Berita UtamaUtama

Penduduk Bayan Baru mahu kerajaan DAP Pulau Pinang ditukar jika tak henti projek tambak laut

BAYAN BARU, 4 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Penduduk di kawasan Bayan Baru tidak mempunyai pilihan lain selain berharap kerajaan negeri Pulau Pinang sekarang, ditukar kepada kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya projek penambakan laut tidak dihentikan.

Wakil penduduk, S Geeta berkata, penduduk akan membuat tindakan sedemikian sekiranya masih tiada tindakan daripada pihak berkuasa berhubung masalah itu.

“Apa yang kami mahu adalah projek penambakan laut ini dihentikan. Selain masalah pencemaran bunyi, kami juga bimbang dengan alam semula jadi di Pulau Jerejak yang akan terkorban dengan projek pembangunan jika perkara ini tidak diambil perhatian,” katanya kepada media.

Beliau berkata, kehidupan seharian penduduk di beberapa buah pangsapuri di Bayan Baru terganggu dengan bunyi bising dari kerja penambakan laut di belakang kediaman mereka.

Geeta berkata, bunyi bising itu berpunca daripada jentera yang digunakan untuk kerja penambakan itu.

Malah, katanya, pemaju didapati menjalankan kerja penambakan tanpa mengira masa termasuk tengah malam menyebabkan kehidupan seharian mereka terganggu.

“Kehidupan kami di sini (termasuk beberapa buah pangsapuri lain di sekitarnya) terganggu dengan bunyi bising jentera yang menjalankan kerja penambakan. Apa yang lebih merunsingkan, kerja-kerja ini dijalankan 24 jam sehari tanpa henti setiap hari.

“Penduduk di sini termasuk saya terbeban dengan masalah ini kerana ia mengganggu waktu privasi kami ketika hendak berehat dan tidur pada waktu malam. Masalah ini kami tanggung sejak tahun lalu dan kini kami tidak mampu untuk bersabar lagi,” katanya.

Geeta berkata, sebelum ini, penduduk di kawasan berkenaan pernah membuat bantahan pada 2014 iaitu ketika projek berkenaan sedang dalam perancangan.

“Selepas membuat bantahan itu, penduduk ada membuat aduan melalui media sosial namun tiada maklum balas yang diterima dari pihak berkuasa. Saya juga membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) namun respons yang diterima tetap sama. Diam seribu bahasa.

“Saya turut membuat aduan di Facebook seorang wakil rakyat di sini tetapi dia meminta saya menghubungi pusat khidmatnya. Apabila saya menghubungi pusat khidmatnya, tiada siapa yang menjawab panggilan saya. Jadi, ke mana lagi saya perlu minta bantuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker