Perkahwinan dan kematian
ALHAMDULILLAH dalam cuti sekolah bulan Disember ini pasti ramai pasangan yang mengambil peluang untuk melangsungkan majlis perkahwinan bagi memudahkan saudara mara dan sahabat handai datang bertandang ke kenduri.
Saya juga telah mengambil kesempatan untuk bernikah pada 9 Disember 2016 dengan seorang muslimat hebat pilihan hati saya berkat cadangan Ustaz Ahmad Zainal Abidin yang saya hormati dari Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Melaka Tengah.
Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah perjalanan menghadapi perkahwinan ini membuka hati saya untuk lebih berfikir dan membuat persediaan untuk menghadapi kematian. Seperti kata-kata Imam Ghazali Rahimahullah, “Perkara yang paling dekat dengan kita adalah kematian”. Menjadi kemestian setiap Muslim untuk bersedia menghadapi kematian.
Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW;
Ibnu Umar berkata: Aku bersama Rasulullah SAW, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah SAW, manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: yang paling baik akhlaknya antara mereka.
Dia bertanya lagi, manakah di antara mukminin yang paling cerdik? Baginda menjawab: yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang yang cerdik (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Jodoh dan Kematian
Selepas bertunang pada 11 September 2016 yang jatuh pada Hari Arafah, saya sejujurnya menjadi takut jodoh tak ‘sampai’. Saya menjadi risau saya ‘pergi dahulu’ sebelum jodoh tiba.
Saya pegang jodoh dan ajal adalah kerja Allah. Antara jodoh dan ajal, saya merasakan adalah menjadi keperluan untuk saya bersedia menghadapi kematian lebih dari saya bersedia untuk berkahwin.
Saya banyak muhasabah diri. Banyak melakukan solat sunat taubat kerana takut mati dengan dosa yang banyak. Pada masa yang sama, saya merasakan perlu untuk berbuat baik dengan manusia-manusia disekeliling saya kerana takut “berhutang” dosa dengan manusia yang pastikan akan dituntut di akhirat nanti.
Alhamdulillah kesannya kepada saya sangat banyak dirasai. Saya banyak mempunyai sifat positif dan lebih gembira. Hidup ini merasakan lebih tenang. Malah kawan-kawan disekeliling melihat saya gembira seolah-olah tak sabar nak kahwin.
Seperti firman Allah;
“Mereka itu adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, puasa, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah mungkar dan memelihara hukum Allah. Dan bergembiralah orang mukmin itu (Surah Taubah, 112)
Pengalaman yang saya lalui ini menghadapi pernikahan ini adalah sebenarnya satu perjalanan untuk saya bersedia untuk menghadapi kematian yang pasti. Dengan mengingati mati, saya dapat hidup dengan lebih ceria, gembira dan tenang. Mengubah cara fikir saya untuk melihat masalah harian yang muncul adalah ujian Allah tanda kasih dan sayang Allah kepada saya. Merasakan ujian itu satu kebahagiaan.
Sebagai penutup, saya berpesan dengan diri saya dan pembaca semua bahawa hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk bertangguh dalam melakukan kebaikan dan terlalu membazir masa melakukan maksiat kepada Allah. Ingat mati, Insya-Allah kita akan bahagia.
Wan Mohd Amir Wan Mohamad Zaharuddin
Peringatan: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tiada kena mengena dengan ismaweb.net atau Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.