Erdogan kutuk serangan di kelab malam Istanbul, ucap takziah kepada waris mangsa
ISTANBUL, 3 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan bersenjaya di kelab malam di Istanbul semalam yang menyebabkan 39 orang maut.
Sambil mengucapkan takziah katanya, beliau kesal apatah lagi serangan tersebut turut melibatkan tetamu asing.
Mengikut perkembangan semasa, pihak polis masih memburu penyerang bersenjata berkenaan yang memakai topi Santa Claus ketika melepaskan tembakan terhadap pengunjung.
Penyerang itu turut membunuh seorang anggota polis dan awam di pintu masuk kelab Reina, pusat tumpuan hiburan malam eksklusif di Istanbul, sebelum masuk dan menembak pengunjung.
Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, penyerang terbabit belum dikenal pasti dan masih bebas.
Beliau difahamkan penembak itu meninggalkan kelab itu dengan memakai pakaian berbeza.
“Pasukan keselamatan kami sudah memulakan operasi memburu serta merta. Dengan izin Tuhan, penjenayah itu akan ditangkap dalam masa terdekat,” katanya.
Menteri Keluarga dan Polisi Sosial, Fatma Betul Sayan Kaya, memberitahu, sekurang-kurangnya 15 yang terkorban itu adalah warga asing.
Lima daripada mangsa adalah rakyat Turki dan pihak berkuasa ketika ini berusaha mengenal pasti mangsa yang lain.
Warga Arab Saudi, Maghribi, Lubnan dan Libya antara yang cedera dalam serangan itu. -Agensi