PAS sedia lawan PAN
BANGI, 4 Rabiulakhir 1438H, Selasa – PAS mencabar parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) bertempur dengannya sendiri di Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, partinya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya PAN hendak bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS atau pernah ditandingi oleh PAS.
Malah, beliau berkata, ianya adalah hak mereka di dalam sebuah negara demokrasi.
“Tetapi kalau betul hendak menggantikan PAS maka silakan bertanding melawan PAS.
“Jangan pula menyuruh parti lain berlawan dengan PAS kerana tidak berani berhadapan dengan PAS. Kami tunggu,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, parti itu mahu bertanding di 40 kerusi Parlimen, termasuk milik PKR dan PAS pada PRU depan.
Khalid berkata, pemilikan kerusi tradisi yang dipertahankan sesama parti pembangkang tidak lagi relevan dengan senario politik hari ini.
Justeru, Iskandar berkata, PAS bersedia menghadapi apa sahaja “lanskap politik baru” dan akan menghormati sekiranya ada persetujuan untuk pertembungan dua penjuru.
“Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, jentera pilihan raya PAS telah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.
“Jika tidak ada persetujuan dan akan berlaku “free for all”, PAS bersedia untuk menerokai kawasan-kawasan baru.
“Jentera PAS berupaya dikerah menghadapi kemungkinan tersebut. Sama-sama kita menanggung akibatnya,” katanya.