Berita UtamaUtama

Polis keluarkan lebih 46,000 saman guna telefon ketika memandu tahun 2016

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Polis mengeluarkan lebih 46,000 saman kepada pemandu atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu sepanjang tahun 2016, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus.

Beliau berkata, jumlah saman itu meningkat hampir 4,000 saman berbanding tahun  2015.

Jelasnya, pada tahun 2013, sebanyak 30,825 saman dikeluarkan kepada pemandu atas kesalahan yang sama, kemudian angka itu meningkat kepada 44,004 saman pada 2014 dan berkurangan kepada 42,641 saman pada tahun 2015.

Bagaimanapun, ia meningkat kepada 46,289 saman setakat 27 Disember lalu.

“Orang selalu kata polis tidak menguatkuasakan undang-undang secukupnya. Lihat jumlah saman yang kami keluarkan hanya untuk kesalahan ini. Tidak adil untuk kata kurang penguatkuasaan.

“Orang ramai tidak boleh mengharapkan kami untuk meletakkan seorang pegawai polis di setiap km lebuh raya. Masalah itu berpunca daripada kekurangan disiplin (di kalangan pengguna jalan raya),” katanya dipetik sebuah portal, hari ini.

Mahamad berkata, penggunaan telefon ketika memandu ini bertambah teruk sejak beberapa tahun ini, lebih-lebih lagi selepas kemunculan aplikasi mesej seperti WhatsApp dan media sosial.

“Ramai pengguna jalan raya sentiasa menggunakan telefon mereka ketika memandu, apabila berlaku kesesakan lalu lintas mereka lihat telefon mereka/

“Apabila sampai ke lampu isyarat mereka tengok telefon mereka. Malah, penunggang motosikal turut menggunakan telefon ketika menunggang,” katanya. 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker