HIV & AIDS : Merawat simptom atau punca?
INEZA Roussille, anak kepada Marina Mahathir telah menghasilkan filem pendek bertajuk My Life, My Story: Moon dan telah memenangi Indivior Red Ribbon Short Film Competition yang dianjurkan oleh Malaysian AIDS Council dan Malaysian AIDS Foundation.
Selepas menonton filem pendek tersebut dan 2 filem lain yang memenangi tempat kedua dan ketiga, tiada suatu pun yang menyampaikan mesej “bagaimana untuk mengelakkan HIV merebak”, bahkan tiada unsur taubat dan serik bahawa gaya hidup lama yang menyebabkan HIV perlu dijauhi. Terutamanya gaya hidup seks bebas dan homoseksual.
Filem-filem tersebut hanya berkisar tentang betapa masyarakat perlu terima mereka, masyarakat perlu beri sokongan kepada mereka, masyarakat perlu tahu cara interaksi dengan mereka.
Filem tentang Moon tersebut paling menjijikkan bagi saya, kerana tanpa segan silu Moon menasihati seks selamat tetap boleh dilakukan dengan menggunakan kondom dan kucup-mengucup boleh dilakukan sekiranya tidak “minum air liur bergelen”. Moon dengan bangga berkata ingin mendidik masyarakat tentang pesakit HIV. Namun tiada langsung nasihat supaya jangan ikut gaya hidup yang membawa kepada risiko dijangkiti HIV dan seterusnya AIDS.
Filem ini jauh dari ruh yang cuba dibawa JAKIM dalam menangani pesakit HIV dan AIDS sepertimana di dalam Manual Islam, HIV & AIDS yang disediakan JAKIM. Filem yang diarahkan oleh Ineza ini tiada langsung penekanan bahawa budaya LGBTQ perlu dijauhi kerana mendedahkan risiko HIV.
Dipersilakan membaca tulisan Prof Madya Dr Rafidah Hanim bagaimana penyelewengan fakta yang dilakukan oleh Sisters In Islam, yang mana Marina adalah salah satu orang kuatnya, pada pautan ini:
http://www.ismaweb.net/2015/02/homosexuality-in-defence-of-jakim
Betul pepatah Melayu, “bapa borek anak rintik”. Moga zuriat keturunan kita menjadi penyambung risalah Islam yang benar, dan bukan menjadi penyebar kebatilan.
Nor Hidayah Ismail
Aktivis Wanita Isma
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net