Siri serangan terhadap Islam dan institusinya
DALAM tempoh beberapa bulan ini, media sosial begitu hangat membincangkan isu-isu semasa yang berlaku di negara kita. Namun, seperti biasa kumpulan liberal yang didukung portal liberal seperti Free Malaysia Today (FMT), The Malay Mail Online (MMO) dan Malaysiakini (Mkini) sentiasa mencari peluang memutar belit isu bagi kepentingan mereka serta menjayakan agenda liberal yang pada masa yang sama menggugat kedaulatan Islam dan integriti institusinya.
Sudah tentu, salah satu isu yang hangat diperdebatkan adalah RUU355 yang dibentangkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS. Pelbagai perbahasan, forum serta penerangan yang telah dibuat pelbagai pihak namun persepsi negatif masih dicanangkan oleh kumpulan liberal ini. Padahal, sudah jelas RUU355 adalah berkaitan dengan kesalahan jenayah yang berada di bawah bidang kuasa negeri dan bukan menghakis bidang kuasa Persekutuan.
Tuduhan bahawa ia akan membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud juga tersasar kerana ia memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan bagi meminda bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan. Sedangkan RUU355 bukanlah untuk meminda Perlembagaan tetapi meminda had hukuman bagi kesalahan jenayah sedia ada. Inilah maksud memperkasakan Mahkamah Syariah namun kumpulan liberal begitu lantang mempertikaikan usaha ini.
Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menerima kritikan daripada kumpulan liberal sejurus pelancaran aplikasi telefon pintar Hotline Jais. Mereka menuduh bahawa aplikasi ini menggalakkan umat Islam menjadi ‘stalker’ bahkan mencari-cari kesalahan orang lain. Walhal, aplikasi ini adalah alternatif lebih baik kepada talian 24 jam melalui panggilan telefon yang tidak pernah pun dipertikai sebelum ini. Tuduhan ini juga seolah-olah menafikan tuntutan ‘nahi munkar’ yang dianjurkan Islam ke atas setiap individu Muslim atau pihak berkuasa.
Tambahan pula, sekiranya mereka menyemak aplikasi itu serta piawai yang ditetapkan, JAIS hanya akan bertindak terhadap laporan yang sahih daripada individu yang memberikan maklumat yang sahih serta berkenaan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa JAIS. Oleh yang demikian, tuduhan bahawa sesiapa sahaja boleh membuat laporan palsu secara sengaja ataupun pihak JAIS menyalahguna kuasa adalah tidak tepat sama sekali.
Tidak cukup dengan itu, pihak JAIS serta Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dikecam sekali lagi apabila kedua-duanya menahan sejumlah individu yang disyaki menganuti serta terlibat dalam amalan ajaran Syiah yang difatwakan sesat. Padahal, usaha ini dilaksanakan bagi membendung ajaran Syiah yang boleh mengelirukan umat Islam, seperti mana fahaman liberalisme dan pluralisme yang difatwakan sesat dan antara organisasi liberal yang terlibat adalah Sisters in Islam.
Malah, ada juga umat Islam yang menempelak khutbah Jumaat yang menyokong RUU355 dan fatwa berkenaan liberalisme dan pluralisme dengan menuduh bahawa khutbah Jumaat yang disediakan oleh Majlis Agama Islam telah dipergunakan oleh pihak kerajaan sebagai satu medium politik yang mempergunakan agama bagi meraih undi. Sedangkan, isu serta hal ehwal umat Islam tidak seharusnya dipandang dari sudut politik kepartian yang sempit kerana ia membawa manfaat yang menyeluruh bagi umat Islam serta rakyat Malaysia secara amnya dalam menegakkan keadilan Islam dan perundangannya.
Terbaru, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah dilempar dengan persepsi negatif bukan sekadar di dalam negara bahkan menjadi ‘laughing stock’ di negara luar. Sekiranya rakyat Malaysia membuat sedikit kajian dengan meneliti kenyataan oleh pihak Jakim, maka mereka akan mengetahui bahawa fakta sebenar berkenaan permohonan sijil halal yang ditolak bukanlah semata-mata kerana perkataan ‘hot dog’.
Walaupun tajuk media liberal seperti FMT, Mkini dan MMO menyebut bahawa ‘Hot Dog antara sebab-sebab sijil halal ditolak, pembaca media liberal yang telah sedia prejudis dan buruk sangka ini terus membuat kesimpulan melulu dengan memfokus kepada ‘hot dog’ tanpa menilai dengan objektiviti berkenaan ‘sebab-sebab’ lain. Lalu bermulalah adegan mengecam dan memperbodohkan Jakim serta pegawai-pegawainya, termasuk umat Islam yang mempertahankan Jakim secara amnya.
Oleh itu, umat Islam perlu sedar hakikat pertembungan antara Islam dan anti-Islam yang didasari fahaman liberalisme di negara ini. Seruan untuk meletakkan Rukunegara sebagai pembukaan pada Perlembagaan adalah salah satu usaha licik bagi mengalihkan hala tuju Malaysia ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang menerima konsep liberalisme dalam segenap aspek kehidupan.
Serangan terhadap Islam dan institusi agama seringkali dibuat hanya dengan menyebarkan persepsi negatif yang tersasar daripada fakta sebenar. Maka tidak hairanlah sentimen anti-Islam telah menebal dalam fikiran pembaca media-media liberal seperti FMT, Mkini dan MMO. Umat Islam wajar berhati-hati apabila membaca laporan berita daripada medial liberal ini dan bersama-sama berusaha menanamkan kembali kepercayaan terhadap kesejahteraan Islam dan keadilan institusinya.
Ayuh kita ‘review’ media-media liberal ini bagi menuntut mereka untuk berlaku adil dan profesional dalam melaporkan isu-isu semasa terutamanya yang berkaitan dengan Islam dan institusinya. Dengan harapan usaha ini menjadi manifestasi kesatuan umat Islam di Malaysia.
Danial Ariff bin Shaari
Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Satu lagi portal yang sentiasa memomokkan apa jua perkara mengenai syariah dan islam ialah The Heat Malaysia. Seringkali penulis2 rencana ini terdiri daripada budak2 melayu hingusan yang jahil dalam hukum hakam islam tetapi mahu mencari populariti di kalangan bukan-islam dan liberal. Mereka mahu menunjukkan kehebatan dengan sengaja memutarbelitkan fakta dan segaja cuba menonjolkan islam secara negatif. Gulongan munafik ini seolah2 lebih jijik daripada kafir.