Demonstrasi Baju Putih lebih wajar dicontohi daripada perarakan T-Shirt Kuning atau Merah
“WAHAI orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Al Maidah: 51)
Kisah Syaikh Muhammad Al Ghazali (Rahimahullah). Seorang lelaki pernah mengatakan kepada saya (Syaikh Al Ghazali): “Saya bersama golongan Islamis berhaluan kiri”.
Saya terdiam sejenak lalu menjawab, “Islam merupakan satu Din yang tidak ada hubung kait sama ada dengan golongan kanan mahupun golongan kiri.
“Ia merupakan satu keunikan yang akan bertembung atau berlawanan dengan golongan yang dimurkai (Yahudi) mahupun golongan yang sesat (Kristian).”
Dengan pendirian Islam seperti ini, kita dapat memahami rasional di sebalik bantahan umat Islam terhadap ucapan Gabenor Jakarta bernama Ahok (Basuki Tjahaja [Cahaya] Purnama/鍾萬學; Tjung Ban Hok; seorang Cina beragama Kristian.
Ungkapan bahawa umat Islam telah ‘dibohongi’ oleh Surah Al Maidah Ayat 51 memang patut dibantah bukan sahaja oleh umat Islam Indonesia, tetapi di seluruh Nusantara.
Memetik ayat Al-Quran dengan nada memerli demi menjayakan agenda politik bukan perkara baharu dalam kalangan pemimpin politik, termasuk di Malaysia.
Persamaan antara kedua-dua negara dalam isu ini ialah pada kadar mana individu-individu dan politikus-politikus bukan Islam sanggup melakukannya.
Ahok mengatakan bahawa umat Islam Indonesia telah dibohongi oleh Surah Al Maidah Ayat 51.
Manakala, sesetengah pemimpin politik parti rasis cauvinis tidak segan silu kerap mencetus kemarahan dan sensitiviti umat Islam, dan biasanya mereka sekali-kali TIDAK akan meminta maaf.
Di sinilah terletaknya kematangan umat Islam Indonesia menilai, memberi prioriti dan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian dan berkesan.
Perlecehan dan “kenistaan” (keceluparan) pihak bukan-Islam dibalas dengan reaksi bersemangat dari umat Islam. Kemarahan umat dipersaksikan dari Makasar, Jakarta hinggalah ke Maluku.
Umat Islam berdemonstrasi dalam pakaian serba putih secara aman, harmoni dan tanpa kerosakan harta benda mahupun kecederaan kepada tubuh badan.
Satu tamparan hebat kepada segelintir rakyat Malaysia yang hanya berdemo demi kepentingan politik kepartian yang sempit, yang di dalamnya (dari Bersih 1 hingga 4 – yang terakhir didominasi oleh etnik Cina, dan untuk menambah koleksi ber-selfie) semua jenis ideologi, fahaman, agenda, kepentingan dan personaliti bercampur baur di dalamnya.
Kepentingan dan agenda Syi’ah, LGBTQ, Sekular, Liberal, Atheis, Cauvinis, Islamis Progresif dan Evangelis semua mendapat tempat dan dana yang tidak sedikit untuk menggerakkannya.
Pengertian dari Ayat 51 Surah Al Maidah sayugia sudah cukup untuk menyedarkan umat Islam akan bahaya menjalinkan kerjasama politik dengan pihak bukan Islam dari segi kesannya kepada Wala’ sesama saudara sekidah serta persahabatan dan sikap tolong menolong di antara mereka.
Tidak ada salahnya berinteraksi dalam urusan tabii manusia, akan tetapi larangan yang jelas menyentuh kepentingan agama, kedaulatan dan ketinggian Islam dan umatnya bukanlah satu barang dagangan yang boleh dipertaruhkan atas meja rundingan atau ditimbangtara berdasarkan kepentingan politik para pemain dan pelakonnya.
Dalam konteks Malaysia pada pandangan saya, Bersih 1 hingga 4 dan juga persefahaman-persefahaman politik, separa politik dan separa agama (Islam), antara Islamis, sekularis, cauvinis, liberal, nasionalis dan golongan minoriti (ataupun sebatian antara satu atau lebih unsur-unsur dalam kalangan mereka) tidak ada sokongan kuat yang bertunjangkan Maqasid Syari’ah sehingga perlunya umat berlumba-lumba untuk menjayakannya, atau terlibat di dalamnya atau berkorban kerananya.
Demikian juga, meremehkan kesan, impak dan implikasi dari ayat di atas untuk digantikan dengan slogan atau retorik Islam sebagai Rahmatun Lil Alamin, ‘engagement‘, ‘hidayah daripada Allah’, ‘strategi taktikal dan teknikal’, ‘managing diversity‘, ‘non-judgemental‘ dan yang senada dengannya secara tidak langsung telah menghumbankan penggeraknya ke dalam perangkap yang mereka sendiri sediakan untuk orang lain yang tidak sehaluan dengan pegangan atau pendirian mereka.
Mereka sendiri telah mempamerkan sikap yang memihak kepada satu pegangan yang bertembungan dengan pegangan majoriti umat Islam.
