Pemandu bas ekspres rempuh sembilan kereta didenda RM8,000
IPOH, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Mahkamah Khas Trafik hari ini menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap pemandu bas ekspres yang merempuh sembilan kereta di Kilometer 265.8 PLUS arah selatan, berhampiran Terowong Menora, Julai lalu.
Hukuman itu diperintahkan Majistret Siti Hanum Mohmad Shah dengan mengarahkan Kadershah Sabaruddin, 51, dari Johor Bahru, Johor, menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes itu disebut semula sebentar tadi.
Ia berikutan pada 14 November tahun lalu, Kadershah mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Bas ekspres yang dipandu Kaderdhah itu dalam perjalanan ke selatan dan membawa 28 penumpang, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sembilan kereta di depannya.