Bahri pilih sara awal atas kehendak sendiri: SPRM
PUTRAJAYA, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohammad Zin memilih untuk bersara awal atas kehendaknya sendiri, kata SPRM.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata Bahri telah memohon kepada kerajaan untuk persaraan pilihan enam bulan yang lalu.
“Permohonan dibuat selari dengan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mana seseorang pegawai kerajaan yang ingin bersara awal perlu membuat permohonan sekurang-kurang enam bulan sebelum tarikh persaraan,” kata suruhanjaya itu.
Bahri yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Operasi Khas sejak 16 Jun 2014, bersara berkuatkuasa 30 Dis lepas (2016).
Bahagian Operasi Khas ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.
Berhubung laporan di sebuah portal yang mendakwa Bahri memilih bersara awal kerana kecewa kes SRC International tidak boleh dibawa ke mahkamah, SPRM berkata mereka telah menghubungi Bahri yang menafi mengeluarkan kenyataan sedemikian. – Bernama