Justeru itu, tidak hairanlah umat akan menyaksikan betapa bersemangat dan ghairahnya kumpulan ‘tinggi dari yang lain’ ini mempertahankan atau menjadi perisai kepada siri-siri ‘kenistaan’ dan ‘pencabulan’ terhadap Islam, institusi-institusinya dan juga terhadap maslahah umat yang sering disengajakan oleh pihak-pihak bukan Islam, kumpulan cauvinis, liberal dan seumpamanya.
Secara tidak langsung, mereka telah diperdayakan dengan muslihat musuh Islam untuk menimbulkan perpecahan, pertelingkahan, permusuhan dan perbalahan sesama Muslimin dan kucarkacir pertahanan umat dan serta semakin jauh umat ini dari peranan asal yang diamanahkan oleh Sang Pencipta.
Kumpulan Islamis apologis defensif (yang menganggap diri sebagai progresif dan reformis) adalah silap sekiranya mereka menganggap perjuangan mereka memiliki asas yang kuat dari dasar-dasar Syari’at.
Rujukan kepada Sirah Rasulullah S.A.W sejak di peringkat awal seruan baginda di Mekah membuktikan bahawa bagindalah yang ‘dominant‘ dan boleh berunding pada taraf yang sama dengan pihak musuh, meskipun umat Islam pada ketika itu tidak memiliki ‘kekuatan’ sebagaimana yang difahami oleh para politikus atau Islamis separuh matang dewasa ini.
Syaikh Munir Al Ghadban telah menggariskan dua pemerhatian utama setelah membicarakan panjang lebar tentang dialog dan ‘engagement’ Rasulullah S.A.W dengan para pemuka dan pembesar Jahiliyah Mekkah berhubung Risalah Islam yang dibawa oleh baginda:
“Kadang-kadang ada di kalangan para pendakwah yang lemah semangat lalu menuntut para pemimpin Gerakan Islam agar bersikap lunak dan menampakkan semangat kemajuan dan kemudahan dalam menghadapi lawan, guna membuktikan DUA masalah yang sentiasa diharapkan oleh arus penentang Islam agar kita membatasi diri pada dua masalah tersebut:
PERTAMA: Ia dapat menerima orang-orang kita. Ia menerima kita sebagai sekutu dalam pemerintahan. Seolah-olah ini merupakan toleransi, penghargaan dan penghormatan darinya kepada kita.
KEDUA: Ia mahu menerima fikiran-fikiran kita secara umum yang tidak membawa sentuhan Islam dan tidak bersumber darinya, seperti perbicaraan ringan-ringan tentang kebebasan, keadilan, hak asasi rakyat, membela kaum lemah, perhatian terhadap kaum buruh, petani dan sebagainya. Akan tetapi semua itu harus terlepas sama sekali dari Islam.
Para penentang Islam akan menerima kita dengan dua bentuk di atas. Jika tidak, maka mereka akan menuduh kita sebagai orang-orang fanatik dan kolot. Adakalanya ‘fanatisme‘ dalam diri kita ini akan dijadikan alasan untuk memerangi kita. Oleh kerana itu kita harus menyedari dan memahami ‘maneuver‘ (percaturan) ini.
Rasulullah S.A.W menolak semua alternatif yang ditawarkan untuk mengembalikan permuafakatan atau tahaluf nasional di Makkah, mengakhiri pertentangan agama di dalamnya dan menyatukan kalimat sekalipun di bawah pimpinan Rasulullah s.’a.w DENGAN SYARAT agar Nabi s.’a.w meninggalkan risalah dan agamanya.
Sesungguhnya permuafakatan/tahaluf yang mengorbankan akidah adalah tertolak. Kesepakatan yang mengorbankan Islam adalah tertolak. Persatuan barisan di bawah panji selain Islam juga tertolak.
[Terjemahan Al Manhaj Al Haraki Lis Sirah An Nabawiyah – Syaikh Munir Muhammad Al Ghadban. Jilid Satu. Robbani Press, Jakarta. Cetakan Pertama Julai 1992. Mukasurat 104 – 105].
Isunya bukanlah pada nama Ahok atau Jeff Ooi atau Bah Kut Teh, akan tetapi pada agenda atau ideologi perjuangan dan kepentingan yang tersembunyi di sebaliknya.
Ia lebih terfokus kepada pertentangan nilai dan semangat perseteruan yang diwarisi turun temurun – antara Islam dan Jahiliyah, meskipun ramai yang ingin/selalu menggambarkannya sebagai episode-episod yang hanya berkisar sekitar nilai-nilai atau isu-isu tempatan atau nasional semata-mata.
Mereka sebenarnya cuba merampas hak untuk memberi tafsiran atau naratif terbaru bagaimana umat Islam harus bertingkahlaku sebagai bangsa dan umat yang sudah tertewas!
Justeru itu, umat Islam lebih wajar mencontohi perlawanan dan penzahiran suara hati yang enggan menerima sifat dan watak kekalahan apabila kepentingan Islam dicerobohi atau ajaran-ajarannya dicelupari lidah-lidah para penentang Islam.
Maka dalam konteks ini, demonstrasi yang lebih bermakna untuk umat Islam terlibat di dalamnya adalah pada Barisan Baju Putih, bukan T-Shirt Kuning atau Merah.
Keprihatinan terhadap urusan akidah dan agenda ummah lebih perlu untuk diutamakan.
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi i-Peguam
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).