Mahmoud Abbas harap Palestin merdeka tahun ini
RAMALLAH, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Palestin pasti akan merdeka tahun ini selepas puluhan tahun dalam jajahan Israel, kata Presidennya, Mahmoud Abbas.
Perkara itu dinyatakan baru-baru ini selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menentang pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin.
Katanya, 2017 adalah tahun kemerdekaan buat Palestin.
Beliau berharap dan yakin dengan resolusi PBB memandangkan tidak pernah berlaku sebelum ini isu berkenaan berpihak kepada Palestin.
Mahmoud turut mengutuk tindakan rejim Tel Aviv yang menentang resolusi itu dan cuba memesongkan fakta dan masyarakat antarabangsa tentang isu tersebut.
Bahkan, pada masa yang sama Israel tetap memperluaskan jajahan mereka di wilayah Palestin.
“Israel mesti menghentikan pembinaan penempatan haram dan mengubah demografi di tanah yang dijajah,’’ katanya.
Penduduk Palestin berusaha membentuk negara yang merdeka di wilayah Tebing Barat, Baitulmaqdis timur dan Genting Gaza dengan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Dilaporkan lebih 230 penempatan haram Israel telah dibina di wilayah Palestin sejak tahun 1967.
Bahkan, pembinaan haram itu turut menjejaskan usaha mewujudkan perdamaian di Asia Barat. -Agensi