Fenomena Perihelion dijangka bermula hari ini
BANGI, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Fenomena Perihelion dijangka bermula hari ini apabila kedudukan matahari berada paling hampir dengan permukaan bumi.
Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya,Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin berkata, matahari akan berada di titik paling hampir dengan bumi.
“Semasa fenomena berlaku, Matahari akan berada di jarak 147,100,998 kilometer (km) dari Bumi berbanding pada kebiasaannya iaitu di 149,600,000 km.
“Fenomena perihelion berlaku apabila Bumi melengkapkan putaran 365 hari mengelilingi orbitnya yang berbentuk elips (bujur),” katanya.
Fenomena ini katanya, akan menyebabkan sedikit perubahan suhu namun tiada yang mendatangkan bahaya.
“Memandangkan jarak Matahari yang dekat dengan Bumi, ia mungkin akan menyebabkan suhu cuaca sedikit tinggi daripada kebiasaannya, walaupun begitu ia tidak menyebabkan kepanasan yang melampau atau ‘heatwave’.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak panik atau cemas memandangkan fenomena ini sering berlaku saban tahun.
“Perbezaan saiz Matahari juga dapat dilihat tetapi tidak begitu ketara dan kita di Malaysia tidak dapat melihat fenomena ini kerana ia berlaku pada waktu malam, pukul 10.18 malam,” jelasnya.
Katanya lagi, para saintis di seluruh dunia akan menggunakan kesempatan ini untuk mengambil ukuran radiasi matahari dan merekodkannya.
Bagaimanapun, pada 4 Julai nanti, bumi akan mengalami satu lagi fenomena iaitu Aphelion di mana ketika itu, matahari akan berada pada jarak paling jauh dengan bumi.