mampu untuk membentuk seseorang individu itu, maka hukuman adalah cara terbaik untuk mengajar pesalah itu dan sebagai amaran kepada masyarakat sekeliling. Hukuman yang berat akan melahirkan rasa takut untuk membuat kesalahan. 

Sekurang-kurangnya ini boleh menjadi satu bentuk pencegahan dari maksiat pada masa hadapan. Mungkin mereka yang menentang pemerkasaan mahkamah syariah di negara ini mempunyai kepentingan di dalam aktiviti muncikari, perjudian, penjualan minuman keras dan sebagainya.

Sudah tentu industri-industri yang berasaskan kemungkaran ini akan merasa bebanan dari pemerkasaan mahkamah syariah. Sudah tentu ramai yang akan takut untuk melakukan kesalahan jika denda yang dikenakan adalah besar. Secara tidak langsung ini akan mengurangkan pendapatan industri mungkar ini.

Demi masa depan umat Islam di Malaysia, kita menyeru agar semua ahli parlimen, tidak kira Islam atau bukan Islam menyokong RUU 355. Ini akan membantu membina masyarakat yang berdisiplin dan jauh dari kemungkaran serta perkara-perkara yang boleh membinasakan masyarakat.

Semoga pemimpin kita boleh mewakili suara rakyat di dalam Parlimen. Jika mereka gagal maka, mereka mengagalkan rakyat mereka. Dan jika mereka menyokong pindaan ini, maka mereka telah berjaya membawa suara rakyat ke Parlimen.

Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad

Felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Oleh sebab hukum Allah seperti Hudud tidak dapat dilaksanakan di negara ini kerana pemimpin-pemimpin politik sekular dan liberal dan kafir harbi menentang hukum Allah, maka umat Islam di negara ini tidak mempunyai sebarang pilihan selain dari menyokong pindaan RUU 355 yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada mahkamah Syariah supaya mahkamah Syariah boleh berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan untuk mencegah kemungkaran dan kesesatan di negara ini. Ini bererti kebaikan pindaan RUU355 akan dinikmati oleh umat Islam.

    Hanya kaki botol, kaki judi, kaki betina dll dan kafir harbi dan munafik @ liberal yang menentang pindaan RUU 355 kerana mereka suka hidup bergelumang dengan dosa ! Jika pindaan RUU 355 diluluskan dan dilaksanakan, mereka bimbang industri maksiat akan mengalami kerugian besar dan tauke maksiat akan muflis kerana umat Islam takut melakukan kemungkaran dan kesesatan !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker