Pendapat

Kedegilan puak anti-Islam tidak menghormati Perlembagaan terserlah

danial-ariff

AMAT lucu sekali apabila puak anti-Islam dan anti-Syariah menyatakan bahawa kononnya mereka menghormati serta mematuhi Perlembagaan namun hakikatnya mereka mencabuli peruntukan Perlembagaan yang jelas serta mempermainkan Perlembagaan demi agenda songsang tersendiri.

Perkara 3(1) dengan jelas memperuntukan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Perkara 3(5) juga membenarkan umat Islam melalui badan berautoriti mengurus tadbir hal ehwal Islam yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Namun, puak anti-Islam tidak menghormati peruntukan ini sedang mereka menikmati hak beragama dengan aman dan damai. Umat Islam tidak sedikit pun membuka ruang perbincangan mengenai selok belok agama mereka dan umat Islam membiarkan mereka dengan urusan agama mereka tanpa sekatan mahupun pertikaian melampau.

Walau bagaimanapun, mereka begitu lantang mempertikai serta membincangkan mengenai agama Islam serta perlaksanaan syariat dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada yang lebih arif, seperti contoh penganjuran wacana RUU355 di Petaling Jaya namun kesemua ahli panel adalah terdiri daripada empat orang bukan Islam yang berbicara mengenai RUU355 dan hudud lantas mengakibatkan kecelaruan dalam kalangan hadirin, menurut artikel yang bertajuk “Selekehnya Wacana RUU Syariah” bertarikh 10 Oktober 2016 di laman Free Malaysia Today.

Bahkan mereka tidak membenarkan umat Islam mengamalkan Islam dengan aman dan damai melalui pemerkasaan Islam dan institusinya serta perlaksanaan amar makruf dan nahi munkar.

Mereka begitu tidak senang dengan umat Islam yang mahu menghayati tuntutan agama untuk mencegah kemungkaran salah satunya melalui medium aplikasi Hotline Jais. Namun, mereka asyik mempertikai tentang hak privasi – seolah-olah menggalakkan umat Islam berbuat maksiat secara tersembunyi – dan aplikasi yang kononnya melahirkan golongan ‘stalker’ dalam kalangan masyarakat seolah-olah masyarakat ini tidak ada kerja lain selain mencari salah dan menghendap orang sekeliling.

Selain itu, mereka juga mempertikai usaha murni jabatan agama Islam seperti Jaim dan Jais untuk memelihara ajaran Islam dan umatnya daripada terpengaruh dengan dakyah Syiah melalui penahanan beberapa orang yang disyaki menganuti ajaran Syiah yang menyeleweng daripada Islam seperti difatwakan. Atas nama kebebasan beragama, mereka mahu penganut Syiah diberikan hak beragama walaupun menyedari ajaran ini sebagai satu ancaman terhadap umat Islam. Di sini jelas, mereka mahu melemahkan umat Islam secara tidak langsung!

Jika tidak, mengapa mereka mahu mempertahankan agenda kristianisasi seperti contoh melalui penggunaan kalimah Allah dalam makalah Kristian serta penerbitan makalah Kristian atau kitab Bible dalam Bahasa Melayu? Mereka juga tidak mempertikaikan malah tidak ambil peduli tindakan beberapa orang warga asing yang cuba menyebar dakyah Kristian di Selayang beberapa tahun yang lalu kepada orang Melayu di sekitar kawasan tersebut.

Mereka jugalah yang mendukung hasrat beberapa orang transgender dalam mencabar keperlembagaan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan yang mengekang orang lelaki beragama Islam daripada menyerupai perempuan. Mereka jugalah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan hak LGBT di negara ini melalui badan yang membawa agenda tidak patuh perlembagaan beberapa tahun lalu melalui tuntutan COMANGO. Mereka juga yang mengkritik Malaysia apabila kerajaan menegaskan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf hak LGBT dalam draf konsensus PBB terbaru iaitu “New Urban Agenda”.

Sesungguhnya kedegilan mereka sudah terserlah namun masih terdapat umat Islam yang membuta tuli mempertahankan puak anti Islam ini kononnya kerana mereka masih tidak memahami Islam. Sekiranya mereka mahu memahami Islam, mereka seharusnya memahami peruntukan Perlembagaan tersebut dan menghormatinya.

Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Sesunggunya kerajaan yang terlalu berlembut dengan mereka, hanya kerana nak meraikan Undi. Makanya sudah tiba bahawa NGO Islam mengambil peranan tegas untuk menentang sekeras kerasnya segala penentangan/penghinaan terhadap islam. Antara caranya Ayuh…… kita semua Umat Islam jangan undi Pembangkang dan Kerajaan kecuali PAS yang telah terbukti mengutamakan / meletakkan Islam pada tempatnya dinegara ini. Insyallah selamat…….. ..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker