Abu Hassan Din dirawat di IJN selepas mengadu sakit dada
KUALA LUMPUR, 4 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Tokoh agama Datuk Abu Hassan Din, 71, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana dipercayai mengalami masalah jantung.
Menurut laporan BH, selepas mengadu sakit dada, Abu Hassan yang juga adik kepada Allahyarham Datuk Dr Haron Din dibawa ke IJN dari Pulau Pinang Ahad lalu menaiki kereta dipandu isterinya, Datin Rosbi Shabudin, 63.
Anaknya, Shahirah, 38, berkata, bapanya mengadu jantung rasa pedih sebelum diberi ubat yang kebiasaannya akan pulih selepas 10 minit, namun, bapanya terus mengadu sakit dan penat sehingga memaksa ibunya memandu sendirian dari Pulau Pinang dan tiba di IJN jam 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, bapanya berada di Pulau Pinang kerana menghadiri program jelajah ilmu bagi mengumpul dana Kompleks Tarbiyyah Raudhatul Jannah (KOTARAJA), Ipoh, Perak.
Katanya, keadaan bapanya masih lemah dan cepat penat walaupun keputusan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pertengahan bulan lalu di IJN menunjukkan tiga saluran arteri di jantungnya tiada masalah.
“Doktor akan membuat imbasan jantung kerana mengesyaki jantung lemah,” katanya.