PendapatUtama

Motif pendanaan asing

dana-asing

Baru-baru ini terdapat suara-suara yang menolak cadangan pihak kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus bagi memantau dan mengawal selia kemasukan pendanaan asing ke parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat yang berkaitan politik di negara ini.

Undang-undang ini akan menggariskan supaya mana-mana NGO atau syarikat yang telah menerima dana asing tersebut untuk mengisytiharkan jumlah dana asing yang diterima dan cara dana itu dibelanjakan.

Ini adalah satu langkah penting demi memastikan ketelusan operasi NGO dan audit syarikat daripada penyalahgunaan dana.

Pada masa yang sama, langkah ini juga boleh mengekang salah guna sumbangan dari luar negara bagi tujuan-tujuan yang memudaratkan.

Selain daripada itu terdapat ancaman dari Daesh cawangan Asia Tenggara untuk menyerang Malaysia, maka langkah sebegini adalah penting bagi menjaga kedaulatan negara daripada ancaman campur tangan pihak luar yang berniat jahat. 

Jika dibiarkan tanpa sebarang peraturan, negara akan terdedah kepada pengaliran dana asing yang disalurkan ke dalam negara bagi membiayai gerakan yang bermatlamat jahat untuk menggugat kedaulatan negara ini.

Kedaulatan negara perlulah dijaga daripada penglibatan anasir luar, apatah lagi setelah terdengar perkhabaran yang tidak enak mengenai penglibatan seseorang yang telah dilabelkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penyangak mata wang, George Soros yang membiayai organisasi-organisasi tertentu di negara ini menerusi yayasan miliknya, Open Society Foundation (OSF). 

Bagaimana mungkin sesuatu organisasi boleh mengetepikan sejarah hitam George Soros demi mencapai matlamat mereka? Setiap organisasi berhak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan namun demikian, matlamat tidak menghalalkan cara.

Adakah wajar mengambil peruntukan dari luar negara untuk menumbangkan kerajaan sedia ada? 

Adakah mereka pernah terfikir tentang natijah yang bakal menimpa? Adakah kita menginginkan negara kita menjadi seperti Libya, Syria, dan lain-lain negara yang hancur dek usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan?

Golongan yang menerima dana sebegini sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap negara.

Terdapat banyak lagi perkara yang memerlukan duit, seperti memberi makan pada gelandangan, memberi pakaian kepada mereka yang dibelenggu kemiskinan, membantu mendidik anak yatim dan lain-lain lagi.

Tidak masuk akal untuk puak-puak sebegini menggunakan dana-dana yang diperolehi untuk matlamat dan kepentingan politik dan/atau kekuasaan. 

Tidakkah mereka merasakan tanggungjawab untuk membina negara ini? Atau keinginan mereka adalah untuk melihat Syria yang kedua?

Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad

Felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker