HARI ini saya cukup terkilan dengan satu berita akhbar tempatan yang mengatakan bahawa sebuah projek Landasan Keretapi Pantai Timur akan dibiayai dan dibina oleh sebuah syarikat asing berasal dari China di Malaysia.
Baru-baru ini ketika bajet 2017 dibentangkan, pihak kerajaan diketuai oleh Perdana Menteri kita menyatakan bahawa pendapatan kasar negara merupakan antara yang tertinggi di rantau ini dan dunia, tapi mengapa suatu projek berskala besar yang dikatakan mampu membuka peluang ekonomi buat penduduk tempatan di pantai timur dibiayai sepenuhnya oleh negara asing?
Mana pergi bajet negara yang dilaungkan dan dibanggakan?
Sebagai seorang anak jati pantai timur, sememangnya tidak dinafikan pembinaan projek keretapi menghubungkan negeri-negeri di pantai timur sememangnya mampu mendatangkan peluang ekonomi dan kemudahan dari sudut pengangkutan buat rakyat.
Namun persoalannya, sejauh manakah rakyat tempatan khususnya masyarakat Islam akan benar-benar mendapat manfaat daripada projek ini? Seperti biasa, suka untuk saya mengimbau aspek sejarah dalam soal ini.
Seringkali saya dipersoalkan oleh rakan-rakan kenapa perlu berbalik kepada sejarah sedangkan kemajuan ada di depan mata kita?
Jawab saya mudah, orang yang tidak belajar dari sejarah akan mengulangi kesilapan dan orang buta sejarah akan melihat kerosakan di depan mata tanpa sedar.
Ketika tahun 1874, atas alasan pemimpin Tanah Melayu tidak mampu menyelesaikan konflik dan kekacauan dalam negara, satu perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian Pangkor telah ditandatangani oleh British dan kesultanan negeri Perak.
Perjanjian ini telah menyebabkan pihak British berjaya membawa masuk teknologi-teknologi perlombongan bijih timah yang tercanggih untuk membuka peluang ekonomi di Tanah Melayu.
Namun begitu, adakah nasib penduduk tempatan makin terbela dan makin terjaga? Tidak dinafikan ada beberapa kemudahan yang dapat dikecapi oleh rakyat tempatan seperti pengangkutan keretapi dan jalan raya.
Tetapi secara totalnya, adakah rakyat kita mampu untuk kedepan dalam soal ini ataupun kita ketika itu hanya menjadi buruh dan orang suruhan satu kuasa besar? Kehidupan kita hanya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?
Ketika itu juga imigran secara besar-besaran dibawa masuk ke tanah air dengan alasan tenaga buruh yang lebih murah sedangkan agenda tersirat mereka adalah untuk melaksanakan dasar pecah perintah?
Akhirnya tanah Melayu yang dulunya aman dengan pemerintahan Islam dan toleransi agama, kini mula perlu disesuaikan sekali lagi untuk mengharmonikan kepelbagaian etnik.
Cuma kali ini, pada saat itu, kita tidak lagi berada di atas menaungi dan melidungi hak bangsa-bangsa lain. Tidak perlu saya menyentuh panjang isu kemasukan imigran ini memandangkan pelbagai pihak melihat isu ini sebagai isu rasisme walhal tidaklah seperti yang dimaksudkan.
Tidakkah saudara pembaca melihat sendiri bibit-bibit permulaan percaturan telah bermula. Kemasukan pelancong, bandar Malaysia, peluang perniagaan dan pelaburan.
Sudah tiba masanya untuk golongan muda khususnya mahasiswa celik dan ambil tahu mengenai isu-isu ini. Jika bukan kerana anda ingin menjadi seorang pejuang negara, cukuplah untuk anda fikirkan nasib anak cucu anda dihari muka.
Teguran juga buat pemimpin hari ini yang gemar bermuka-muka dan bercanda.
Meskipun diri saya sendiri bukanlah seorang yang arif dalam isu politik antarabangsa, tetapi lebih molek kiranya seorang pemimpin yang diuarkan berdarah ‘pejuang’ memikirkan nasib anak bangsa dan rakyat berbanding dengan kelekaan berlakon di medan politik dengan manis kata-kata.
Saya yakin cukup sukar untuk menjaga negara dalam keadaan dunia yang bercelaru ketika ini. Tapi, janganlah gadaikan maruah kami dengan menjual negara.
Kami sanggup hidup tersepit asal jati diri kita terus kuat membela agama dan negara. Kami sanggup menghunus senjata andai panggilan berjuang akan tiba.
Jadilah barisan pemimpin yang matang menjaga negara bukannya pemimpin yang mempunyai agenda peribadi dan ideologi sendiri. Tidak cukup dengan TPPA dari Amerika, dibuka pula buat China.
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Perangilah kaum musyrik dengan harta, jiwa dan lisan kalian”
(HR Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Abu Dawud).
tanah ini sekangkang kera,
buat anak-anak di hari muka,
tanah ini tanah rakyat beragama,
bukan untuk dijual begitu sahaja.
Muhammad Hazreen Ismail
Pelajar Perubatan,
university college Cork, Ireland
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net
Pihak penjajah British berjaya membawa masuk teknologi-teknologi perlombongan bijih timah dan membina jalan raya dan keretapi dan pelabuhan untuk memudahkah British merompak sumber asli negara ini dan membawa pulang ke UK sedangkan rakyat negara ini hidup menderita kemiskinan kerana penjajahan British ke atas negara!
Dan kesan buruk penjajahan British ke atas negara ini boleh dilihat hari ini di mana orang asing menguasai ekonomi negara dan orang Melayu @ umat Islam ketinggalan jauh dalam bidang ekonomi ini akibat dari dasar pecah dan perintah British.
Sekarang kerajaan negara ini menjemput negara China pula untuk membeli pelbagai aset negara ini dan melabur di negara ini ! Inilah akibat pemimpin-pemimpin politik dan para pengampu buta sejarah ! History repeats itself !