Panjat ‘Ipoh’: Isma kesal anak muda sia-sia nyawa amanah Allah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 2 Rabiulawal 1438H, Ahad – Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kecewa dengan tindakan sekumpulan anak-anak muda memanjat papan tanda perkataan`IPOH’ yang mana telah menjadi viral di media sosial sebelum ini.
Perbuatan remaja berkenaan dipercayai dilakukan pada Rabu lalu dan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hanya mengetahuinya sebaik ia menjadi viral.
Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman yang cukup kesal dengan perbuatan itu berkata, remaja yang melakukan perbuatan berkenaan sepatutnya beringat bahawa nyawa yang sedang berada di dalam tubuh itu bukanlah milik mereka tetapi diberikan oleh Allah swt sebagai satu amanah.
“Akan ditanya nanti. Mengapa sengaja sia-siakan amanah Allah. Lupakah akan kesakitan separuh mati ibu melahirkan kamu?
“Lupakah kamu pada bapa yang bersusah payah menjaga keselamatan dan kesihatan kamu agar kamu dapat menikmati hidup di usia dewasa? Atau kita memang jenis mengkufuri nikmat Allah dan jasa ibu bapa,” soalnya hampa.
Sekiranya sekumpulan remaja itu mahu mengikuti perbuatan orang Barat, maka Ustaz Hazizi mengingatkan bahawa orang Barat melakukan perkara sedemikian kerana mereka tidak tahu tujuan hidup.
“Mereka sudah puas hidup. Hidup dan mati pada mereka tiada beza. Kenapa kita harus tiru cara hidup orang tak ketahuan? Atau kita pun sudah tidak tahu apa tujuan hidup, apa nilai usia muda.
“Adakah populariti atas puncak bahaya itu memastikan kamu dapat keluarga bahagia sehingga ke anak cucu? Atau kita memang tergilakan swafoto seolah-olah itulah tatapan kita ketika kesunyian di kubur nanti.
“Soalan saya yang terakhir…”the biggest why”, kita hidup untuk apa?,” soalnya tegas.
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata ia adalah kes pertama dikesan dan pihaknya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk memanjat kecuali kontraktor penyelenggaraan selepas mematuhi syarat keselamatan dan mendapat kelulusan MBI.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong pula berkata, pihaknya sedang mengenal pasti individu yang terlibat.
Beliau meminta semua individu terbabit agar datang sendiri ke balai polis secara sukarela bagi membantu siasatan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan seumpama itu membahayakan nyawa dan keselamatan diri sendiri serta orang lain.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya.