Pendapat

Jaminan Allah atau jaminan manusia?

ISU makanan halal, coklat halal, ais krim halal, sosej halal dan banyak lagi produk makanan halal yang lain tidak akan habis dibincangkan sekiranya umat Islam terutamanya di Malaysia mengambil mudah soal ini.

Kali ini isu coklat jenama Daim dan Toblerone hangat ditularkan dalam media sosial mengenai status halal produk coklat tersebut.

Semestinya, sebagai pengguna Muslim di Malaysia perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam terutama soal makan dan minum yang masuk ke dalam badan kita dan keturunan kita.

Pengetahuan ini perlu selari dengan tuntutan agama untuk  mendapatkan makanan dan minuman halal yang semestinya menjamin syurga atau neraka di akhirat nanti sesuai dengan firman Allah;

“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” ( Al-Baqarah 2;168)

Atas sebab ini, saya terpanggil untuk memudahkan kefahaman kita semua dalam memahami isu halal ini.

Di Malaysia, badan yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pensijilan Halal adalah Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ada beberapa tips yang ingin saya kongsikan untuk manfaat kita semua:

Percaya Halal JAKIM 150 peratus

Letak kepercayaan ini bukan hanya pada 100 peratus tetapi 150 peratus. Kenapa? Hub Halal JAKIM sangat serius dalam memantau produk Halal di Malaysia.

Bahagian Hub Halal sentiasa bersama pakar industri dan ulama untuk mengeluarkan garis panduan halal kepada industri seperti MS1500:2009 serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan Halal ini.

Bahagian Hub Halal JAKIM sebenarnya telah menjadi contoh pada dunia. Banyak badan Islam dari negara-negara luar terutama negara minoriti Islam cuba belajar dari sistem Hub Halal JAKIM ini.

Bahagian Hub Halal JAKIM sangat teliti dalam kerja mereka umpamanya, bahan asas seperti garam dan gula pun mereka akan pastikan menpunyai sijil halal yang sah sebelum produk lain seperti kek, jus buah dan sebagainya mengunakan bahan tersebut mendapat pensijilan halal.

Secara mudahnya, nampak sahaja logo Halal JAKIM pada bungkusan, tanpa ragu-ragu, boleh dimakan.

Badan Pensijilan Halal Luar Negara

Bagi syarikat yang mempunyai kilang di Malaysia sahaja, Bahagian Hub Halal JAKIM boleh mengeluarkan pensijilan Halal untuk produk tersebut buat masa ini.

Manakala, bagi produk luar negara pula yang ingin dipasarkan di Malaysia, perlulah mendapatkan pensijilan Halal dari negara asal produk tersebut dikilangkan.

Oleh itu, bagi memudahkan pengguna mengenal pasti logo Halal luar negara yang betul, Bahagian Hub Halal JAKIM telah mengeluarkan senarai nama Badan Halal Luar Negara yang diiktiraf JAKIM yang boleh dilihat di laman sesawang Portal Halal Malaysia.

Jadi, kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara luar seperti Jepun, New Zealand atau Ausralia boleh mencari makanan Halal di negara terbabit berdasarkan logo Halal terbabit sebagai panduan. Oh ya, isu mi segera Korea Ramyeon-Samyang terpakai di sini.

 Kuasa Pengguna Muslim

Kita sebenarnya mempunyai kuasa untuk memilih. Kita berhak memilik untuk makan apa sahaja yang kita suka.

Cuma bezanya, kita mencari redha dan pahala Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Maka, pilihlah dengan neraca iman. Kalau tak perlu, cuba elakkan. Cari yang halal. Sebagai analogi mudah, Aiskrim jenama A sedap tetapi tidak mempunyai logo Halal dengan Aiskrim jenama B yang rasa biasa-biasa ada Halal, pilihlah jenama B kerana ada redha Allah di situ.

 Beri Tekanan kepada Industri

Dalam isu Halal coklat jenama Daim dan Toblerone ini. Perlu diingat Bahagian Hub Halal JAKIM hanya akan mengeluarkan sijil Halal kepada syarikat yang MEMOHON.

Maka saya sangat terkejut apabila membaca kenyataan dari pihak syarikat Mondelez International pengeluar produk coklat tersebut seolah-olah “menjamin” coklat mereka selamat untuk dimakan orang Islam.

Siapa pihak ketiga yang tidak berkepentingan, bebas untuk mengaudit dan mengesahkan dakwaan ini? Sepatutnya pihak pengeluar MEMOHON pensijilan Halal, jika tidak dimahu dilakukan melalui Bahagian Hub Halal JAKIM, mereka boleh memilih badan Halal luar negara (negara yang dikilangkan) yang diiktiraf JAKIM.

Kesimpulannya, isu makanan halal ini adalah besar impaknya kepada kita orang Islam. Isu gejala sosial, isu anak derhaka, isu penyakit akibat makanan adalah mungkin berpunca dari kegagalan kita untuk menjaga rezeki yang halal yang masuk ke dalam tubuh.

Isu halal ini menentukan pahala atau dosa, menentukan syurga atau neraka, menentukan doa kita makbul atau pun tidak, seperti Hadis 10 Imam Nawawi Rahimahullah;

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh).

(Surah al-Mukminun 23:51) Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).

(Surah al-Baqarah 2:172) Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”         

(Riwayat Ahmad no. 8348, Muslim no. 1015 dan al-Tirmizi no. 2922)

Wan Mohd Amir Wan Mohamad Zaharuddin
Perunding Halal,
Syarikat Hijrah Mawardah Resources & Consultancy

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker