Berita UtamaUtama

Bahri bersara awal, kecewa kes SRC International tak boleh ke mahkamah

BANGI, 4 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zain, dilaporkan bersara awal selepas kecewa siasatan agensi itu ke atas SRC International, tidak boleh dibawa ke mahkamah.

Memetik laporan sebuah portal, Bahri yang berusia 57 tahun dan mengambil keputusan bersara pada Jumaat lalu, berkata, beliau berasa berdosa apabila kes penyelewengan membabitkan sejumlah wang yang besar gagal dibawa ke mahkamah, sedangkan kes lain tidak mengalami sebarang masalah.

“Bukan sahaja kecewa, malah saya rasa amat berdosa kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah,” katanya, hari ini.

SRC International adalah anak syarikat pelaburan negara yang mencetuskan kontroversi dan skandal kewangan terbesar negara – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada Disember 2015, SPRM mengemukakan dua kertas siasatan berkaitan dua kes SRC International dan satu kertas siasatan berkaitan kes membabitkan dana RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kepada Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, pada 26 Januari 2016, Jabatan Peguam Negara mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan oleh Najib dan kes SRC International.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata bagi siasatan terhadap SRC International mengikut Akta SPRM 2009, tiada keterangan menunjukkan Najib menyalahgunakan kedudukan beliau ketika mesyuarat Jemaah Menteri yang memberi kelulusan jaminan kepada wang pinjaman RM4 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Bahri yang memainkan peranan utama dalam siasatan ke atas 1MDB berkata, beliau mendapati SRC International menyeleweng wang rakyat secara terang-terangan.

“Begitu banyak wang rakyat diselewengkan secara terang-terangan. Saya tidak layak berkhidmat di bawah undang-undang sarang labah-labah,” katanya.

Siasatan ke atas SRC International (SRC) menjadi perhatian apabila sejumlah RM42 juta dananya dilaporkan dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

http://www.ismaweb.net/2015/12/sprm-serah-kertas-siasatan-src-international-rm2-6-bilion-kepada-peguam-negara/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Adalah sesuatu yang amat boleh dibanggakan, seandainya kes SRC ini terus dan terus didedahkan dan diperjuangkan untuk di bawah dan bawah keMahkamah dalam pada kita dipinjamkan kuasa. Kenyataan diluar gelanggang boleh mencetuskan pelbagai persepsi dan sudah barang tentu tidak mendatangkan kesan .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker